
W MOTORS HASILKAN SUV GHIATH UNTUK POLIS DUBAI
W Motors sebelum ini terkenal dengan penghasilan supercar Lykan Hypersport, di mana ia turut berkhidmat sebagai jentera peronda berkelajuan tinggi untuk pasukan Dubai Police.
Kini, pasukan yang sangat terkenal dengan barisan jentera mewah itu menerima sebuah lagi model baharu, kali ini dalam bentuk SUV yang turut dihasilkan oleh pengeluar Lykan itu tadi.

Ghiath Smart Patrol yang dipamerkan ini merupakan model SUV generasi kedua di mana generasi pertama sebenarnya menggunakan asas daripada SUV Chevrolet Tahoe.
Tidak seperti model generasi pertama, Ghiath Smart Patrol generasi baharu ini menggunakan asas daripada Nissan Armada (Nissan Patrol) dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan yang khusus untuk tugas polis, seperti kamera 360 darjah, lapan kamera pemantauan, sistem pengecaman nombor pendaftaran dan wajah, serta kemudahan dron untuk pemantauan yang lebih meluas.

Ruang kabin pula menempatkan skrin tengah bersaiz 16 inci yang menempatkan segala macam fungsi komunikasi yang lazim dikaitkan dengan tugas-tugas polis.
Sebagai sebuah SUV polis, Ghiath turut dilengkapi dengan bangku belakang kustom, sangkar perlindungan, serta ruang menyimpan barang di bahagian belakang.
Tiada sebarang butiran lanjut berhubung trenkuasa yang digunakan pada Ghiath, namun besar kemungkinan ia hadir dengan enjin V8 yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 400 hp dan daya kilas 560 Nm yang dipadankan dengan sistem pacuan empat roda secara standard daripada platform Armada/Patrol.
Menurut W Motors, mereka juga bakal menawarkan versi yang dihasilkan untuk orang awam, beserta dengan pakej penyesuaian yang lebih meluas sesuai dengan statusnya.













