
KERAJAAN ITALI RAMPAS ASET RM483 JUTA MILIK NIKITA, DMITRY MAZEPIN
Kerajaan Itali telah merampas hartanah milik bekas pelumba Haas F1, Nikita Mazepin dan bapanya Dmitry Mazepin dengan nilai yang dianggarkan sekitar €105 juta (RM483 juta).
Operasi kerajaan tersebut menyasarkan sebuah vila yang dikenali sebagai Rocky Ram yang dimiliki oleh anak beranak tersebut.
Malah, menurut jurnal rasmi EU, Dmitry disifatkan sebagai salah seorang daripada kumpulan rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Rampasan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha besar pihak berkuasa Itali terhadap golongan yang disyaki bersubahat dengan kerajaan Rusia, selain mahu menghukum negara itu kerana menceroboh Ukraine.
Antara aset yang paling bernilai dirampas pada ketika ini adalah kapal layar mewah bernilai €900 juta (RM4.15 bilion) yang dimiliki oleh bilionair Andrey Igorevich Melnichenko di pelabuhan Trieste.
Nikita Mazepin sebelum ini berlumba untuk pasukan F1 Amerika Haas F1 untuk musim 2021, namun beliau telah ditamatkan kontrak oleh pasukan tersebut selepas kejadian negara Ukraine diserang oleh Rusia.
Kontrak penajaan Uralkalli (syarikat milik Dmitry Mazepin) turut ditamatkan, dan liveri yang membawakan warna bendera kebangsaaan Rusia turut ditarik balik. – Reuters