Buletin

VW HASILKAN 150 JUTA KENDERAAN – GOLF SAJA LEBIH DARI 34 JUTA UNIT

Untuk tahun ini, peneraju carta pengeluar yang paling banyak menjual kenderaan masih lagi belum muktamad. Siapakah raja automotif tahun 2017?

Adakah Toyota? Volkswagen? Atau silap-silap Pakatan Renault-Nissan sebab Mitsubishi perlu dikira sekali. 

Namun, apa yang pasti Volkswagen sejak diasaskan lebih dari 80 tahun lalu telah berjaya mengeluarkan 150 juta unit kenderaan dan ia direkodkan pada 25 Ogos lepas. 

VW sememangnya gergasi automotif global dengan lebih dari 50 kilang pengeluaran di 14 buah negara. Produknya juga banyak dengan lebih dari 60 buah model yang boleh dimiliki di serata dunia. 

Walaupun VW mempunyai kehadiran di negara kita tetapi apa yang mereka ada sekarang ini masih belum menunjukkan kemampuan sebenar pengeluar Jerman itu.

Model ke-150 juta yang dikeluarkan pada Jumaat lepas ialah VW Golf GTE di kilang Wolfsburg, Jerman. Menariknya, Golf GTE yang dikuasakan oleh teknologi plug-in hybrid itu ialah simbol kepada mobiliti kenderaan masa depan VW.

Walaupun terbabit dalam skandal dieselgate tetapi itu tidak menghalang perancangan besar VW. Bayangkan, tahun ini sahaja VW mahu lancar 10 buah model baharu dan menjelang tahun 2020, jumlah SUV baharu pula ialah sebanyak 19 model.

Kemudian, projek I.D family yang menggunakan nadi kuasa elektrik akan mula dilancarkan pada tahun 2020 dan pada tahun 2025 pula sebanyak sejuta kenderaan elektrik VW akan berada di atas jalan raya.

Semua kejayaan dan perancangan ini bermula pada 27 Disember 1945 melalui model Type 1 Käfer (Beetle Type 1) yang mula dikeluarkan secara besar-besaran dan telah banyak mempengaruhi industri automotif dunia.

Sama seperti VW Kombi, Beetle turut berada lama dalam produksi dan hanya berakhir di Mexico pada tahun 2003. Pada masa itu, produksi kumulatif Beetle telah mencecah 21.5 juta unit.

Jutaan jumlah tersebut telah diatasi oleh sebuah lagi model popular. Pada tahun 2007, unit ke-25 juta VW Golf telah dikeluarkan di kilang Wolfsburg dan pada tahun 2013 angka tersebut telah pun mencapai 30 juta unit. 

Hari ini, Golf sudah pun memasuki generasi ketujuh dan jumlah pengeluarannya sudah pun melebihi angka 34 juta unit di serata dunia.

Selain Golf, model-model lain tidak kurang hebatnya, Passat telah dikeluarkan lebih dari 20 juta unit, Jetta pula sebanyak 19.5 juta unit manakala Polo pula sudah menghampiri angka 17 juta unit.

Selain model-model hebat, kilang VW di Wolfsburg itu sendiri mencatat pengeluaran menggagumkan. Ia mula beroperasi sejak 72 tahun lalu dengan jumlah produksi sudah melebihi 44 juta unit.

Dengan kekuatan kewangan serta barisan model yang ada, sudah sampai masanya memahami dengan tepat selera negara-negara ASEAN pula.

Jika VW boleh berjaya di China, kenapa tidak di ASEAN?

BACA: VOLKSWAGEN MICROBUS YANG REPUT TERUK INI TERIMA BIDAAN HAMPIR RM40,000!

BACA: INILAH VW KOMBI TERAKHIR – DARI 1957 HINGGA 2013

Video unit ke-150 juta – VW Golf GTE:

Google ads
Back to top button