Artikel Pilihan

EROPAH BAKAL HARAMKAN ENJIN PETROL/DISEL TETAPI BOSCH TEMUI PENYELESAIANNYA – KARBON SIFAR DARI BAHANAPI SINTETIK

Hingga sekarang, enjin pembakaran dalaman bebas karbon merupakan impian semata-mata. Tetapi kini ia bakal menjadi realiti. Rahsianya ialah dengan menggunakan bahan api sintetik karbon sifar yang akan memerangkap karbon dioksida dalam penghasilannya. Dengan cara ini, gas rumah hijau akan menjadi bahan mentah yang akan menghasilkan petrol, disel sebagai menggantikan gas semulajadi yang boleh dihasilkan dengan bantuan tenaga elektrik dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Bahanapi sintetik boleh membuatkan kereta dengan enjin disel dan petrol menjadi kenderaan karbon sifar, sekaligus membantu mengurangkan pemanasan global,” kata Dr. Volkmar Denner, Pengerusi Lembaga Pengarah Robert Bosch GmbH.

Pakar-pakar dari Bosch juga telah membuat anggaran dengan berdasarkan kepada jumlah kenderaan di Eropah sahaja, menjelang 2050 penggunaan bahanapi sintetik secara berjadual akan mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 2.8 gigatan (2,800,000,000,000 kilogram!). Jumlah itu merupakan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pengeluaran karbon dioksida di Jerman pada tahun 2016.

Pengurangan gas merbahaya juga akan mengurangkan kos yang diperlukan untuk merawatnya. Jika sasaran klimak cuaca dunia mahu dicapai seperti yang diputuskan di suatu persidangan di Paris, pelepasan gas merbahaya dari ekzos kenderaan di seluruh dunia mesti dikurangkan sebanyak 50 peratus dalam empat dekad akan datang.

“Untuk mencapai sasaran tersebut memerlukan penyelesaian bijak dan bukan hanya bergantung kepada sumber elektrik,” sambung Denner. Malah jika semua kereta menggunakan teknologi EV sekalipun, kapal terbang, kapal laut dan lori kebanyakannya masih memerlukan bahanapi untuk bergerak. Enjin pembakaran dalaman bebas karbon adalah pilihan yang lebih baik dan lebih wajar untuk diteroka. Sebagai tambahan, bahanapi sintetik boleh direka agar bebas enapan karbon sepenuhnya. Dengan cara ini kos rawatan gas merbahaya dari ekzos boleh dikurangkan.

BACA: TAHUKAH ANDA TANPA BOSCH TEKNOLOGI EV UNTUK KENDERAAN MUNGKIN LAMBAT MENJADI KENYATAAN?

Satu lagi faktor yang perlu diberi penekanan ialah rangkaian stesen pam bahanapi yang boleh terus digunakan. Begitu juga dengan kemahiran yang ada pada mereka yang mahir dengan enjin pembakaran dalaman. Sungguhpun kereta-kereta EV boleh dihasilkan dengan kos yang lebih rendah satu hari nanti, pembangunan bahanapi sintetik baru ini masih berbaloi dilakukan. Bosch menganggarkan berdasarkan penggunaan enjin pembakaran dalaman sepanjang 160,000 kilometer, kosnya adalah lebih menjimatkan berbanding penggunaan kenderaan EV jarak jauh.

Nafas baru untuk stesen bahanapi sedia ada dan kenderaan lama
Secara teknikalnya, penghasilan bahan api sintetik sudahpun menjadi kenyataan. Jika tenaga elektrik boleh dihasilkan dari punca tenaga boleh diperbaharui ia semestinya bebas dari karbon dan sangat versatil. Malah hidrogen yang dihasilkan boleh digunakan untuk menghasilkan sel kuasa dan bahanapi yang dihasilkan seterusnya boleh digunakan untuk menggerakkan enjin pembakaran dalaman ataupun turbin enjin pesawat. Projek pilot untuk mengkomersilkan disel, petrol dan gas sintetik telahpun dilaksanakan di Norway dan Jerman.

Malah disebabkan ia tidak jauh berbeza dengan teknologi sedia ada dan generasi enjin sekarang, semua infrastruktur stesen pam bahanapi masih boleh digunapakai. Ia bakal menjadi realiti jauh lebih pantas berbanding teknologi EV kerana kenderaan-kenderaan lama juga boleh menggunakan bahanapi sintetik untuk beroperasi, termasuklah kereta-kereta klasik. Ini kerana berdasarkan struktur kimia, ia masih lagi petrol cuma dihasilkan dengan teknologi termoden.

Masalah dalam penghasilan bahanapi sintetik
Walaupun usaha giat dilakukan sebelum ia menjadi kejayaan, usaha untuk menghasilkannya masih lagi mahal dan cuma terdapat beberapa kemudahan makmal sahaja. Ia bagaimanapun mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Tenaga Jerman sebagai bahanapi alternatif untuk kenderaan.

Bagaimana bahanapi sintetik dihasilkan?
Ia dihasilkan dengan bantuan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Pada peringkat awal, hidrogen dihasilkan daripada air. Karbon ditambah dalam proses seterusnya untuk menghasilkan bahanapi. Karbon ini akan dikitarsemula dalam proses industri ataupun diperangkap menggunakan sistem penapisan. Gabungan karbon dioksida dan hidrogen akan menghasilkan bahanapi sintetik seperti, petrol, disel, gas malah kerosin sekalipun.

Apa beza bahanapi sintetik dan bahanapi-bio?
Bahanapi-bio memerlukan sumber bahan semulajadi untuk dihasilkan manakala bahanapi sintetik boleh dihasilkan dengan punca tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen. Dengan kata lain ia tidak mempunyai had berbanding bahanapi bio yang memerlukan sejumlah bahan untuk dikitar semula menjadi bahanapi.

Google ads
Back to top button