
VW PERKENAL PASSAT BAHARU
Volkswagen telah memperkenalkan sedan Passat serba baharu dalam bentuk saloon dan estate pada satu majlis di Pusat Reka Bentuk Volkswagen di Potsdam, Jerman.
Sedan yang bakal didedahkan kepada umum buat pertama kalinya di Paris Motor Show Oktober depan merupakan Passat generasi kelapan. Sejak dipasarkan 41 tahun lalu, jualannya mencecah 23 unit di seluruh dunia.
Segala aspek kereta ini adalah baharu, sama ada reka bentuk, teknologi mahupun enjinnya. Berat Passat dikurangkan sebanyak 85kg dan penjimatan bahan apinya ditingkatkan sehingga 20 peratus. Buat pertama kalinya, ada varian Passat yang dipasang dengan sistem plug-in hibrid.
Dengan reka bentuk dan ciri-ciri termaju yang ditawarkannya, Passat baharu berjaya mendekatkan jurang di antara segmen ‘upper medium’ dan premium.
Bahagian hadapan Passat diserlahkan melalui gril radiator dengan empat bar berwarna krom yang melengkung ke arah lampu utama. Sementara bahagian belakang pula tampil kemas bersama lampu LED.
Passat akan dijana oleh rangkaian enjin baharu berkuasa tinggi. Enjin empat silinder bi-turbo diesel bersesaran 2.0 liter itu mampu menghamburkan kuasa sehingga 240PS dan tork 500Nm bermula daripada 1,750 rpm! Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION.
Biarpun dimensi bahagian luarannya adalah lebih kecil, namun, ruang dalamannya dipertingkatkan agar lebih terasa lebih luas. Bukan itu sahaja, Passat dilengkapi teknologi-teknologi baharu seperti pilihan Paparan Info Aktif yang menggantikan kluster instrumen dengan paparan TFT bersaiz 12.3 inci interaktif.
Turut dipasang ialah Sistsm Infotainment Modular dan Park Assist generasi terbaharu. Ciri keselamatan pula terdiri daripada Side Assist dengan Rear Traffic Alert, Traffic Jam Assist, Emergency Assist, City Emergency Braking dan banyak lagi.
Di pasaran tempatan, Passat (model CKD) ialah antara model paling laris ditawarkan oleh Volkswagen Group Malaysia.