Modifikasi

HONDA CIVIC EK B18C TYPE-R

Macam kebanyakan projek modifikasi Honda Civic lain di Malaysia, ia bermula sebagai model biasa. Maksudnya, model pemasangan tempatan yang asalnya dihasilkan untuk pakcik dan makcik, bukannya untuk orang muda yang gilakan kuasa. 

honda-civic-EK-mekanika (6)

Satu benda yang cukup best dengan Civic (atau mana-mana Honda), ia secara amnya mempunyai titik cagak enjin sama untuk ke semua jenis enjin yang dihasilkan. Oleh itu, walaupun EK asalnya menggunakan enjin siri D, enjin siri B boleh dimasukkan ke chasis tanpa sebarang modifikasi yang besar.

Untuk Honda ini, enjin pilihan pemiliknya ialah enjin B18C Type-R yang secara standard pun mampu menghasilkan 200hp tanpa masalah. Tapi kalau dah masuk Mekanika Malaysia, dah tentu enjin ini bukan standard pekak lagi kan?

honda-civic-EK-mekanika (13)

Ubah suai yang dibuat pada enjin termasuklah sepasang aci sesondol perlumbaan Skunk2 bersama-sama manifold kemasukkan daripada jenama yang sama. Kotak udara standard enjin juga sudah diganti dengan ram udara gentian karbon dan penapis udara Simota.

Pelaras bahan api SARD digunakan untuk melaras tekanan bahan api yang masuk ke enjin. Manakala semua kabel palam pencucuh diganti dengan kabel Ultra. Sistem penyejukan enjin dinaik taraf dengan memasang radiator aluminum buatan Koyorad.

honda-civic-EK-mekanika (21)

Tak sah enjin VTEC macam ini kalau sistem ekzos tak tukar. Keseronokan menggunakan enjin ini pastinya terletak pada bunyi ekzos yang mengaum apabila enjin diligat ke 9,000rpm. Civic ini menggunakan manifold jenis 4-1 spec JASMA dengan paip custom 2.3 inci bersama peredam bunyi HKS.

Kuasa daripada enjin dialihkan kepada tayar melalui kotak gear standard Integra Type-R yang terkenal dengan sistem LSD jenis helical dan nisbah gear akhir 4.785. Kotak gear diperkukuhkan dengan klac Ogura Racing yang memastikan gear masuk dengan sempurna tanpa masalah slip.

honda-civic-EK-mekanika (4)

Dilengkapi sistem suspensi jenis double wishbone, Civic siri EK sememangnya direka untuk pengendalian yang hebat, walaupun kereta ini direka untuk kegunaan keluarga.

Bagi menghebatkan lagi apa yang sudah hebat, penyerap hentak kereta digantikan dengan penyerap hentak boleh laras Tein dan dibantu dengan lower arm Skunk2. Sebuah strut bar OEM Civic EK4 yang dicat dengan warna merah menyala merentangi bahagian strut untuk membantu mengukuhkan lagi chasis kereta.

honda-civic-EK-mekanika (19)

Dah guna enjin B18C Type-R, maka brek pun guna brek OEM Integra Type-R yang mempunyai lima lug nut berbanding empat pada Civic biasa. Pelapik brek dipertingkatkan kepada pelapik EBC Yellow Stuff. Rim pilihan ialah rim klasik kegemaran saya iaitu Volk Racing TE37 dengan tayar Yokohama bersaiz 195/55/15.

Apa yang saya suka pasal Civic generasi EF hingga EK ialah kita tak payah pening-pening nak pikir nak masuk bodykit apa. Sebab kereta ini memang dah semula jadi cantik.

honda-civic-EK-mekanika (20)

Maka, aksesori JDM selalu menjadi pilihan kalau nak ubah suai bab kosmetik. Civic ini menggunakan satu set bodykit penuh Civic EK spec 1999 dengan lips depan dan spoiler belakang Civic EK ViRS.

Kalau anda nak tau, Civic ViRS bukanlah Civic yang power mana pun. Ia hanya model EK3 Ferio dengan bodykit sahaja.. Enjinnya D15 dengan VTEC 3. Tapi tak dinafikan, memang kemas bodykit ni sampai harga orang jual tak masuk akal harganya.

honda-civic-EK-mekanika (8)

Bahagian dalaman Civic ini kekal ringkas dengan papan pemuka lengkap Civic EK9 Type-R digunakan bersama tempat duduk hadapan Recaro SR3 merah yang juga aksesori asal Civic EK9.

Sebuah shift lamp elektronik Pivot diletakkan di atas konsol stereng untuk memberi amaran visual untuk pemandu jika tahap rev maksima dicapai. Akhir sekali, tombol gear titanium OEM Type-R digunakan bagi mengganti tombol gear plastik asal.

honda-civic-EK-mekanika (3)

Walaupun Civic sudah masuk ke generasi ke 9, namun model-model klasik seperti ni masih ramai peminatnya. Tak kiralah anda seorang anti-Honda, tetapi anda semua memang tak boleh nafikan kehebatan enjiin VTEC siri B yang pada pendapat aku ialah masterpiece kejuruteraan yang jitu.
[hr]GALERI

honda-civic-EK-mekanika (1)honda-civic-EK-mekanika (2)honda-civic-EK-mekanika (9)honda-civic-EK-mekanika (11)honda-civic-EK-mekanika (12)honda-civic-EK-mekanika (14)honda-civic-EK-mekanika (17)

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button