Buletin

VW TAWAR RM349K KEPADA PEKERJA UNTUK IDEA PENAMBAHBAIKAN SYARIKAT

Mereka yang berkerja dengan firma besar atau organisasi kerajaan pasti biasa dengan alat pengurusan.

Kaizen, 5S, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dan sebagainya dianjurkan supaya organisasi terus cekap dalam melakukan urusan.

Penambahbaikan atau inovasi adalah penting untuk kelangsungan syarikat di mana ia dapat memperbaiki proses, menjadi lebih cekap dan mampu mengurangkan kos.

Apabila berada dalam industri yang mempunyai saingan sengit dan kos tinggi, lagi kritikal inovasi dan penambahbaikan untuk organisasi tersebut.

Dalam hal ini, apakah praktis yang dilakukan oleh syarikat automotif nombor satu dunia, Volkswagen?

Bukan luar biasa, VW turut membuka ruang untuk pekerja menyumbang idea kepada syarikat, sama seperti syarikat-syarikat lain.

Cuma apa yang luar biasa ialah ganjaran yang bakal diterima.

VW baru sahaja mengemaskini pengurusan idea dengan satu perjanjian kerja baharu.

Sistem baharu itu dimulakan secara rasmi pada 1 Februari 2019 dan menerima sambutan baik daripada kakitangan Volkswagen AG.

Dalam masa beberapa hari sahaja sebanyak 750 idea penambahbaikan telah dihantar.

Berapakah ganjaran maksimum yang bakal diberi?

Ganjaran untuk idea penambahbaikan telah ditambah hampir 50 peratus dan kini berjumlah €75,000 atau bersamaan RM 348,838!

Menurut Bernd Osterloh, Pengerusi Dewan Kerja, pengurusan idea di VW adalah alat penting dan telah berlangsung selama 70 tahun.

Selain jumlah ganjaran tinggi, sistem IT baharu juga memudahkan kerja menghantar idea melalui dalam talian.

Pengurus barisan (line) dan pakar dapat menyemak dan memproses idea dalam sistem yang lebih mesra pengguna.

Dalam sistem pengurusan idea yang baru, cadangan akan disemak terus selepas ia dihantar sama ada memenuhi kriteria perjanjian pekerjaan.

VW Polo GTI 2017

Pengurus barisan akan menilai impak daripada idea yang dihantar oleh pekerja di bawah seliaan mereka di jabatan mereka sendiri.

Pekerja boleh menyumbang cadangan mereka menggunakan komputer di pejabat atau di luar dari peranti peribadi.

Setiap tahun, sekitar satu pertiga pekerja VW AG di Jerman menghantar cadangan untuk penambahbaikan.

Pada tahun 2018, cadangan yang diterima menjangkau 42,000 idea menunjukkan ia adalah satu inisiatif bagus dan diterima baik oleh pekerja.

Secara purata untuk tahun-tahun kebelakangan, purata jumlah insentif yang diberikan berjumlah €23 juta atau RM 107 juta setiap tahun!

Jumlah yang besar dan bersemangat untuk dikejar. Lebih penting apabila syarikat turut meraih faedah besar hasil daripada sumbangan pekerja.

BACA: PANDU UJI: VW GOLF R-LINE – CUKUPKAH UNTUK ANDA LUPAKAN GTI?

BACA: VW BAKAL KELUARKAN CAMPER VAN! BOLEH NAK PUSING DUNIA!

Tags
Google ads
Back to top button