Artikel Pilihan

Wärtsilä RT-FLEX96C, ENJIN TERBESAR DAN TERKUAT DI DUNIA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Bila bercerita tentang enjin, ianya sinonim dengan kereta dan juga motosikal. Namun penggunaan enjin adalah meluas dimana ia digunakan untuk menggerakkan apa sahaja unit mekanikal dari sekecil-kecil mesin rumput sehinggalah sebesar-besar pesawat pengangkut dan juga kapal.

Hari ini kita ingin mengupas tentang sebuah enjin yang terbesar dan terkuat didunia. Enjin ini dikenali dengan nama Wärtsilä RT-flex96C.

Enjin ini merupakan enjin diesel 2 lejang berkelajuan rendah dengan sistem pendesak turbo. Enjin ini mempunyai 14 silinder. Ia dibuat oleh syarikat Wärtsilä yang berpangkalan di Finland.

Enjin ini buat julung kalinya memulakan operasinya pada tahun 2006 apabila ia digunakan untuk menggerakkan kapal kargo terbesar di dunia iaitu Emma Mærsk.

Sekarang kita pergi ke bahagian teknikal enjin ini. Enjin ini mempunyai 14 silinder. Nilai Bore x Stroke adalah 960mm x 2,500mm. Bayangkan bertapa besar dan tingginya enjin ini. Sedangkan satu piston berdiameter hampir 1 meter. Enjin ini ada 14 piston. Berat piston pula sekitar 5.5 tan dan tinggi piston adalah setinggi 6 meter.

Unit piston ini kemudian dipasang pada unit aci engkol (Crankshaft). Aci engkol ini pula sangat besar dan mempunyai berat sekitar 300 tan. Dah tak main dah kilogram. Tan terus.

Sistem bahanapi enjin ini menggunakan sistem “Commonrail”. Sistem ini menggantikan sistem bahanapi tradisional yang kurang efisyen. Dengan penggunaan sistem ini, kelebihannya ialah ia memberikan kuasa di RPM rendah, mengurangkan penggunaan bahanapi dan juga merrndahkan tahap pencemaran.

Jimat ke penggunaan bahan api enjin ini ?

Jimat juga Tuan-Tuan. Sekitar 1,660 gallon sejam atau 250 tan bahan api sehari. Cukup untuk mengisi lebih 3,000 unit tangki bahan api penuh Ford Ranger. Bahan api yang digunakan pula bukan diesel biasa yang anda boleh dapati di stesen minyak. Namun ia menggunakan bahan yang dikenali sebagai “Heavy Fuel Oil” atau HFO.

Sistem masukan udara enjin ini dibantu oleh sistem pendesak turbo yang bapak besar. Udara disebut masuk oleh unit turbo dengan saluran terus keluar. Udara yang diambil adalah udara sejuk diluar dan bukannya udara panas yang berada di ruangan enjin. Hal ini memberikan “Air Intake Temprature” yang rendah sekaligus memberikan campuran udara dan bahanapi yang efisyen.

Kita pergi pula kepada sistem pelinciran. Sistem pelinciran enjin ini terbahagi kepada dua iaitu di ruangan silinder dan juga “Crankcase”. Sistem pelinciran yang berada di ruangan silinder sangat uniK apabila terdapat banyak “Oil Jet” yang berfungsi untuk menyemburkan minyak bagi mengawal suhu pada “Piston Crown” sekaligus mengelakkan “Overheating”.

Minyak yang disembur juga bertujuan melindungi dinding silinder daripada hakisan. Walaubagaimanapun, hakisan tetap akan berlaku pada dinding silinder dan data menunjukkan nilainya adalah pada kadar 0.03mm setiap 1,000 jam operasi.

Operasi enjin ini adalah dua lejang. Antara kelebihan enjin 2 lejang ialah ia tidak memerlukan banyak komponen mekanikal dan menjadikan enjin ini lebih ringan. Bayangkan kalau enjin ini merupakan enjin 4 lejang, bertapa besar dan beratnya enjin ini bukan.

Sistem pemasaan enjin ini menggunakan sistem “Uniflow-Scavenged” dan injap ekzos dikawal secara elektronik. Dengan ini, enjin ini tidak memerlukan aci sesondol (Camshaft) untuk beroperasi.

Unit turbo, besar pondok gazebo

Berapa dimensi enjin ini ?

Dimensinya adalah sangat besar. Berat keseluruhan enjin ini adalah 2,300 tan dan setinggi 13.5 meter. Operasi enjin ini adalah sekitar 15-102RPM dan “Redline” pada 120RPM. Rendah bukan ? Walaupun rendah, ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 107,390hp dan daya kilas sekuat 7,000,000Nm. Daya kilas yang cukup untuk menghamcurkan sebuah kereta kebal mencadi serpihan besi.

Walaupun besar, berkuasa dan menelan 250 tan bahanapi sehari, enjin ini sebenarnya cukup efisyen. Data menunjukkan enjin ini mempunyai “Thermal Efficiency” sebanyak 50%. Hal ini bermaksud tenaga yang dihasilkan sebanyak 50% berjaya ditukarkan kepada pergerakan mekanikal. Kebanyakan enjin automotif hanya memiliki sekitar 25%-30% “Thermal Efficiency”.

Enjin ini juga memiliki sistem “Waste Heat Recovery” dimana sistem ini mengitar semula gas ekzos untuk digunakan sebagai pemanas dan juga menggerakkan turbin yang berfungsi sebagai penjana tenaga elektrik. Sistem ini memberikan sekitar 12% kuasa daripada kuasa total enjin tanpa memberikan kesan sedikitpun kepada kuasa asal yang dihamburkan oleh enjin.

Bayangkan Tuan-Tuan. Gas ekzos yang biasanya dibuang begitu sahaja dikitar semula dan menghasilkan kuasa sebanyak 12% dari kuasa asal enjin. Punyalah bijak jurutera mereka ni.

Jadi Tuan-Tuan. Inilah sedikit sebanyak informasi tentang enjin yang terbesar di dunia pada hari ini. Mungkin ada yang beranggapan untuk apa 107,390hp dan 7,000,000Nm itu. Namun sekiranya anda mempunyai kapal sebesar 397 meter panjang dan seberat 156,907 DWT(Deadweight Tonnage) seperti Emma Mærsk, anda perlukan kuasa dan daya kilas sebesar ini. Laju tak ? Sekitar 25.5 knot atau 47.2km/h. Laju lah ni untuk kapal kargo. Jangan bandingkan dengan sampan.

Google ads
Back to top button