Pandu Uji

PANDU UJI: KIA CARNIVAL 2022, MUAT SEKELUARGA, DRIVE RASA MACAM KERETA

Sebaik sahaja Bermaz Auto mengumumkan bahawa ia akan mengambil alih jenama Kia daripada Naza, ramai yang menarik nafas lega dan gembira.

Dengan rekod cemerlang menaikkan semula nama Mazda di Malaysia, kepakaran Bermaz Auto dalam menawarkan pengalaman pemilikan lebih baik buat pelanggan sedia ada dan akan datang Kia sememangnya cukup dinantikan.

Apatah lagi, Kia mempunyai banyak model menarik yang hanya menunggu masa untuk ditawarkan kepada pengguna di Malaysia. Sekali gus dapat memberi lebih banyak pilihan kepada kita semua.

Tidak menunggu lama, Dinamikjaya Motors yang menjadi pengedar eksklusif kenderaan Kia memulakan kempen agresif mereka dengan memperkenalkan model MPV terbaharunya, Carnival ke pasaran.

Sedia maklum bahawa dalam zaman yang semua orang hendak beli SUV, mujurlah Kia masih mahu menawarkan MPV moden yang mampu memenuhi ekspektasi pembeli.

Berbanding dengan model terdahulu, Carnival yang sudah memasuki generasi keempat itu menerima perubahan yang sangat ketara. Sama ada dari segi rekaan luaran, dalaman, teknologi dan rangkaian kuasa.

Baru-baru ini, kami sempat memandu uji Carnival dari Shah Alam ke Ipoh, Perak. Perjalanan yang melibatkan laluan lebuh raya dan jalan kampung itu membolehkan media mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kelebihan serta kelemahan yang ada pada Carnival.

Rekaan luaran

Dari segi penampilan, Carnival sedikit lari daripada rekaan MPV konvensional yang berkotak dan mempunyai bumbung tinggi. Sebaliknya, people mover itu hadir dengan bumbung lebih rendah yang banyak membantu dalam memberikan kualiti pengendalian lebih baik.

Wajahnya diserlahkan dengan falsafah reka bentuk tiger nose Kia. Grilnya terdiri daripada kotak-kotak berwarna krom. Sepasang lampu utama LED nipis dipasang bersama kemasan krom pada sekelingnya yang membuatkan bahagian hadapan nampak begitu moden dan menarik.

Di sebelah lampu kabus hadapan pula terdapat corong udara yang berfungsi menambah baik aliran udara. Bahagian radiator ada corong untuk meningkatkan kecekapan penyejukannya.

Kemasan berwarna perak dilayangkan pada bahagian bawah bampar untuk memberikannya sedikit gayaan sebuah SUV. Memang cantik dan tidak nampak pelik.

Melihat dari arah sisi, Carnival yang sepanjang lebih lima meter itu hadir dengan garis badan ringkas, bingkai cermin berwarna hitam dan kemasan potongan berlian berwarna perak yang dikatakan membantu dari segi aerodinamik.

MPV itu juga menggunakan rim dua tona bersaiz bersaiz 18 inci. Tidak ketinggalan, roof rails yang membuatkan gayaan Carnival lebih mantap berbanding MPV lain di pasaran.

Beralih ke bahagian belakang, rekaan kemas diteruskan dengan lampu nipis yang melintang. Berbeza dengan lampu utama di hadapan, ia hanya menggunakan mentol biasa dan bukannya LED.

Satu lagi perkara yang saya fikir kurang sesuai ialah lampu isyarat membelok yang diletakkan pada bampar dengan posisi agak rendah sebenarnya. Tidak mustahil pengguna jalan raya yang lain tidak perasan jika pemandu ingin menukar haluan.

Ruang kabin

Ruang dalaman Carnival hadir dalam padanan kemasan kulit berwarna coklat terang dan hitam pada tempat duduk, panel pintu, papan pemuka serta konsol tengah. Digabungkan dengan kemasan bumbung berwarna cerah, ia memberikan rasa mewah dan luas kepada ruang ini.

Papan pemuka dihuni oleh skrin sentuh untuk infohibur bersaiz 12.3 inci. Saya harus puji bahawa kualiti visual kamera 360 darjah yang dipaparkan ketika mengundur sangat jelas, jauh lebih baik berbanding model jenama dari Jepun Jepun atau Eropah.

Di konsol tengah pula, tiada tuil gear. Sebaliknya, pemandu perlu menukar kedudukan gear sama ada P, R, N atau D menerusi tombol rotari. Penggunaan brek parkir elektronik juga menjadikan ruang konsol lebih kemas bersama dua tempat meletak botol minuman.

Jentera itu menawarkan ruang dalaman yang cukup luas untuk 11 orang penumpang. Ia hadir dengan konfigurasi empat baris tempat duduk 2-3-3-3. Jika semua kerusi digunakan, ruang untuk meletak beg langsung tiada.

Tetapi, bukan selalu semua kerusi itu digunakan. Jadi, kerusi baris terakhir boleh dilipat rata sekali gus menyediakan ruang untuk anda meletak bagasi. Kerusi tengah (jump seat) pada baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberi ruang akses atau dijadikan perehat tangan serta meletak minuman.

Saya sempat duduk di kedua-dua tempat duduk itu. Sebenarnya selesa juga untuk perjalanan yang tidak terlalu jauh. Cuma, untuk memberikan lebih ruang kepala, tempat duduk berasa agak rendah dan membuatkan peha sedikit tergantung. Penat juga kalau duduk begini dalam tempoh yang lama.

Namun, setiap penumpang tidak akan kepanasan kerana corong pendingin hawa ada disediakan pada bumbung dan boleh dilaras mengikut kesesuaian.

Prestasi

MPV ini menggunakan khidmat enjin turbo diesel 2.2 liter Smartstream yang mampu menjana kuasa 199hp dan tork 440Nm. Berbeza dengan model terdahulu yang dipasang kotak gear automatik enam kelajuan, Carnival 2022 didatangkan dengan kotak gear E-Shift lapan kelajuan automatik.

Hasilnya? Rangkaian kuasa itu boleh membuatkan anda terlupa memandu sebuah MPV bersaiz besar. Tujahan kuasanya rasa cukup ketara setiap kali pedal minyak ditekan. Penukaran gear yang pantas dan respons stereng menjadikan pengalaman memandu Carnival begitu menyeronokkan.

Kualiti kesenyapan atau NVH juga memuaskan. Sama ada ketika memandu laju di atas lebuh raya atau mengemudi jentera besar ini di bandar, talaan suspensi memastikan semua penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan.

Keselamatan

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, Carnival sarat dengan sistem keselamatan pasif dan aktif. Ini termasuklah brek ABS, 7 beg udara, ESC, Traction Control System (TCS), Multi-Collision Brake Control (MCB), cagak ISOFIX dan Hill-start Assist Control (HAC).

Ciri Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA) pula memastikan keselamatan penumpang terutama anak kecil ketika hendak keluar dari pintu sisi.

Kalau diikutkan, masih banyak lagi keistimewaan yang ada pada Carnival. Tapi, kalau tulis semua penat pula nak baca. Jadi, saya akan cuba untuk huraikan dalam video atau artikel pandu uji yang lain.

Sekiranya berminat, anda sudah boleh menempah Carnival yang ditawarkan dalam bentuk CBU dari Korea ini pada harga bermula RM196,340 seunit.   

GALERI

Google ads
Back to top button