Buletin

WRC 2024 – KALLE ROVANPERA DAN TOYOTA KEMBALI MENANG DI RALLY CHILE

Setelah mengalami episod duka sebelum ini buat pasukan Toyota Gazoo Racing, akhirnya pemandu separuh masa mereka, Kalle Rovanpera berjaya memenangi perlumbaan di Rally Chile Bio Bío dalam keadaaan perlumbaan yang berkabus dan mencabar sekali gus meraikan kemenangan keempat buat beliau musim ini di FIA World Rally Championship (WRC).

Memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 Hybrid, pemandu dari Finland itu mengenepikan rakan sepasukannya di Toyota Gazoo Racing Elfyn Evans dengan kelebihan 23.4 saat, untuk menakluki laluan trek yang cukup sukar dan lembap akibat cuaca yang berkabus di seluruh wilayah Bio Bio Chile.

Kalle Rovanperä membuat permulaan berhati-hati untuk perlumbaan ke-11 musim ini, mengakui bahawa permukaan batu kerikil Chile tidak sesuai dengan gaya pemanduannya. Namun begitu, semasa perlumbaan berlangsung, beliau berjaya menemui rentaknya.

Titik perubahan berlaku pada petang Sabtu apabila beliau berjaya meninggalkan Elfyn Evans dalam jarak penglihatan hampir sifar, menavigasi melalui kabus tebal yang tinggi di atas laluan gunung untuk terus mendahului dengan kelebihan 15.1 saat menuju ke hari terakhir perlumbaan pada Ahad.

Dan juara WRC kali itu kekal mendahului Elfyn Evans kecuali satu daripada empat peringkat terakhir untuk muncul juara bagi memastikan kemenangan ke 15 dalam kerjaya beliau di pentas WRC ini dicapai tanpa masalah. Yang pasti, kemenangan 1-2 Toyota Gazoo Racing di Chile ini pastinya cukup melegakan buat mereka.

Ott Tänak dari Hyundai Motorsport melengkapkan podium terakhir, mengekori Elfyn Evans dengna ketinggalan 20.5 saat bersama jentera Hyundai i20 N Rally1. Di sebalik podium yang dimiliki Ott Tanak, pasukan Hyundai Motorsport tewas dalam kejuaraan Pengeluar dengan pasukan Toyota Gazoo Racing di Chile ini apabia mengurangkan jurang kepada hanya 17 mata, terima kasih kepada persembahan cemerlang trio mereka termasuklah Sebastian Ogier yang turut mengutip mata penting ketika peringkat akhir Power Wolf Stage.

Pendahulu pungutan mata kejuaraan WRC Thierry Neuville pula berada di tempat keempat keseluruhan untuk terus mengutip mata penting dalam memburu kejuaraan sulung WRC beliau. Kini Thierry Neuville sedang mendahului 29 mata di hadapan dengan berbaki dua lagi perlumbaan. Beliau boleh terus menjulang kejuaraan WRC di Central European Rally dengan menang di sana sekali gus mengenepikan saingan dua lagi pemandu Ott Tanak dan juga Sebastian Ogier.

BACA : WRC 2024 – THIERRY NEUVILLE BERADA PADA LANDASAN YANG TEPAT UNTUK MUNCUL JUARA

BACA : WRC 2024 – SEBASTIAN OGIER AKAN MENGEJAR KEJUARAAN WRC BUAT KALI KESEMBILAN MUSIM INI

Google ads

B K

Back to top button