
WRC 2024 - INILAH DIA BARISAN PEMANDU UNTUK PASUKAN TOYOTA GAZOO & HYUNDAI MOTORSPORT BAGI MUSIM HADAPAN
Baru sahaja tamat kempen WRC musim 2023, nampaknya dua pasukan utama, Toyota Gazoo Racing dan juga Hyundai Motorsport telah mengesahkan senarai barisan pemandu mereka bagi menghadapi saingan FIA World Rally Championship (WRC) 2024.
Toyota Gazoo Racing
Pasukan yang berasal dari Jepun ini telah pun mengumumkan senarai barisan pemandu mereka bagi menghadapi WRC musim 2024 sebaik sahaja tamat perlumbaan terakhir WRC 2023 di FORUM8 Rally Japan. Musim hadapan Toyota Gazoo Racing akan diketuai oleh Elfyn Evans yang tampaknya bakal memikul selaku pemandu utama untuk terus mengutip mata bagi pasukan serta terus mencabar kejuaraan WRC sementelah beliau dua musim hanya menjadi naib juara.

Jentere kedua bakal dipandu oleh pemandu Jepun Takamoto Katsuta yang dinaikkan pangkat daripada pemandu sambilan ke pemandu sepenuh masa. Sudah tentu peluang ini cukup dinantikan oleh Takamoto Katsuta untuk lebih menyerlah dalam kempen WRC.
Sementara itu, pengumuman mengejutkan apabila juara bertahan WRC dua kali berturut – turut, Kalle Rovanpera memutuskan untuk hanya menyertai kempen WRC 2024 secara sambilan sahaja dan bakal hanya beraksi separuh pusingan sahaja. Katanya beliau mahu berehat seketika sementelah terbabit dalam sukan rali semenjak 15 tahun yang lalu.
Dan untuk itu, Kalle Rovanpera bakal berkongsi jentera ketiga Toyota Gazoo Racing bersama Sebastian Ogier yang masih akan terbabit bersama pasukan secara sambilan sahaja.

Hyundai Motorsport
Dua jentera utama Hyundai i20 N Rally1 bakal menjadi tanggungjawab dua pemandu berpengalaman, Thierry Neuville dan juga Ott Tanak yang kembali semula menyertai pasukan yang berpangkalan di Jerman itu. Sudah tentu dua pemandu utama ini diharapkan untuk terus mencabar kejuaraan WRC serta mengutip mata pasukan.

Jentera ketiga akan dipandu oleh Esapekka Lappi yang memutuskan hanya mahu memandu secara sambilan sahaja. Musim ini, Esapekka Lappi menyertai pasukan Hyundai Motorsport secara sepenuh masa setelah membuat penampilan secara sambilan bersama pasukan Toyota Gazoo Racing musim sebelumnya. Menurut pemandu dari Finland tersebut, beliau merasakan perlunya untuk lebih banyak masa bersama keluarga bagi membolehkan beliau kekal bersemangat dan bermotivasi untuk kekal berlumba,
Selain daripada itu, Esapekka Lappi juga akan turut menggalas peranan bagi memastikan jentera Hyundai i20 N Rally1 ini terus dibangunkan sepanjang masa. Dan untuk jentera ketiga Hyundai masih belum lagi menamakan siapakah yang akan berkongsi jentera dengan Esapekka Lappi. Sama ada Dani Sordo, seorang pemandu yang berpengalaman atau pun Teemu Suninen, pemandu yang sedang meningkat naik.
M-Sport Ford
Buat masa ini tiada sebarang pengumuman yang dibuat. Masih berteka teki. Ramalan BK mungkin Dani Sordo akan disambar sekiranya beliau tidak lagi bersama Hyundai. Andreas Mikkelsen yang baharu menjuarai WRC2 mungkin calon sesuai untuk memandu jentera kedua Ford Puma Rally1.
Oliver Solberg juga mungkin calon yang sesuai cumanya mungkin akan ada isu membabitkan penaja memandangkan Monster Energy adalah penaja peribadi pemandu tersebut. Manakala Redbull pula adalah penaja rasmi untuk pasukan M-Sport. Mana mungkin pelekat penaja yang berada dalam bidang yang sama (minuman tenaga) akan berada di jentera yang sama. Tapi siapa tahu kan?
BACA : WRC2 – INILAH BARISAN PEMANDU HANDALAN MUSIM 2023
BACA : WRC 2023 – SEBELUM RALLY SWEDEN, PEMANDU WRC BERLUMBA DAHULU DI RALI KEBANGSAAN









