Buletin

WRC2 2024 – KEMENANGAN UNTUK YOHAN ROSSEL DAN CITROEN C3 RALLY2

Pemandu dari Perancis dalam kelas WRC2, FIA World Rally Championship, Yohan Rossel berjaya memenangi perlumbaan di Rally Chille Bio Bío dengan memandu jentera Citroen C3 Rally2. Turut sama menemani beliau di atas podium adalah pemenang kedua Nikolay Gryazin yang turut memandu jentera yang sama sekali gus memberikan kemenangan 1-2 buat pasukan DG Sport Competition.

Dengan dibezakan hanya 17.3 saat, ternyata persaingan sengit diantara Yohan Rossel dan Nikolay Gryazin berlarutan sehingga ke garisan penamat selama tiga membabitkan lebih 300 km jarak laluan yang cukup mencabar dan berbahaya untuk perlumbaan di Chile ini. Malah Yohan Rossel diberikan sedikit kelebihan apabila catatan masa diperbetulkan oleh Steward pada malam Sabtu setelah beliau terhenti di belakang Oliver Solberg dengan memberikan kelebihan 21.6 saat ketika memulakan saingan pada hari Ahad.

Sungguh pun demikian ketika diasak hebat oleh Nikolay Gryazin untuk cuba mengurangkan defisit masa, Yohan Rossel tetap berjaya menamatkan perlumbaan di podium pertama. Kemenangan ini sekali gus memberikan harapan semula buat pemandu Perancis ini untuk merebut kejuaraan WRC2 musim ini. Malah kemenangan 1-2 ini juga memberikan pasukan DG Sport Competition sebagai juara Pengeluar WRC2 musim ini.

Melengkapkan podium ketiga adalah Gus Greensmith yang memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2 hanya dengan ketinggalan 3.4 saat sahaja.

Nasib malang menimpa pemandu pilihan Oliver Solberg untuk aksi di Chile yang sungguh mencabar ini. Walau pun Oliver Solberg sempat mendahului di awal saingan di hadapan Yohan Rossel dan juga Nikolay Gryazin namun beliau mengalami sedikit drama apabila mengalami masalah dengan kerosakan tayar jentera yang dipandu Skoda Fabia RS Rally2 hingga menyebabkan beliau terpaksa berhenti menukar tayar dan mengakibatkan kerugian masa hampir dua minit. Oliver Solberg akur untuk berada di tempat keempat keseluruhan sahaja.

Cuma malangnya apabila Oliver Solberg telah pun melengkapkan tujuh perlumbaan yang perlu disertainya untuk musim ini walau pun perlumbaan masih lagi berbaki dua perlumbaan di Central European Rally dan juga di Jepun.

Walau pun masih lagi mendahului dari segi pungutan mata kelas WRC2, namun Oliver Solberg masih lagi perlu menunggu baki dua lagi perlumbaan dalam kalendar musim ini dengan Yohan Rossel dan juga Sami Pajari masih lagi mempunyai harapan untuk turut mencabar merebut tahta WRC2.

BACA : WRC2 2024 – OLIVER SOLBERG MENANG BERGAYA DI FINLAND

BACA : WRC2 2024 – SAMI PAJARI MENANG LAGI DI GREECE

Google ads

B K

Back to top button