
HYUNDAI KELUARKAN 100 JUTA UNIT KENDERAAN, IONIQ 5 UNIT KE-101 JUTA!
Lonjakan perkembangan Hyundai Motor Company membuka mata ramai dan kini sebaris dengan pengeluar antarabangsa lain.
Satu yang menarik ialah, kedua-dua kenderaan Hyundai dan Kia dijual seiring di pasaran namun tetap berjaya memikat pembeli.
Strategi Hyundai dan Kia ialah berkongsi perkakasan yang sukar dilihat mata kasar dan dibezakan pada penampilan.
Kedua-dua syarikat juga berani mengambil pekerja yang mempunyai nama dan pengalaman, yang akhirnya diterjemahkan kepada produk bermutu.

Ditubuhkan pada 1957, Hyundai Motor Company dilahirkan di dalam sebuah kumpulan yang terlibat dalam industri pembinaan dan sebelum syarikat kereta ditubuhkan, sudah melangkah ke luar negara.
Hyundai Motor Group kini terlibat dalam pelbagai bidang dari perkapalan, semikonduktor sehingga mesin basuh di rumah.
Terbaru Hyundai Motor Company meraikan pengeluaran kenderaan yang ke-100 juta.
Pencapaian itu diraih pada usia 57 tahun dan meletakkannya sebagai salah satu pengeluar terpantas di dalam industri automotif di dunia.

Hyundai meraikannya di Kilang Ulsan dan menyerahkan unit ke-101 juta iaitu Ioniq 5 secara terus kepada pelanggan.
Bermula dengan Cortina pada 1958 hasil kerjasama Ford, Hyundai boleh berbangga menghasilkan kenderaan elektrik (EV) Ioniq 5.
Dari kerjasama dengan syarikat asing dan enjin pembakaran dalaman kepada penghasilan kereta dan teknologi canggih buatan sendiri.
Kilang Ulsan memulakan operasi pada 1968 dan memegang peranan penting dalam sejarah sebagai tempat kelahiran pembangunan industri automotif Korea.

Kilang Ulsan mengeluarkan Pony pada 1975 iaitu model pengeluaran bebas pertama Korea dan kini menjadi hab elektrifikasi, di mana Hyundai sedang membangunkan kemudahan EV khusus.
Hyundai Motor mempunyai kilang di merata tempat seperti di Türkiye, India, Amerika Syarikat (AS) dan Republik Czech dan telah menyumbang kepada pengeluaran melebihi 50 juta pada 2013.
Pada 2023, Hyundai telah menubuhkan Hyundai Motor Group Global Innovation Center Singapore (HMGICS) iaitu sebuah konsep baharu hab mobiliti urban pintar.

Platform pengeluaran inovatif dan teknologi termaju dibangunkan di sana termasuk kecerdasan buatan (AI), robot dan kilang pintar dan akan diperkenalkan ke kilang pengeluaran masa depan seperti HMGMA di AS.
Selain hebat dengan kereta, teknologi dan pengeluaran, Hyundai juga cemerlang di dalam sukan permotoran dan sudah tiga kali menjuarai kategori pengeluar di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Sejumlah model N seperti i30, Veloster, Kona, Elantra, i20 dan Ioniq 5 pula membuktikan kehandalan Hyundai dalam menghasilkan kereta berpretasi tinggi sebaris dengan pengeluar Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.








