BuletinMotosikal

ZAPP i300, SKUTER ELEKTRIK 0 – 48 KM/J KURANG DARI 2.4 SAAT!

Idea motosikal elektrik ini sebenarnya sudah lama. Pada tahun 2011 Modenas telah melancarkan CTric pada harga yang begitu menarik iaitu RM4,888.

Selepas itu gelombang motosikal elektrik dihangatkan pula apabila KFC menggunakannya sebagai kenderaan penghantar makanan. 

Terkini program motosikal elektrik diteruskan melalui penjualan Treeletrik yang baru-baru ini menghadiahkan dua buah unit kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Potensi segmen ini sebenarnya besar untuk jenama persendiran memandangkan jenama besar belum memasarkannya secara besar-besaran.

Di United Kingdom ada satu jenama motosikal elektrik yang dikenali sebagai Zapp. Syarikat ini diasaskan oleh sekumpulan peminat motosikal yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang automotif.

Melalui pengalaman yang dimiliki mereka menghasilkan skuter elektrik i300 dengan reka bentuk radikal ala motosikal sport. Projek ini bukan lagi angan-angan atau diperingkat prototaip kerana Zapp telah pun melancarkannya pada 31 Oktober.

Zapp i300 dikuasakan oleh bateri ringan lithium-ion dan magnet motor elektrik. Motor skuter ini berkuasa 14kW dan dengan berat hanya 90 kg mampu memecut dari 0 – 48 km/j dalam masa kurang dari 2.4 saat. Memang pantas.

Satu ciri istimewa tentang skuter ini ialah baterinya boleh dicabut dan mudah untuk dibawa serta boleh dicas menggunakan soket rumah.

Selain itu, i300 turut mempunyai mode pilihan brek regeneratif yang mengecas semula tenaga apabila penunggang tidak menggunakan pendikit.

Sistem brek regeneratif juga digunakan sebagai kaedah untuk memperlahankan skuter dalam trafik yang sesak seterusnya menjimatkan penggunaan brek.

Skuter ini menggunakan roda belakang nipis saiz 140/60 yang diisi dengan gas nitrogen. Brek hadapan menggunakan cakera berongga dan bergaris dengan empat omboh dan ABS untuk hentian berkesan.

Fork pula dari jenis USD dengan isian gas manakala bahagian belakang menggunakan suspensi dan lengan ayun tunggal ala superbike.

Zapp i300 boleh dikonfigurasi mengikut pelbagai citarasa dan gaya. Terdapat pelbagai pilihan warna, komponen gentian karbon, jenis pelana, storang barang dan aksesori lain.

Zapp i300 sudah boleh ditempah melalui laman webnya bermula 31 Oktober. Sayangnya skuter yang cun ini hadir tanpa harga rasmi dalam siaran media dan kami tidak dapat memberikan angkanya.

BACA: HONDA ELITE 150 – SKUTER DENGAN LAMPU POP-UP YANG COOL

BACA: YAMAHA LEXi 125 – SKUTER PREMIUM YANG MURAH BETUL!

Google ads
Back to top button