Buletin

MARUTI SUZUKI HILANG TAKHTA, PEMBELI DI INDIA BERUBAH SELERA

Selama lebih empat dekad, Maruti Suzuki menjadi nama yang sinonim dengan kereta mampu milik di India.

Strategi menawarkan model yang murah untuk dibeli serta menjimatkan kos penyelenggaraan menjadikan jenama itu pilihan utama jutaan pengguna, malah pernah menguasai sehingga 80 peratus pasaran kereta baharu di negara tersebut.

Namun landskap automotif India kini berubah seiring peningkatan taraf hidup rakyatnya. Pembeli semakin cenderung kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) yang lebih besar serta dilengkapi pelbagai ciri premium seperti bumbung suria (sunroof), paparan infotainmen bersaiz besar dan teknologi bantuan pemandu.

Perubahan itu menyebabkan pegangan pasaran Maruti Suzuki merosot kepada sekitar 39 peratus, antara paras terendah dalam sejarah syarikat di negara berkenaan.

Menurut laporan Reuters yang memetik lebih 20 individu termasuk eksekutif dan pembekal, pengurusan Suzuki di Jepun dikatakan mengambil masa agak lama untuk menerima hakikat bahawa pengguna India kini lebih mengutamakan ciri moden berbanding harga semata-mata.

Antara contoh yang sering dibangkitkan ialah cadangan memasang sunroof pada model Maruti Suzuki sekitar sedekad lalu. Idea itu dikatakan tidak dipersetujui kerana pihak pengurusan berpandangan cuaca panas serta keadaan jalan berdebu di India menjadikannya kurang praktikal, selain meningkatkan kos pengeluaran.

Akibatnya, Maruti Suzuki hanya mula menawarkan sunroof pada 2022, ketika pesaing tempatan seperti Tata Motors dan Mahindra & Mahindra sudah lama menjadikannya antara ciri standard bagi banyak model mereka.

Maruti Suzuki bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa pihak pengurusan Jepun enggan mengikut kehendak pasaran.

Ketua Hal Ehwal Korporatnya, Rahul Bharti, berkata setiap keputusan pembangunan produk dibuat selepas perbincangan menyeluruh antara pasukan di Jepun dan India dengan mengambil kira faktor kos, keselamatan, pelepasan emisi serta kesesuaian iklim.

Beliau turut menjelaskan penyusutan pegangan pasaran syarikat bukan hanya berpunca daripada kekurangan ciri premium, sebaliknya disebabkan permintaan terhadap kereta kompak yang semakin berkurangan, kelewatan memasuki segmen SUV dan keputusan menghentikan penjualan model diesel pada 2020.

Walaupun kehilangan sebahagian penguasaan pasaran, prestasi kewangan Maruti Suzuki masih kukuh. Dalam tempoh lima tahun lalu, hasil syarikat meningkat lebih dua kali ganda kepada kira-kira AS$19 bilion, manakala keuntungan melonjak tiga kali ganda kepada sekitar AS$1.5 bilion.

India kekal pasaran terpenting Suzuki dengan kira-kira 60 peratus daripada 3.3 juta kenderaan yang dijual syarikat itu di seluruh dunia tahun lalu berasal dari negara tersebut.

Bagaimanapun, penganalisis Nomura Securities, Toshihide Kinoshita, berpendapat Maruti Suzuki kini berdepan risiko dilihat sebagai jenama untuk generasi terdahulu, sedangkan majoriti pembeli kereta baharu di India terdiri daripada golongan berusia sekitar pertengahan 30-an.

Bagi mengembalikan daya saing, Suzuki dilaporkan memberi lebih banyak autonomi kepada pasukan penyelidikan dan pembangunan di India selain mempercepatkan proses pembangunan model baharu daripada 48 bulan kepada hanya 36 bulan.

Syarikat itu turut membina lebih banyak pusat ujian kenderaan di India bagi mempercepatkan proses pembangunan produk.

Dalam masa sama, Maruti Suzuki mula memperkenalkan model yang lebih premium dan berciri moden termasuk MPV tiga baris tempat duduk bernilai sekitar AS$25,000 serta merancang melancarkan tujuh lagi SUV menjelang 2030.

Model-model baharu itu bakal dilengkapi ciri yang sebelum ini jarang ditawarkan oleh Maruti Suzuki seperti sunroof, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dan paparan infotainmen lebih besar.

Namun cabaran terbesar syarikat kini ialah mengubah persepsi pengguna. Selama bertahun-tahun, Maruti Suzuki dikenali sebagai jenama kereta mampu milik, menyebabkan ramai pembeli yang mempunyai bajet lebih tinggi memilih jenama lain seperti Mahindra atau Toyota apabila mahu menaik taraf kenderaan.

Perubahan strategi itu bakal menjadi penentu sama ada Maruti Suzuki mampu merampas semula dominasi yang pernah dinikmatinya atau terus berdepan persaingan sengit dalam pasaran automotif India.

Google ads
Back to top button