Buletin

GEELY GALAXY TT ULTRA DIBUKA UNTUK PRA-TEMPAHAN DI CHINA, TAMPIL SISTEM PACUAN ELEKTRIK 16-IN-1 PERTAMA DUNIA

Geely membuka pra-tempahan bagi sedan elektrik bersaiz sederhana hingga besar terbaharunya, Galaxy TT Ultra, yang hadir dengan teknologi pacuan elektrik 16-dalam-1 pertama di dunia hasil pembangunan syarikat itu sendiri.

Model berprestasi tinggi ini ditawarkan pada harga permulaan 209,800 yuan (kira-kira RM126,886), dengan kumpulan pertama terhad kepada hanya 999 unit.

Galaxy TT Ultra dibangunkan menggunakan platform elektrik 800V dan dipacu sistem pacuan semua roda (AWD) dwi-motor.

Motor hadapan menghasilkan kuasa 180kW manakala motor belakang 245kW, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 425kW atau sekitar 570hp.

Gabungan kuasa itu membolehkan sedan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

Kuasa disalurkan oleh pek bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 75.2kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 650 kilometer mengikut kitaran CLTC.

Sistem pengecasan pantas 6C pula membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 11.6 minit.

Bagi meningkatkan pengalaman pemanduan, stereng turut dilengkapi butang khas “Boost” yang mengaktifkan mod prestasi maksimum selama 20 saat.

Dari segi reka bentuk, Galaxy TT Ultra menampilkan profil aerodinamik dengan garis bonet tajam serta lampu hadapan LED bersepadu. Dimensinya ialah 4,999mm panjang, 1,919mm lebar dan 1,479mm tinggi, bersama jarak roda sepanjang 2,920mm.

Penampilannya turut diperkemaskan dengan pintu tanpa bingkai, rim aloi 19-inci, angkup brek merah dan spoiler aktif kawalan elektronik.

Bahagian kabin pula direka dengan konsep moden yang menggabungkan kemasan kayu, permukaan lembut serta bumbung balutan suede.

Sistem infotainmen merangkumi kluster instrumen digital 10.2-inci, skrin sentuh tengah bersaiz 15.4-inci serta paparan realiti tambahan (AR-HUD) berukuran 25.6-inci.

Ia menggunakan sistem operasi Flyme Auto 2 yang dipadankan dengan platform pengkomputeran Dragon Eagle-1, selain dilengkapi sistem audio premium Flyme Sound dengan 23 pembesar suara.

Tempat duduk hadapan menawarkan fungsi pemanas, pengudaraan, urutan serta memori, manakala penumpang belakang turut menikmati ciri pemanas, pengudaraan, urutan dan meja lipat.

Ruang kabin turut dilengkapi peti sejuk/pemanas berkapasiti 5.2 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 8.5 liter, ruang simpanan hadapan (frunk) 43 liter serta ruang kargo belakang sehingga 528 liter.

Dari aspek pemanduan pintar, Galaxy TT Ultra menggunakan cip Nvidia Thor-U bersama sensor LiDAR yang menyokong sistem G-ASD G-Pilot H7.

Ia menawarkan fungsi City NOA dan Highway NOA, bantuan pertukaran lorong melalui arahan suara serta pelbagai ciri keselamatan aktif.

Sistem suspensi menggunakan konfigurasi double wishbone di hadapan dan lima pautan di belakang, dipadankan dengan suspensi CCD serta teknologi AI “Magic Carpet” yang mengimbas keadaan permukaan jalan bagi meningkatkan keselesaan dan kestabilan pemanduan.

Google ads
Back to top button