Buletin

FORD RANGER WILDTRAK SEDIA TAKLUKI DUNIA

Ford baru-baru ini melakukan debut global model Ranger Wildtrak baharu yang merupakan varian  terbaik dalam rangkaian model Ford Ranger.

2015-Ford-Ranger-Wildtrak-mekanika (3)

Jentera itu dilengkapi pelbagai teknologi pintar, selain menjadi salah sebuah trak pikap paling lasak dan berkemampuan tinggi yang ada di pasaran.

“Dibina di atas Ranger baharu yang lebih mantap, pintar dan halus buatannya, Wildtrak baharu sememangnya pilihan tepat untuk pelanggan yang mahu menggabungkan kemampuan sebenar 4×4 dengan gayaan serta ciri-ciri premium,” kata Naib Presiden Pembanguan Produk Ford Asia Pasifik, Trevor Worthington.

Untuk mengangkat Wildtrak sebagai model utama dalam rangkaian varian Ranger, pasukan pereka bentuk memberi penekanan terhadap reka bentuknya yang tegap dan sofistikated.

2015-Ford-Ranger-Wildtrak-mekanika (4)

Diapit oleh lampu utama jenis projektor, gril berbentuk trapezoidal dan corong tampil dengan kemasan berwarna kelabu metalik gelap. Warna sama turut dikenakan pada cermin sisi, hendal pintu, corong udara sisi, bed rail dan lampu belakang untuk memberikannya penampilan lebih sporty.

Walaupun digayakan supaya lebih agresif, Wildtrak turut menampilkan elemen rekaan yang premium dan penuh fungsi. Jentera ini menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci dan warna oren yang dihasilkan secara eksklusif. Wildtrak juga boleh didapati dalam warna putih, hitam, aluminium dan kelabu.  

Wildtrak dipacu oleh enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi Ford yang terbukti di peringkat global. Enjin itu berupaya menjana kuasa mencecah 147kW dan tork setinggi 470Nm untuk prestasi menunda yang terbaik.

2015-Ford-Ranger-Wildtrak-mekanika (1)

Enjin itu juga menampilkan ciri-ciri yang telah ditambah baik, termasuklah sistem kitaran semula gas ekzos yang membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 18 peratus. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang dikaliberasi penuh berhati-hati untuk memaksimumkan prestasi, kehalusan dan penjimatan bahan apinya.

Pada bahagian dalaman, warna oren digunakan untuk menambah rasa sporty kepada ruang kabinnya yang seakan-akan sebuah kereta. Ruang itu menempatkan dua kluster instrumen TFT, skrin sentuh bersaiz lapan inci dan corong pendingin hawa.

Sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 menawarkan pemandu cara yang lebih selamat dan pintar untuk terus berhubung. Dengan menggunakan arahan suara yang lebih santai, seperti “ suhu 20 darjah”, “mainkan Motörhead” atau “saya lapar”, pemandu boleh mengawal suhu kenderaan, sistem hiburan dan navigasi dengan lebih mudah berbanding sebelum ini.

2015-Ford-Ranger-Wildtrak-mekanika (2)

Bagi memberi lebih kemudahan, Ranger baharu menyediakan soket kuasa 240 volt yang boleh digunakan oleh komputer riba atau komputer tablet di mana-mana sahaja.

Sistem bantuan pemandu seperti Lane Keeping Alert, Lane Keeping Aid, Adaptive Cruise Control, Forward Alert, Front and Rear Park Assist, Tire Pressure Monitoring System, Electronic Stability Program, Driver Impairment Monitor dan banyak lagi pasti membantu membuatkan pemanduan anda menjadi lebih mudah.

Transfer case kukuh yang dikawal secara elektronik membolehkan pemandu Ranger varian 4×4 menukar daripada pacuan 4×2 kepada 4×4 ketika kenderaan masih bergerak dengan hanya memutar satu tombol pada konsol tengah. Kekuatan di laluan off-road ini dipadankan dengan keupayaan menunda sehingga 3,500kg serta kapasiti mengangkut beban yang luar biasa.

Dengan kemampuan mengharung air sehingga 800mm dan kelegaan tanah setinggi 230mmm, ia berupaya menempuh kebanyakan laluan paling ekstrem tanpa sebarang masalah.  

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button