Motosikal

KAWASAKI ANGKAT KAKI DARI WORLDSBK

Dalam satu perkembangan mengejut, Kawasaki telah mengumumkan penarikan diri dari Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) bermula musim 2025. 

Ini bermakna, grid musim 2025 akan ketiadaan pasukan dan jentera Kawasaki pada musim tersebut.

Bagaimanapun, pasukan Provec Racing yang mengendalikan jentera kilang Kawasaki di WorldSBK sejak 2011 akan meneruskan program Kawasaki Racing Team dengan mengguna pakai jentera Bimota dan akan dikenali sebagai Bimota by Kawasaki Racing Team.

Walaupun perkembangan terbaru ini mengejutkan ramai pihak apatah lagi Kawasaki merupakan pasukan yang paling berjaya di pentas WorldSBK selepas merekodkan enam kejuaraan dunia bersama pelumba tonggak, Jonathan Rea. 

Namun, cerita Rea bersama Kawasaki berakhir pada penghujung musim 2023 selepas pelumba itu membuat keputusan itu berhijrah ke Yamaha selepas sembilan musim.

Menurut laporan, Provec Racing akan menggunakan jentera yang menggabungkan enjin Kawasaki ZX-10RR dan casis yang dibangunkan sendiri oleh Bimota. Kerjasama antara kedua-dua jenama ini bukanlah asing apatah lagi Kawasaki memperoleh 49.9 peratus saham Bimota sejak 2019. 

Kerjasama itu juga menyaksikan Bimota melancarkan Bimota BX450 dan Tesi H2 dengan masing-masing dikuasakan enjin Kawasaki KX450 dan Kawasaki H2. 

Bagaimanapun, apa yang pasti sekiranya Bimota menyertai WorldSBK, ini bermakna sebuah motosikal baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi. Walaupun nama dan info terperinci masih belum diketahui namun pastinya akan dikuasakan enjin ZX-10RR. 

Google ads
Back to top button