
FORD MUSTANG MACH-E RALLY, EV KUASA TINGGI UNTUK AKSI RALI
Ford mempunyai nama besar dalam dunia rali dan tidak mengejutkan apabila memilih untuk mengeluarkan Mustang Mach-E Rally dan model elektrik pertama Ford yang diinspirasi dari rali.
Di dalam dunia kenderaan elektrik (EV) sudah ada kereta untuk jalanan dan litar dan idea Mustang Mach-E Rally ialah untuk jalan raya dan laluan bertanah. Satu yang baharu dan terbuka untuk disaingi.
Model ini dipertingkat dari Mustang Mach-E GT dengan dua motor yang disasar untuk mencapai sekurang-kurangnya 880Nm dan kuasa 358 kilowatt (kW) (480 kuasa kuda).
Kuasa itu disumber dari bateri litium-ion dengan kapasiti 91 kilowatt-jam (kWj).
Sebagai sebuah jentera dengan inspirasi rali, suspensi asal ditinggikan sebanyak 20 milimeter (mm) berbanding Mustang Mach‑E GT.
Turut dilengkapi gegelung talaan khas, penyerap hentak MagneRide® dan brek cakera depan saiz 385 mm dengan angkup brek merah dari Brembo®.
Satu perkakasan rali yang menyerlah ialah rim 19 inci warna putih kilat yang diinspirasi dari sejarah panjang kereta rali Ford dan dipadan bersama tayar Michelin CrossClimate2 saiz 235/55 R19.
Untuk aksi di laluan off-road, Mustang Mach-E Rally mempunyai Mod Pemanduan RallySport Drive dan pertama dari Ford.
Sistem itu menyesuaikan kawalan elektronik untuk lebih gelongsoran dan tindak balas pendikit yang linear untuk kawalan yang lebih baik.
Sistem itu juga menetapkan redaman lebih agresif untuk pengendalian lebih baik ketika menghadapi keadaan yang menggelangsar di selekoh.
Tidak hanya di laluan bertanah, mod itu dengan tayar baharu boleh dimanfaatkan ketika di laluan bersalji atau jalan raya yang licin.
Dari segi gaya, Mustang Mach-E Rally tidak tampil agresif kecuali spoiler belakang yang diilhamkan dari Focus RS.
Pendakap roda dan bumbung dibuat warna hitam dan bampar depan menggunakan pemisah baharu. Panel depan juga berbeza dengan dua unit lampu kabus ala kereta rali.
Setiap Mustang Mach-E Rally mempunyai jalur lumba dan pelanggan boleh memilih warna badan Grabber Blue, Shadow Black, Eruption Green, Grabber Yellow, Star White dan Glacier Gray.
Bahagian dalam pula ringkas dengan riasan putih pada papan pemuka, stereng dan sulaman berlawanan pada panel pintu. Pemandu diberi kerusi prestasi dengan sulaman putih dan cetakan Mach-E Rally.
Tempahan Mustang Mach-E Rally dibuka pada awal 2024 dan akan diserahkan kepada pelanggan tidak lama selepas itu.
BACA: FORD MUSTANG DARK HORSE R, BUKAN DIBUAT UNTUK JALAN RAYA!
BACA: FORD RANGER TREMOR DAN WILDTRAK X UNTUK EROPAH, TAMPIL RUGGED, TREK LEBIH LEBAR!
BACA: FORD PUMA ST POWERSHIFT – ADA DNA RALI NI!
BACA: FORD GT MK IV 2023, LEBIH 800HP, DARIPADA RM7.5 JUTA!

























