Buletin

TEMPAHAN TESLA MODEL 3 PERFORMANCE KINI DIBUKA, HARGA BERMULA RM242K

Pelanggan di Malaysia kini boleh menempah Tesla Model 3 Performance di laman web rasmi Tesla Malaysia pada harga RM242,000.

Tesla Model 3 Performance didatangkan dengan kemas kini dalaman dan luaran termasuk tambahan Mod Ludicrous, sekaligus menawarkan pengalaman pemanduan ke tahap lebih tinggi.

Dari segi penampilan, ia tampil dengan apron hadapan dengan penambah liang sisi, spoiler bawah bampar, bampar belakang berlencana ‘Ludicrous Mode’, diffuser, spoiler but yang dikemaskan bersama gentian karbon dan set rim aloi forged Warp bersaiz 20-inci.

Selain itu, Model 3 Performance turut dilengkapi dengan tempat duduk hadapan baharu dengan lencana ‘Ludicrous Mode’, serta sistem suspensi adaptif serba baharu.

Perincian lain termasuklah upholsteri berwarna hitam (standard) dan pelanggan boleh mendapatkan upholsteri hitam putih dengan bayaran tambahan sebanyak RM5,000.

Tesla Model 3 Performance ditawarkan dalam lima warna iaitu:

  • Pearl White Multi-Coat
  • Solid Black (RM5,000)
  • Deep Blue Metallic (RM5,000)
  • Stealth Grey (RM7,500)
  • Ultra Red (RM11,000)

Dari segi kuasa, Tesla Model 3 Performance dijana Performance Drive Unit (Performance 4DU), konfigurasi dua motor yang diletakkan pada gandar hadapan dan belakang, menghasilkan 460hp.

Model 3 Performance mempunyai daya pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya 3.1 saat dan menawarkan jarak gerak sehingga 528 kilometer (WLTP) sekali cas.

Menurut Tesla Malaysia, pemilik baharu untuk Model 3 dan Model Y serba baharu bakal menikmati program HCP2.0 apabila dibiayai melalui pembiaya pilihan syarikat itu.

Program HCP2.0 turut termasuk Tesla Wall Connector secara percuma, kabel type-2 dan diskaun pemasangan sehingga RM300 dengan Pemasang Sah Tesla

Seperti dinyatakan di atas, Model 3 Performance diberi tanda harga bermula RM242,000 dan penghantaran dijangka bermula suku kedua tahun ini.

GALERI:

Google ads
Back to top button