
BEIJING AUTO SHOW 2024: CHERY TIGGO 9 PHEV DIPERKENALKAN – 2.0T PLUG-IN HYBRID, DILANCARKAN SUKU KEEMPAT 2024
Chery hari ini secara rasmi memperkenalkan tambahan baharu kepada barisan Tiggo di Beijing Auto Show 2024 iaitu Tiggo 9 PHEV.
Chery Tiggo 9 PHEV menonjol sebagai SUV hibrid plug-in yang menggabungkan elemen rekaan berbeza dengan pendekatan teknologi terkini, mencerminkan moto “New energy, new eco, new era”.
Bukan itu sahaja, satu aspek menarik tentang Chery Tiggo 9 PHEV adalah konsep reka bentuknya yang menakjubkan iaitu “conquer & guard”.
Reka bentuk luarannya menampilkan elemen yang menonjolkan kuasa dan keanggunan, sementara ruang dalaman kenderaan menawarkan keselesaan premium.

Dari segi saiz, Tiggo 9 berukuran 4,810mm panjang, 1,925mm lebar dan 1,741mm tinggi atau 36mm lebih tinggi daripada Tiggo 8 Pro.
Tiggo 9 PHEV dipadankan dengan gril oktagonal, garis badan dinamik, dan rim 20 inci sementara bahagian dalam pula, dilengkapi skrin HD 2.5K 15.6-inci serta konsol multifungsi bagi meningkatkan kemudahan operasi di dalam kabin.
Selain itu, tempat duduk 3D yang dijahit khas menambah daya tarikan visual bagi memastikan keselesaan tidak tertandingi, menjadikan setiap perjalanan menyeronokkan untuk penumpang.

Secara mekanikal, Tiggo 9 PHEV dilengkapi dengan enjin 2.0T dan dipadankan bersama transmisi automatik 8-kelajuan, memberikan kuasa maksimum 235hp dan tork 385Nm.
Sementara, motor elektrik ‘3DHT’ Chery berupaya menghamburkan kuasa 221hp dan Chery mendakwa penjimatan bahan api 5.2 liter setiap 100 km dalam mod WLTC China, yang diterjemahkan kepada jarak gerak lebih 1,400 km.
Menurut Chery, Tiggo 9 PHEV akan dilancarkan pada suku keempat 2024, menandakan satu lagi babak baharu untuk Chery dalam pasaran SUV global.
GALERI:










