Artikel Pilihan

10 KERETA PALING JIMAT MINYAK (ICE VS MHEV VS HEV VS PHEV)

Pelaksanaan had penggunaan RON95 sebanyak 200 liter sebulan mungkin nampak seperti satu polisi kecil, tetapi impaknya kepada pengguna jalan raya sebenarnya cukup besar. Dalam situasi yang mencabar ini, pemilihan kereta bukan lagi sekadar soal reka bentuk, prestasi atau jenama, sebaliknya pengguna perlu mula melihat kepada satu perkara yang lebih praktikal iaitu sejauh mana sesebuah kereta boleh bergerak dengan jumlah minyak yang terhad.

Jika sebelum ini pengguna tidak perlu memikirkan isu ini, namun dengan pengenalan had pembelian 300 liter dan terkini penurunan kuota kepada 200 liter sebulan sedikit sebanyak akan menjejaskan pengguna yang sering memandu dalam jarak yang jauh

Jika sebelum ini perbincangan tentang penjimatan bahan api sering berkisar kepada enjin petrol biasa, tetapi hari ini landskap teknologi automotif sudah berubah. Pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan teknologi seperti mild hybrid (MHEV), hybrid penuh (HEV) dan juga plug-in hybrid (PHEV) yang menjadi semakin murah saban hari.

Persoalannya ialah, antara semua teknologi ini, yang mana sebenarnya paling berbaloi dalam situasi had penggunaan bahan api?

Untuk menjawab persoalan itu, berikut adalah 10 kereta yang boleh dianggap antara paling jimat minyak di Malaysia, merangkumi semua kategori teknologi utama yang ada di pasaran hari ini.

Enjin Pembakaran Dalam (ICE)

1. Dalam kategori enjin petrol konvensional atau internal combustion engine (ICE), Perodua Axia 1.0 masih kekal sebagai antara pilihan paling logik untuk pengguna yang mengutamakan penjimatan. Dengan penggunaan bahan api sekitar 3.649 liter bagi setiap 100 kilometer, Axia menawarkan kelebihan dari segi berat yang ringan dan enjin kecil yang cukup efisien untuk kegunaan harian di bandar.

Ia mungkin tidak paling selesa di lebuh raya, tetapi dari sudut kos operasi, sukar untuk ditandingi terutama jika digunakan sebagai kenderaan utama untuk pergerakan harian dalam kawasan yang dekat Dengan 200 liter petrol, Axia boleh bergerak sejauh 5480km sebulan

2. Bagi mereka yang mahukan sedikit lebih ruang tanpa mengorbankan penjimatan, Perodua Bezza 1.3 hadir sebagai alternatif yang sangat menarik. Dengan penggunaan sekitar 4.5 -4.8 liter bagi setiap 100 kilometer, Bezza bukan sahaja lebih aerodinamik, malah menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh berikutan kapasiti tangki yang lebih besar.

Tidak hairanlah model ini menjadi pilihan ramai pemandu e-hailing dan juga pilihan untuk keluarga baru yang memerlukan 1 kenderaan saja. Apatah lagi Bezza hadir dengan kapasiti ruang kargo yang besar dalam keluarga Perodua.

3. Sementara itu, Toyota Vios 1.5 membuktikan bahawa enjin petrol moden masih mampu memberikan tahap kecekapan yang baik. Dengan penggunaan sekitar 5.2 liter bagi setiap 100 kilometer, Vios menawarkan keseimbangan antara keselesaan, prestasi dan penjimatan bahan api, menjadikannya pilihan yang lebih matang untuk kegunaan harian.

Angka ini juga adalah setara dengan pesaing rapat Vios iaitu Honda City 1.5 yang menunjukkan penggunaan bahan api sekitar 5.4-5.6 liter bagi setiap 100km

Mild Hybrid Electric Vehicle (MHEV)

4. Masuk ke kategori mild hybrid, Volkswagen Golf 1.5 eTSI R-Line menunjukkan bagaimana teknologi ini berfungsi sebagai pelengkap kepada enjin petrol tradisional. Sistem belt starter generator membantu mengurangkan beban enjin ketika pecutan dan menjadikan fungsi start-stop lebih lancar.

Namun, dari segi penjimatan, peningkatan yang diberikan adalah sederhana, dengan penggunaan sekitar 5.0 hingga 5.5 liter bagi setiap 100 kilometer. Ia lebih kepada peningkatan kecekapan secara sederhana berbanding perubahan drastik.

Hybrid Electric Vehicle (HEV)

5. Berbeza pula dengan kategori hybrid penuh atau HEV, di mana Honda City RS e:HEV muncul sebagai antara yang paling menonjol. Dengan penggunaan sekitar 3.6 liter bagi setiap 100 kilometer, model ini menggunakan motor elektrik sebagai sumber utama pergerakan dalam banyak situasi, manakala enjin petrol bertindak sebagai penjana kuasa.

Hasilnya, penggunaan bahan api di dalam bandar, terutamanya ketika kesesakan lalu lintas, menjadi sangat rendah. Jika pemandu memilih halaju tinggi, enjin dan motor elektrik boleh bekerjasama memacu roda untuk penggunaan tenaga efisyen.

Angka 3.6 liter juga adalah sama ditunjukkan oleh pesaing rapat Honda City e:HEV iaitu Toyota Vios HEV yang baru dilancarkan baru-baru ini. Berbeza dengan Honda City yang hadir dalam varian sedan dan hatchback, Vios HEV hadir dalam bentuk sedan namun varian sporti hadir dalam versi HEV GRS

6. Pendekatan yang lebih kurang sama turut digunakan oleh Toyota Corolla Cross Hybrid. Walaupun hadir dalam bentuk SUV, model ini masih mampu mencatatkan penggunaan sekitar 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer. Ia membuktikan bahawa saiz kenderaan yang lebih besar tidak semestinya membawa kepada penggunaan bahan api yang tinggi, terutamanya dengan bantuan sistem hybrid yang matang.

7. Bagi mereka yang mahukan SUV kompak dengan teknologi yang sama, Honda HR-V e:HEV menawarkan kombinasi praktikaliti dan kecekapan. Dengan penggunaan sekitar 4.0 hingga 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer, ia menjadi pilihan menarik bagi keluarga yang mahukan ruang tambahan tanpa perlu berkompromi dari segi penjimatan bahan api.

Atau jika anda perlukan SUV dalam segmen C yang lebih besar, pasaran Malaysia masih menawarkan Honda CR-V e:HEV yang lebih luas dan besar. Namun ia hadir dengan penggunaan bahan api 5 liter bagi setiap 100km

Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV)

8. Kategori paling menarik sudah tentu plug-in hybrid atau PHEV. Di sinilah kita melihat perubahan paling ketara dalam cara penggunaan bahan api dan juga tawaran kenderaan PHEV menjadi semakin luas dengan harga yang mampu milik berbanding model sebelum ini.

Model PHEV menawarkan keupyaan kereta elektrik dan juga fleksibiliti enjin untuk perjalanan jarak jauh. Pengguna boleh mengecaj di rumah untuk kegunaan harian dan mengisi petrol bagi perjalanan jarak jauh sekaligus menghapuskan isu kebimbangan jarak perjalanan bagi kereta EV sepenuhnya.

Proton e.MAS 7 PHEV sebagai contoh, dijangka mampu mencatatkan penggunaan sekitar 1.5 hingga 2.0 liter bagi setiap 100 kilometer dalam mod gabungan. Dengan keupayaan untuk bergerak menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya bagi perjalanan harian, penggunaan petrol boleh dikurangkan ke tahap minimum, terutamanya jika kenderaan dicas secara konsisten.

9. Pendekatan yang sama turut ditawarkan oleh Chery Tiggo 7 Pro PHEV dan Chery Tiggo 8 PHEV, yang memberikan nilai tambahan melalui harga yang lebih kompetitif. Dengan jarak pemanduan elektrik yang praktikal untuk kegunaan harian, model ini membolehkan pengguna mengurangkan kebergantungan kepada petrol secara signifikan. Malah model Chery boleh dipandu 1200km dengan satu isian petrol dan satu pengecasan penuh

10. Akhir sekali, BMW 330e membuktikan bahawa kecekapan bahan api tidak semestinya datang dengan pengorbanan prestasi. Dengan penggunaan sekitar 1.3 hingga 1.8 liter bagi setiap 100 kilometer, model ini mampu memberikan pemanduan yang menyeronokkan sambil mengekalkan tahap penggunaan bahan api yang sangat rendah, terutamanya apabila digunakan dengan disiplin pengecasan yang baik.

Secara keseluruhannya, perbandingan ini menunjukkan bahawa setiap teknologi mempunyai kelebihan tersendiri. Enjin petrol biasa masih relevan untuk mereka yang mempunyai bajet terhad, manakala mild hybrid menawarkan peningkatan kecil dari segi kecekapan.

Namun begitu, hybrid penuh muncul sebagai titik keseimbangan terbaik untuk kebanyakan pengguna di Malaysia kerana tidak memerlukan pengecasan luaran tetapi masih menawarkan penjimatan yang ketara.

Dalam masa yang sama, plug-in hybrid boleh dianggap sebagai pilihan paling strategik dalam era had penggunaan bahan api, dengan syarat pengguna sanggup mengamalkan rutin pengecasan secara konsisten. Dalam situasi tertentu, penggunaan petrol boleh menjadi hampir tidak signifikan.

Akhirnya, dalam dunia yang semakin dikawal oleh polisi penggunaan bahan api, satu perkara menjadi semakin jelas ialah kecekapan bukan lagi sekadar kelebihan tambahan, tetapi satu keperluan yang akan menentukan cara kita memilih kereta pada masa hadapan.

Google ads
Back to top button