
BYD MENANG KES FITNAH, BLOGGER DIARAH BAYAR RM1.3 JUTA
Pengeluar kenderaan elektrik dari China, BYD berjaya memenangi rayuan dalam kes fitnah terhadap seorang blogger automotif selepas mahkamah mengarahkan individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan sebanyak AS$293,000 (RM1.16 juta).
Menurut laporan media China, keputusan mahkamah peringkat kedua itu dibuat selepas kandungan yang dimuat naik oleh blogger dikenali sebagai “Long Ge Talks EVs” didapati mengandungi dakwaan tidak disahkan berkaitan sistem bateri, motor dan kawalan elektrik pada kenderaan BYD.
Blogger berkenaan minggu ini turut memuat naik video permohonan maaf dengan mengakui beberapa kenyataan dalam kandungan terdahulu memberi kesan negatif terhadap reputasi syarikat itu.
Mahkamah mendapati video yang diterbitkan melalui akaun “Long Ge Talks EVs” dan akaun berkaitan lain menyebarkan maklumat yang tidak mempunyai bukti teknikal sahih ketika membincangkan isu pembaikan kenderaan BYD.
Susulan itu, mahkamah memutuskan defendan telah menyebarkan maklumat palsu sehingga menjejaskan reputasi komersial dan produk BYD.
Selain diarahkan menghentikan pelanggaran tersebut, mereka juga perlu memadam kesan negatif, membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kepada BYD.
Kes itu sebenarnya bermula sejak Disember 2025 apabila BYD memaklumkan bahawa syarikat telah memenangi keputusan mahkamah peringkat pertama terhadap beberapa akaun media sosial termasuk “Managedian New Energy Auto Repair”.
BYD mendakwa kandungan yang disebarkan menerusi platform seperti Douyin dan WeChat Channels mengandungi maklumat mengelirukan serta tidak tepat mengenai produknya.
Kes berkenaan turut menjadi sebahagian daripada siri pertikaian undang-undang melibatkan pengeluar automotif China dan pencipta kandungan dalam talian, termasuk syarikat seperti Great Wall Motor dan XPeng.
Dalam perkembangan berkaitan, blogger sama juga dilaporkan berdepan tindakan undang-undang lain melibatkan kenderaan jenama Seres dan Aito, dengan mahkamah sebelum ini memerintahkan pampasan sebanyak 160,000 yuan.
Pengurus Besar Jenama dan Perhubungan Awam BYD, Li Yunfei sebelum ini menegaskan syarikat itu menerima kritikan yang berasaskan fakta, namun akan terus mengambil tindakan undang-undang terhadap kandungan fitnah atau maklumat palsu di internet.









