Motosikal

WORLDSSP: ZXMOTO 820RR TAPAU DUCATI PANIGALE V2, YAMAHA YZF-R9 DI PORTUGAL

Jenama motosikal baharu dari China, ZXMOTO, melakar sejarah di Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP) 2026 apabila menjuarai Race 1 di Portugal.

Valentin Debise dari pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros Racing berjaya memenangai perlumbaan Race 1 menggunakan jentera ZXMOTO 820RR. Lebih menarik, Debise menamatkan perlumbaan dengan kelebihan hampir empat saat dihadapan jentera Ducati Panigale V2 dan Yamaha YZF-R9 yang ditunggang Jaume Masia serta Lucas Mahias. 

Sementara itu, rakan sepasukan, Federico Caricasulo turut mencatatkan keputusan positif apabila menamatkan aksi di kedudukan kesembilan. 

Keputusan perlumbaan di Portugal secara tak langsung membuktikan bahawa jenama motosikal dari China mampu menghasilkan jentera yang setaraf jenama lebih terkemuka. 

Lebih mengagumkan, jenama ZXMOTO baru berusia dua tahun selepas ditubuhkan pada 2024 oleh bekas pengasas KOVE Moto, Zhang Xue. 

ZXMOTO (Zhang Xue Motorcycles) merupakan jenama motosikal berprestasi tinggi yang berpangkalan di Chongqing, China. 

Atas kertas, 820RR dikuasakan enjin tiga silinder 819cc berprestasi tinggi. Enjin ini menghasilkan 135hp (820RR), 145hp (820RR-R) dan 150hp (820RR-RS). 

Google ads
Back to top button