
PUBG MOBILE JALIN KOLABORASI DENGAN FORD, BAWA MASUK FORD MUSTANG DAN RAPTOR R
PUBG MOBILE menjalinkan kerjasama istimewa dengan pengeluar automotif terkenal Amerika, Ford Motor Company, menerusi pengenalan dua model ikonik dalam permainan popular itu bermula 15 Mei hingga 7 Julai 2026.
Kolaborasi berkenaan membolehkan pemain merasai pengalaman memandu jentera berprestasi tinggi Ford Mustang GTD serta trak lasak Ford F-150 Raptor R di medan pertempuran maya PUBG MOBILE.
Menerusi kerjasama itu, Ford Mustang GTD tampil sebagai kereta berprestasi tinggi yang diinspirasikan daripada teknologi perlumbaan moden.
Model tersebut hadir dengan pilihan warna eksklusif seperti Spirit of America dan Verdant Legend yang menyerlahkan karakter sporty serta agresif.
Dalam masa sama, pemain turut boleh mengendalikan Ford F-150 Raptor R versi ‘monster truck’ yang direka untuk aksi off-road ekstrem.
Kenderaan itu menawarkan gabungan kuasa, ketahanan dan kawalan mantap bagi menempuh pelbagai cabaran rupa bumi dalam permainan. Ia turut didatangkan dengan pilihan warna Ruby Red dan Orange Flame.
Selain kenderaan, PUBG MOBILE turut menyediakan pelbagai item penyesuaian bertemakan Ford untuk meningkatkan pengalaman permainan.
Antaranya termasuk aksesori aerodinamik seperti splitter hadapan dan spoiler bagi Mustang GTD, selain bumper khas serta lampu tambahan untuk F-150 Raptor R.
Pemain juga boleh mendapatkan item eksklusif lain termasuk Ford Parachute dan Ford Ornament. Mereka yang berjaya melengkapkan keseluruhan koleksi bertema Ford pula bakal menerima ganjaran khas Ford Collection Milestone.
Kolaborasi ini dilihat memberi nafas baharu kepada pengalaman permainan PUBG MOBILE dengan menggabungkan elemen prestasi, gaya dan identiti automotif ikonik Amerika dalam dunia permainan mudah alih.








