
CHEVROLET CORVETTE GRAND SPORT KEMBALI. 535 HP V8 6.7 LITER NA DAN 721HP HYBRID
Walaupun jenama ini akhirnya telah pupus di Malaysia, namun di Amerika jenama Chevrolet masih lagi relevan. Chevrolet akhirnya memutuskan untuk menghidupkan semula nama ikonik Corvette Grand Sport untuk tahun model 2027, menyatukan elemen klasik dan teknologi moden yang lebih agresif.
Model ini diletakkan di tengah-tengah barisan Corvette, menawarkan keseimbangan antara keselesaan harian dan prestasi tinggi. Ia jauh lebih berkuasa daripada Stingray, tetapi tidak ekstrem seperti varian seperti Z06 atau ZR1.
Perubahan paling besar sudah tentu terletak pada nadi utamanya. Corvette Grand Sport 2027 dikuasakan oleh enjin V8 6.7 liter aspirasi normal generasi baharu yang dikenali sebagai LS6. Enjin ini menghasilkan sekitar 535 kuasa kuda dan 705Nm tork, menjadikannya antara enjin NA paling berkuasa dalam sejarah Corvette.

Ia bukan sekadar peningkatan biasa, tetapi dibangunkan dengan teknologi terkini termasuk nisbah mampatan tinggi 13.0:1, throttle body yang lebih besar, sistem intake jenis “tunnel ram” untuk aliran udara lebih efisien, serta komponen dalaman ditempa (forged) bagi memastikan ketahanan pada tahap maksimum.
Dari sudut pemanduan, semua kuasa ini disalurkan ke roda belakang melalui transmisi 8-kelajuan dual-clutch (DCT), memberikan pertukaran gear yang pantas dan lancar. Untuk memastikan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan, Grand Sport turut dilengkapi dengan sistem Magnetic Ride Control, suspensi talaan touring, serta tayar Michelin Pilot Sport All Season sebagai standard.
Ini bermakna kereta ini bukan hanya sesuai untuk litar, tetapi masih praktikal dan selesa digunakan sebagai kenderaan harian yang menawarkan keselesaan berbanding model yang memberi fokus pada perlumbaan

Lebih menarik ialah Chevrolet turut memperkenalkan varian Grand Sport X yang membawa pendekatan berbeza melalui sistem hibrid. Model ini menggabungkan enjin V8 LS6 tadi dengan motor elektrik di gandar hadapan, sekali gus menjadikannya sebuah kenderaan pacuan semua roda (AWD).
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sekitar 721 hp, sekali gus menawarkan tahap prestasi yang jauh lebih ekstrem. Dengan sistem AWD, Grand Sport X bukan sahaja lebih pantas dari segi pecutan, tetapi juga mempunyai cengkaman yang lebih baik, terutama ketika pelancaran dari keadaan pegun dan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Model ini secara tidak langsung menggantikan peranan Corvette E-Ray dalam barisan model baharu Chevrolet. Secara keseluruhannya, Corvette Grand Sport 2027 dilihat sebagai model pertengahan dalam keluarga Corvette.

Ia menggabungkan karakter enjin V8 aspirasi normal yang semakin jarang ditemui dengan teknologi moden seperti transmisi DCT dan pilihan sistem hibrid. Bagi peminat yang mahukan prestasi tinggi tanpa perlu berkompromi terlalu banyak dari segi keselesaan dan kegunaan harian, Grand Sport adalah pilihan yang paling seimbang.
Dengan kuasa 535 hp untuk versi standard dan sehingga 721 hp bagi varian hibrid, jelas bahawa Grand Sport bukan sekadar nama nostalgia, tetapi satu evolusi serius dalam dunia kereta prestasi moden.

