Buletin

SKILLDRVN OMR 2026 BUKA MUSIM PENUH DRAMA – IMRAN UNGGUL, YIN YI CURI TUMPUAN

Pusingan pertama SKILLDRVN OMR 2026 Musim Keempat membuka tirai dengan penuh aksi di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 16 dan 17 Mei lalu, sekali gus menandakan bermulanya satu lagi musim perlumbaan one-make yang semakin mendapat perhatian peminat sukan permotoran tempatan.

Sebanyak 15 jentera Suzuki Swift mengambil bahagian musim ini membabitkan empat kereta dalam kategori Pro Series dan 11 lagi dalam OMR Series.

Penyertaan memberangsangkan itu mencerminkan perkembangan positif platform perlumbaan tersebut sejak diperkenalkan empat tahun lalu.

Kejohanan berkenaan terus mengekalkan konsep penggunaan jentera yang seimbang bagi memastikan persaingan lebih adil, sekali gus memberi penekanan kepada kemahiran pemandu berbanding kelebihan teknikal.

Selain kos operasi yang lebih rendah, pendekatan itu juga membuka peluang kepada lebih ramai bakat baharu untuk menceburi dunia perlumbaan.

Menariknya, musim ini turut menyaksikan OMR menggunakan format standing start tersendiri buat kali pertama, satu pencapaian penting hasil perkembangan konsisten kejohanan tersebut.

Kalendar musim 2026 merangkumi lima pusingan dengan setiap hujung minggu menawarkan dua perlumbaan pecut. Perlumbaan pertama menggunakan rolling start manakala perlumbaan kedua bermula secara standing start bagi menambah cabaran kepada pemandu.

Salah satu tumpuan utama musim ini ialah pengenalan kategori Pro Series yang menampilkan pasukan profesional serta jentera Suzuki Swift dengan talaan lebih kompetitif termasuk peningkatan pada sistem pacuan dan suspensi.

Empat pasukan yang mengesahkan penyertaan musim ini ialah BENDIX Ultimate Racing Team menerusi Teoh Cheong Liong (#888), Profimax Racing Team bersama Andy Boey Kai Jin (#27), Team Ultra Racing yang diwakili Loke Yin Yi (#331) dan ELF Evolution Team bersama Vox Lim Keng Jun (#168).

Dalam sesi kelayakan, Loke Yin Yi muncul pemandu terpantas kategori Pro Series sekali gus meraih petak pertama, manakala Imran Iskandar menguasai OMR Series.

Perlumbaan pertama menyajikan aksi sengit sebaik lampu hijau dilepaskan. Imran berjaya mempertahankan kedudukan pendahulu walaupun diasak hebat pencabar lain.

Pada masa sama, pertarungan Pro Series turut mencuri perhatian apabila Andy Boey sempat mendahului sebelum Yin Yi dan Vox Lim melakukan serangan pada pusingan terakhir untuk kembali merampas posisi depan.

Antara aksi paling mencuri tumpuan hadir daripada Seow Chee Fong (#791) yang memecut dari belakang grid hingga ke kelompok depan dalam salah satu kebangkitan terbaik perlumbaan.

Perlumbaan kedua pula berlangsung lebih agresif dengan beberapa pertukaran kedudukan dramatik. Andy Boey mencatat masa terpantas perlumbaan 2 minit 49.662 saat ketika cuba mengejar Yin Yi di hadapan, namun tekanan berterusan daripada Vox Lim menjadikan saingan Pro Series semakin sengit hingga ke garisan penamat.

Keputusan akhir menyaksikan Loke Yin Yi muncul juara Pro Series diikuti Vox Lim Keng Jun dan Andy Boey Kai Jin.

Bagi OMR Series, Imran Iskandar menjuarai perlumbaan keseluruhan di depan Rafin Ghaith Danial dan Lee G Young.

Google ads
Back to top button