Artikel Pilihan

10+1 SELEBRITI DAN KOLEKSI KENDERAAN KEBANGGAAN MEREKA – MAMPU TENGOK PUN OKEY LA

Pelbagai kategori kenderaan milik selebriti ni sebenarnya. Ada yang suka hypercar dan supercar, ada yang suka sedan mewah dan ada juga yang suka SUV bersaiz gergasi. Kita kumpul je semua sekali tak kiralah ahli sukan ke, penyanyi ke pelakon ke cuma menteri je kami tak pilih. Buang masa. Jom Pok Ya ceritakan satu persatu.

Tom Cruise

Aktor kelas satu Hollywood yang tidak perlu diperkenalkan lagi dan baru sahaja menggegarkan gegendang telinga kita dengan enjin jet pejuang generasi kelima melalui filem Top Gun Maverick. Cruise memang sukakan cabaran dan kelajuan jadi semestinya beliau seorang penggemar kereta. Tipulah kalau cakap sukakan kelajuan tapi cuma suka mengayuh basikal ke hulu ke hilir.

Antara kereta yang berada dalam koleksi Cruise ialah Porsche 928, Nissan 300ZX model perlumbaan SCCA, Porsche 993, Saleen Mustang S281 dan Bugatti Veyron. Bukan itu sahaja, Cruise turut memiliki model sedan seperti BMW 3-series E30 dan model-model muscle klasik seperti Chevrolet Chevelle SS dan Corvette C1. Boleh tahan seleranya kan?

Dwayne Johnson

Juga dikenali sebagai The Rock, Johnson memang suka membelanjakan duitnya untuk kereta-kereta mahal yang kita mampu tengok. Sebagai bekas juara gusti dengan badan yang penuh otot rasanya sukar untuk Johnson memilih hypercar mahupun supercar terbaik dunia. Ye lah beli buat apa kalau nak masuk pun taboley.

Sebab itulah kot Johnson memilih Ford F150 yang diubahsuai untuk kegunaan beliau selain Hennessey VelociRaptor, sebuah lagi F150 yang diubahsuai dengan lebih ekstrim dan dicat dengan warna biru Smurf. Cutenya. Selain daripada trak-trak pikap gergasi itu Johnson juga memiliki Rolls-Royce Wraith di dalam garaj beliau selain sebuah LaFerrari yang diberikan kepada sebuah syarikat auto kepada beliau sebagai pinjaman. Hai muat ke nak masuk tu bro?

Beyonce dan Jay Z

Pasangan penghibur terkaya di dunia ini memang sangat sukakan kereta. Ye lah, beli rumah besar-besar takkan nak pandu ke hulu ke hilir. Antara koleksi termahal mereka ialah sebuah Rolls-Royce Silver Cloud II Drophead 1959 berharga USD1 juta yang dihadiahkan Jay Z kepada Beyonce sempena ulangtahunnya yang ke 25.

Sebagai balasan, Beyonce menghadiahkan pula sebuah Bugatti Veyron Grand Sport kepada Jay Z pada ulang tahun beliau ke 41. Pergh. Itu baru dua. Koleksi lain dalam garaj mereka ialah Ferrari F430 Spider, Porsche 911 Carrera Cabriolet, Pagani Zonda F, Maybach Exelero, Mercedes-Benz SLR McLaren dan Rolls-Royce Phantom VIII. Sebuah lagi kenderaan special milik mereka ialah Dartz Prombrom, sebuah SUV buatan Latvia dengan tingkap kalis peluru dan perisai badan yang kebal dari serangan roket. Takut mati ya bang.

Lady Gaga

Gaga memang mempunyai selera yang unik dan ini termasuklah pilihan kereta kegemaran beliau. Dari kereta mewah, supercar, klasik dan kereta kecil semua beliau ada. Antara model yang dikenali ramai termasuklah Chevy El Camino, Porsche Boxster, Ford Bronco, Chevy Nova SS, Audi R8, Mercs E350 dan Ford Mustang convertible. Hmm, pernah masuk MLM ke Lady Gaga ni?

Slyvester Stallone

Aktor filem aksi paling otai dalam sejarah Hollywood ini pun tak mau kalah dengan koleksi kereta beliau. Antara yang menjadi menjadi pilihan Sly ialah Bugatti Veyron, Mercedes Benz G550, Ferrari 612 Scaglietti dan Mercedes SL65. Beliau turut memiliki sebuah Ford Mustang custom merah hitam dan hot rod Highboy 1932. Ooo klasik parop weh.

Arnold Schwarzenegger

Orang kuat Hollywood ni memang membuatkan PokYa sakit hati masa nak eja nama dia. Panggil arboq baru tahu. Dia bukan setakat bekas pelakon tapi juga bekas ahli sukan dan bekas gabenor California (semua bekas daa). Antara jasa beliau paling besar ialah mempengaruhi AM General supaya memasarkan model-model Humvee atau Hummer kepada orang awam. Sebelum ini ia cuma untuk kegunaan tentera tahu.

Malah beliau sendiri turut memiliki beberapa buah Hummer dalam koleksi peribadi termasuklah sebuah Hummer H1 versi tentera tanpa pintu dengan antenna panjang berjela. Model lain dalam simpanan Terminator ni ialah Porsche Turbo, Dodge Challenger SRT8, Bentley Continental GT dan Mercedes-Benz Unimog.

Lagi gila si Arnold ini turut memiliki sebuah kereta kebal sebenar. Ya… kereta kebal Patton M-47 tahun 1951 yang dipandu beliau sewaktu menyertai perkhidmatan tentera Austria pada tahun 1965.

Rowan Atkinson

Aktor yang terkenal dengan watak Mr Bean ini memang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat kereta. Nampak je bodoh alang lagi bendul tapi dahsyat weh dia memandu. Kereta bekas milik beliau yang paling popular semestinya ialah McLaren F1 yang telah dua kali dibaikpulih akibat kemalangan. Ia kemudian dijual oleh Atkinson dengan harga yang lumayan.

Kini beliau masih memiliki koleksi kereta yang boleh tahan hebat dan antaranya ialah Aston Martin V8 Vantage 1977 dan Rolls-Royce Phantom Drophead yang menjadi menjadi kegilaan ramai penggemar model klasik mewah.

Cristiano Ronaldo

Bintang bolasepak ternama ni memang sudah terkenal sebagai pemilik dan peminat hypercar dan supercar mahal-mahal. Samalah dengan PokYa, sebagai peminat, nak beli tak mampu. Sebagai pemain bolasepak dengan bayaran termahal di dunia, Ronaldo mampu memiliki Bugatti Chiron, Lamborghini Aventador LP 700-4,, Aston Martin DB9, Rolls-Royce Phantom dan Maserati GranCabrio. Itu belum termasuk model-model lain keluaran Porsche, Audi dan Mercedes. Letih nak senaraikan satu persatu weh.

Roger Federer

Bintang tenis dunia ini pun boleh tahan koleksinya tapi agak boring sikit la sebab kebanyakannya ialah model keluaran Mercedes. Antara koleksi beliau ialah Mercedes Benz SLS AMG, E-Class Cabriolet, CLS 450 4Matic Coupe dan Mercedes Benz SL. Adoi… duit banyak-banyak kau nak buat apa chor?

Aaron Kwok

Satu nama besar dalam dunia hiburan Hong Kong, Kwok memang seorang penggemar kereta sport sejati. Macam PokYa jugak, fesyen rambut je lain. Kereta bukan hanya minat pada Kwok tapi beliau menyifatkannya sebagai satu pelaburan.

Kwok boleh berbangga dengan koleksinya yang terdiri daripada beberapa buah Ferrari termasuklah F50 dan FXX-K yang hanya boleh dipandu di litar, McLaren Senna dan pelbagai lagi model keluaran Porsche dan Lamborghini. Koleksi beliau yang paling istimewa ialah Pagani Zonda 760 “King” yang dihasilkan khusus untuk beliau oleh Pagani. Walauwei ayuh menari para para sakura sekali bang.

Abang Japar

Beliau bukan penyanyi, bukan pelakon filem (youtube tak kira) dan pengalaman main bola pun setakat liga divisyen 3 Mentakab tapi masih dikira selebriti (bodek minta naik gaji). Koleksi kereta beliau boleh tahan banyaknya setahu PokYa bermula dari Kancil 660, Iswara 1.3, Wira C99 tiang gol, Civic EK, Accord S86 dan macam-macam lagi. Bayangkan Naza Sutera pun dia pernah pakai. Tapi itu semua sebelum beliau jatuh cinta dengan kereta terbaik di dunia (claim sendiri), Perodua Alza.

Mana ada orang lain beli Alza sampai lima kali kat Malaysia ni. Ada? Kalau ada pun syarikat sewa kereta. Mana aci. Tapi hampir model lain tu dah dijual kecuali Alza. Nampak tak? Alza juga yang melekat dengan Abang Japar kau ni. Tersampuk apa orang tua ni.

Google ads
Back to top button