" "
Buletin

3 KERETA PROJEK DARI PELAJAR KOLEJ TEKNIKAL NISSAN, BLUEBIRD, SKYLINE DAN STAGEA

Pelajar Kolej Teknikal Automobil Nissan sekali lagi mempamerkan hasil kerja mereka di Tokyo Auto Salon (TAS).

Kolej Teknikal Automobil Nissan beroperasi di lima buah kampus di Jepun iaitu Tochigi, Yokohama, Aichi, Kyoto dan Ehime.

Selain menawarkan kursus umum bagi mendapatkan kelayakan kebangsaan untuk penyelenggaran automotif, kolej Nissan juga menawarkan program khusus di dalam bidang permotoran dan badan kenderaan.

Untuk pameran kali ini, pelajar program badan kenderaan dari Aichi dan Kyoto mempersembahkan tiga projek ubah suai dengan idea tersendiri.

Bluebird Kiwami: Kolej Teknikal Automobil Nissan Aichi

Sebuah Bluebird Maxima PU11 yang merupakan model teratas di pasaran 36 tahun lalu dengan bumbung keras dan tanpa tiang tengah dijadikan kereta projek.

Daripada tiga model yang diubahsuai, model ini masih mengekalkan rupa asal. Projek ini hasil kerja pelajar tahun tiga Kursus Badan Kenderaan dan memakan masa 2.5 bulan.

Para pelajar memanfaatkan kemahiran mengetuk badan dan mengecat yang dipelajari sejak April.

Nama Kiwami yang dipilih pelajar bermaksud ultimate di dalam bahasa Jepun untuk mencerminkan keinginan mereka bagi menyempurnakan setiap aspek luar, dalam dan pengalaman pemanduan serta menzahirkan intipati DNA Nissan.

Mengadunkan kemewahan dan ciri-ciri sporti, Bluebird Kiwami mewakili wawasan pelajar Generasi Z untuk sebuah kereta mewah yang memberikan pengalaman memandu sporti.

Projek ini menyasarkan pemandu muda yang menikmati perkongsian detik-detik menyeronokkan dan penuh kenangan bersama rakan-rakan mereka.

Warna Aurora Flare Blue Pearl merujuk kepada lautan dan langit biru yang cerah bagi menyampaikan aura aktif dan keremajaan.

NEO Skyline: Kolej Teknikal Automobil Nissan Kyoto

Projek ini adalah hasil kerja pelajar tahun empat Jabatan Ubah Suai dan Penyelenggaraan Kenderaan dan memakan masa selama enam bulan.

Sebuah Skyline Coupe CV35 langsung berubah wajah dan para pelajar membawa konsep Kenmary moden. Kenmary nama panggilan untuk Skyline generasi keempat (C110 1972) dan terkenal pada era 70-an.

Menyasarkan peminat kereta di dalam usia 30-an sehingga 50-an, nama NEO mewakili nostalgia, galakan, dan keunikan.

Nostalgia bagi peminat usia 50-an dan mengingati Kenmary Skyline pada zaman kanak-kanak dan penggalakan buat golongan 40-an dalam menemui kembali keseronokan pemanduan.

Peminat berusia 30-an pula dapat merasai kelainan dalam kenderaan moden.

Para pelajar menggunakan rekaan yang sesuai dengan era moden dan membawa ciri-ciri utama Kenmary tanpa meniru perkakasan atau rekaan.

Badan kereta dilayangkan warna Tomoaki Blue yang mengingatkan kepada warna asal biru metalik terang Kenmary dan ditambah kemasan mutiara.

Z Lealia: Kolej Teknikal Automobil Nissan Kyoto

Projek ini juga hasil kerja pelajar tahun empat Jabatan Ubah Suai dan Penyelenggaraan Kenderaan dan memakan masa selama enam bulan.

Z Lealia menggunakan konsep wagon sport untuk pengembaraan keluarga dan menggabungkan keseronokan dan kehidupan harian.

Projek ini lahir daripada hasrat pelajar yang mahu menghasilkan kenderaan untuk si bapa yang menyukai kereta sport dan berimpian untuk memiliki Fairlady Z dan pada masa sama menikmati pemanduan bersama keluarga.

Nama Lealia adalah gabungan perkataan Inggeris iaitu lead dan perkataan Latin familia.

Diubahsuai daripada Stagea M35, bahagian depan langsung berubah apabila dikacuk bersama perkakasan Fairlady Z RZ34 terbaru.

Para pelajar memotong dapra belakang dan bumbung dan memateri bahagian belakang Nissan LEAF. Dapra belakang dilebarkan untuk mendapatkan gaya Fairlady Z.

Warna Ikazuchi Yellow turut menyamai Fairlady Z. Maka terhasil sebuah Fairlady Z ‘wagon’!

Google ads
Back to top button