Artikel PilihanBuletin

5 KERETA MURAH PILIHAN KAMI!

Kalau anda memang mengikuti perkembangan semasa, anda pasti terbaca tentang berita seorang bapa terpaksa menggunakan motosikal untuk mengambil anaknya dari Pulau Pinang ke Sepang untuk berhari raya.

Proton-saga-iswara-mekanika (1)

Kisah itu menyentuh hati ramai rakyat Malaysia dan akhirnya seorang budiman telah menderma sebuah kereta kepada keluarga berkenaan.

Tidak dinafikan, bukan semua rakyat Malaysia mampu membeli kereta. Salah satu faktornya ialah harga kereta yang tinggi dan kos pemilikannya pun tidak murah.

Bagaimanapun, kalau anda tak kisah menggunakan kereta terpakai, boleh sebenarnya membeli kereta yang masih elok dengan kos di bawah RM5,000. Jom kita tengok senarai 5 kereta yang kami anggap terbaik dengan kos yang rendah.

Proton-saga-iswara-mekanika (4)

  1. Proton Saga / Iswara

Kereta yang tak perlu diperkenalkan lagi untuk rakyat Malaysia. Ia mula dilancarkan pada tahun 1985 sebagai kereta nasional pertama Malaysia. Diasaskan daripada model Mitsubishi Lancer Fiore, Proton Saga ialah sebuah kereta yang lasak dan cukup mudah untuk mendapat alat-ganti.

Sebabnya, produksi kereta ini menjangkau lebih 20 tahun sebelum ditamatkan pengeluarannya. Bagi kami, model Saga Megavalve ialah model yang terbaik dalam keluarga Saga.

Proton-saga-iswara-mekanika (6)

Dikuasakan oleh enjin 4G13 dan 4G15 (1.3 dan 1.5 liter) dengan kepala silinder 12 injap, ia adalah model yang berkuasa tinggi dan menjimatkan bahan api. Model Iswara, terutama keluaran awal 1990-an menggunakan teknologi enjin yang sama, tetapi entah mengapa, sering dilanda masalah karat pada sesetengah bahagian badan kereta.

Untuk mereka yang mempunyai ramai anak kecil, model yang disyorkan ialah sedan yang mempunyai ruang but luas berbanding model Aeroback. Harga jualan kereta ini adalah di antara RM3,000 hingga RM5,000 bergantung pada tahun pengeluaran dan kondisi.

Nissan-Sentra-B12-mekanika (1)

  1. Nissan Sentra B12

Kereta ini jarang menjadi pilihan peminat kereta Malaysia. Tetapi untuk sebuah kereta terpakai yang murah, Nissan Sentra ini didatangkan dengan pelbagai aksesori yang boleh dianggap mewah pada zamannya.

Model 1.6 didatangkan dengan stereng kuasa, tingkap berkuasa dan ruang dalaman yang luas. Cukup untuk memuatkan satu keluarga balik ke kampung dengan selamat dan selesa.

Nissan-Sentra-B12-mekanika (2)

Model ini juga didatangkan dengan pilihan kotak gear manual dan automatik. Namun, bagi mereka yang mementingkan penjimatan bahan api, model manual ialah pilihan yang tepat.

Alat-ganti untuk model ini masih mudah untuk diperolehi. Nissan menghasilkan Sentra B12 sebagai sebuah model yang lasak dan boleh diharap pada harga bawah RM5,000.

Bagaimanapun, periksa dulu keadaan karat pada panel badan sebelum membeli. . Panel badan original agak sukar dijumpai, tetapi panel OEM buatan Taiwan atau China masih boleh senang diperolehi.

Toyota-Corolla-AE80-mekanika (1)

  1. Toyota Corolla AE80

Mungkin kereta paling tua dalam senarai ini. Tetapi nama Toyota cukup sinonim dengan kualiti dan kebolehpercayaannya. Corolla ini ialah model pertama Toyota yang menggunakan sistem pacuan roda hadapan serta enjin 2A dan 4A (1.3 dan 1.6 liter) yang baru.

Walaupun kereta ini dikeluarkan pada awal tahun 1980-an, ia didatangkan dengan sistem gantungan bebas sepenuhnya untuk keempat-empat roda. Ini bagi memastikan keselesaan penumpang dan pengendalian yang baik berbanding kereta lain sekelasnya.

Toyota-Corolla-AE80-mekanika (2)

Pada tahun 1987, Toyota membuat sedikit facelift pada model ini dengan memperkenalkan enjin baru 2E 1.3 liter 12 injap bagi menggantikan enjin 2A.

Model hatchback turut dilancarkan pada masa ini. Model-model Corolla ini boleh dibeli pada harga bawah RM5,000. Dicadangkan kalau boleh, carilah model sedan yang menggunakan enjin 2E yang lebih berkuasa tetapi sangat ekonomikal.

Model hatchback mempunyai ruang but yang besar. Namun model ini agak rare dan mungkin sukar untuk dibeli pada harga bawah RM5,000.

Perodua-Kancil-mekanika1

  1. Perodua Kancil

Tidak lengkap senarai kereta-kereta murah tanpa memasukkan Perodua Kancil. Ketika ia diperkenalkan di pasaran Malaysia, kereta kecil ini sememangnya dibina untuk membantu rakyat berpendapatan rendah untuk memiliki kereta.

Kereta yang diasaskan daripada model Daihatsu Mira itu didatangkan dengan pilihan enjin 660cc dan 850cc. Bersama pilihan kotak gear manual 4 dan 5 kelajuan atau automatik 3 kelajuan.

Perodua-Kancil-mekanika

Jika kereta ini ingin dijadikan kereta keluarga, pilihlah model 850cc dengan kotak gear manual yang pastinya cukup menjimatkan. Malah mempunyai cukup kuasa untuk dipandu mengikut kelajuan tertinggi di lebuh raya dengan selamat.

Alat gantinya murah dan barang-barang daripada Daihatsu Mira boleh digunakan sebagai alternatif. Bagaimanapun, satu kelemahan ketara ialah saiznya yang kecil. Mungkin kurang sesuai untuk keluarga yang besar.

Perodua-Rusa-mekanika

  1. Van

Bercakap tentang keluarga yang besar, sedan mungkin bukan kenderaan yang sesuai untuk golongan ini. Jika anda mempunyai anak lebih 4 orang, menggunakan kereta sedan untuk pulang ke kampung mungkin bukanlah pengalaman yang menyeronokkan.

Dengan bajet bawah RM5,000 agak mustahil untuk ย membeli sebuah MPV. Jangan risau, masih terdapat banyak pilihan van yang sesuai. Perodua Rusa, Nissan Vanette, Toyota Liteace, Ford Econovan dan Mazda Bongo mungkin pilihan yang bijak.

Nissan-Vanette-mekanika

Ini kerana van-van itu dikuasakan oleh enjin bawah 1,600cc (cukai jalan rendah), boleh memuatkan antara 6 ke 8 orang dan masih mempunyai ruang menyimpan barang yang luas.

Bagaimanapun, van lazimnya digunakan untuk mengangkut pekerja atau kargo. Jadi kondisinya mungkin agak uzur jika tidak diselenggara dengan sempurna. Penting untuk cari yang pemilik asalnya ialah pengguna individu. Bukannya kontraktor mengangkut pasir dan batu bata.

Mazda-Bongo-mekanika

Menarik kan? Apatah lagi ketika begitu ramai yang mengeluh dengan keadaan ekonomi dan bebanan hutang sekarang. Dalam keadaan sukar begini, ada baiknya kalau kita ‘berehat’ sekejap daripada membuat komitmen bulanan dengan pihak bank.

Tahukah anda betapa leganya tak perlu fikir bayar hutang bulanan? Kami pun tak tahu. Bila dah tulis artikel ni, barulah sedar rupanya kita ada pilihan!!!

kredit foto: wikipedia

Google ads
Back to top button