
5 MOTOSIKAL PALING MENGECEWAKAN DI EICMA 2018 – APA NI, SERIUSLAH SIKIT BRO
EICMA merupakan pameran motosikal terbesar yang ditunggu-tunggu peminat motosikal kerana ia menghimpunkan model-model baru dan terkini yang biasanya cukup cantik dipandang. Tapi tentulah bukan semuanya seperti mana diharapkan. Terdapat juga model-model yang sekadar diberi perubahan kecil seperti layangan cat baru dan kemudiannya dilabelkan sebagai edisi terhad. Adoi, sia-sia je kalau pengunjung datang dari jauh. Ini ada lima model yang memang mengecewakan peminat yang hadir.
Yamaha XSR Tribute
Adoi la Yamaha, mula-mula model SR400 dihentikan pengeluaran. Itu tak mengapalah kerana ia memang sudah lama di pasaran dan tidak mematuhi piawai Euro4. Tapi mempamerkan model ini di EICMA dan mendedikasikan motosikal ini kepada TX500 dan pada masa yang sama menggelarkannya sebuah scrambler memang tidak kena la rasanya.
Ramai yang sedar yang ini sebenarnya sebuah XSR700 yang memang sebuah motosikal yang baik sebenarnya tetapi dengan cat warna perak dan tayar yang lebar. Kenapa la tidak buat terus model 500cc baru dan menjualnya sebagai dedikasi kepada TX500. Bukannya Yamaha tak pandai menghasilkan motosikal pun. Ataupun kalau nak hasilkan scrambler, sekurang-kurangnya gunalah kerangka scrambler yang sebenar. Baru la ngam.
Triumph Bonnville Ace
Apa dah jadi ni Triumph. Takkan la pengeluar otai macam Triumph tak tahu apa itu cafe racer. Mereka adalah sebahagian dari sejarah cafe racer selain dari BSA. BSA pun dah lama tak ada. Tapi bila model baru Triumph dikeluarkan dan di beri nama Ace seperti nama Ace Cafe yang merupakan sejarah awal cafe racer dan model itu pula bukannya sebuah cafe racer, tak pelik ke?
Apa ciri-ciri sebenar cafe racer? Tentulah bar hendal clip-on, pelana yang nipis dan beberapa ciri-ciri lain yang membezakannya dari genre lain. Tapi kalau model Bonneville dengan bar hendal standard, layangan cat baru, pelekat Ace Cafe pada bahagian sisi dan harga yang lebih pada sebuah Bonneville layakkah ia digelar sebuah cafe racer? Usaha la lebih sikit bos.
Harley-Davidson LiveWire
Sebenarnya bukan model LiveWire yang menghampakan. Ia sebenarnya sebuah motosikal unik yang ditunggu-tunggu dan ramai yang tak sabar nak merasai pengalaman menunggangnya. Tapi tu lah, kelibatnya haram tak muncul-muncul.
Ketika model-model elektrik lain terus diperkenalkan dan teknologi bateri berkembang dengan pesat, Harley-Davidson sekadar membuat pengumuman yang ia akan dipasarkan. Rasanya dah banyak tahun mereka memperkenalkan model ini tapi sehingga kini ia masih belum memasuki pasaran. Kurang-kurang bawaklah satu bang untuk pameran.
BACA: MV AGUSTA SUPERVELOCE 800 – KONSEP RETRO MODEN YANG MEMUKAU
ARC Vector
Ia merupakan sebuah motosikal yang dikatakan berharga hampir RM500,000 dan dihasilkan oleh syarikat yang tak pernah didengar. Ia juga dikatakan mampu mencatatkan kelajuan maksima melebihi 240 km/j dan mempunyai sel bateri prototaip terbaru. Ia juga bakal dipasangan dengan helmet dan jaket pintar.
Tapi yang tak menariknya ialah imej-imej yang diberikan haram tak jelas dan seperti memang sengaja nak sorok komponen-komponen asas sebuah motosikal. Macam mana kami nak kagum tanpan bukti ataupun gambar yang jelas. Baik cakap motor ni mampu sediakan sarapan untuk kita, kan lagi menarik?
Royal Enfield Concept KX
Model ini sebenarnya tidak mengecewakan. Ia memang gempak. Daripada bahagian depannya yang aneh, tangki minyak, bahagian tengah, ekzos dan lampu belakangnya dengan karektor tersendiri. Ia nampak retro tetapi masih sebuah jentera moden dan warna British Racing Green memang menyerlahkan lagi auranya. Jadi apa masalahnya?
Satu je, ia masih belum boleh dibeli sebab ia masih sebuah jentera konsep. Tolonglah buat cepat-cepat kerana ia memang sebuah motosikal yang cantik dan berbaloi dimiliki.
Kredit ridepart.com