
FORD PERKENAL RANGER GENERASI BARU. ENJIN V6 3.0L, REKAAN MASKULIN, LEBIH CANGGIH DAN VERSATIL
Ford hari ini memperkenalkan trak pikap Ranger generasi baru yang disifatkannya sebagai model paling versatil dan berkeupayaan tinggi di peringkat global. Menjadi antara trak pikap paling laris di dunia, Ranger menerima pelbagai bentuk penambahbaikan yang signifikan.
Ranger dijual di lebih 180 buah pasaran di seluruh dunia. Maka, model baharu itu mestilah mampu memenuhi setiap kehendak dan ekspektasi pelanggan yang berbeza.
Projek penghasilan Ranger diketuai oleh Pusat Pembangunan Produk Ford di Australia. Pasukan pereka bentuk dan jurutera dari seluruh dunia bekerjasama untuk mengintegrasikan teknologi, keupayaan dan sistem keselamatan terkini Ford ke dalam trak pikap tersebut.
“Kami fokus kepada satu matlamat iaitu menjadikan Ranger ini trak pikap paling lasak dan padu yang pernah kami hasilkan. Ia telah menjalani ujian paling mencabar dan kami tidak akan berhenti sehinggalah kami berpuas hati,” kata Pengarah Program Ranger, Graham Pearson.

Input pelanggan merupakan aspek utama dalam penampilan Ranger baharu yang cukup rugged ini. Ford telah menjalankan lebih 5,000 temubual dan bengkel untuk memahami bagaimana pelanggan menggunakan trak pikap mereka, selain apa yang dimahukan pada Ranger baharu.
Maklumat itu dikumpul untuk menghasilkan varian XLT, Sport dan Wildtrak yang memang menarik, sama ada dilihat dari luar atau dalamannya.
Berkongsi DNA reka bentuk trak global Ford, penampilan jentera itu kini nyata lebih mantap. Rekaan terbaharu melibatkan gril, lampu utama berbentuk C, garis badan yang ringkas dan arca roda.
Buat pertama kalinya, Ranger didatangkan dengan lampu matrix LED. Manakala lampu belakang direka supaya harmoni dengan grafik di hadapan.

Ranger menggunakan chasis yang telah dinaik taraf dan 50mm lebih panjang dan 500mm lebih lebar berbanding model terdahulu. Bahagian hadapan yang dibentuk secara hidro memberikan lebih banyak ruang untuk enjin V6 dan membolehkan Ford memasukkan teknologi lain pada masa depan.
Bukaan pada bahagian hadapan membolehkan lebih banyak udara untuk masuk ke ruang radiator, sekali gus membantu menurunkan suhu ketika menunda atau membawa barangan berat.
Pelanggan mahukan lebih kuasa, jadi Ford menawarkan enjin V6 3.0 liter yang membuatkan anda seperti memandu trak lebih besar. Biarpun begitu, pilihan enjin V6 bergantung kepada pasaran.
Ranger juga akan dipasang dengan enjin diesel turbo tunggal dan Bi-Turbp bersesaran 2.0 liter. Enjin Single Turbo ditawarkan dalam dua pilihan kuasa dan penjimatan yang penting untuk pemilik perniagaan kecil.
Enjin Bi-Turbo pula lebih sofistikated dan menjadi pilihan buat pelanggan yang mahukan lebih kuasa, tetapi tetap menjimatkan bahan api. Sebagai produk global, Ranger juga akan ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder EcoBoost 2.3 liter.

Pilihan transmisi pula terdiri daripada 10-kelajuan automatik yang telah dinaik taraf atau 6-kelajuan manual, selain 6-kelajuan automatik sedia ada.
Untuk menawarkan kualiti pengendalian bagi kegunaan kerja, beriadah dan sebagainya, pasukan jurutera memberi fokus kepada asasnya. Justeru, roda hadapan dialihkan ke hadapan sebanyak 50mm untuk memberi sudut mendekat yang lebih baik.
Pelanggan boleh memilih daripada dua sistem pacuan empat roda, iaitu sistem shift-on-the-fly elektronik atau sistem 4×4 sepenuh masa termaju bersama mode set and forget.
Perubahan besar turut berlaku pada ruang kabin. Perhatian kita pasti akan tertumpu kepada skrin sentuh bersaiz 10.1 atau 12 inci yang diletakkan secara menegak pada papan pemuka. Ia dilengkapi dengan sistem SYNC4 terkini yang terdiri daripada fungsi arahan suara, hiburan dan maklumat.

Sistem itu mempunyai modem binaan dalam yang boleh disambungkan dengan aplikasi FordPass. Aplikasi tersebut menawarkan pelbagai ciri seperti menghidupkan enjin dari jauh, memeriksa status kenderaan, kunci/buka pintu dan sebagainya.
Semua butang kawalan pada papan pemuka dan konsol tengah dimasukkan ke dalam skrin SYNC. Dengan hanya menekan satu butang, pemandu boleh memilih mode pemanduan, selain memantau garis laluan, sudut stereng serta kawalan-kawalan lain.
Skrin itu juga disambungkan dengan kamera 360 darjah yang memudahkan urusan parkir atau melalui jalan sempit. Pemandu boleh mengawal sistem lampu luaran menerusi skrin sentuh atau aplikasi FordPass.
Bukan itu sahaja, material, rekaan dan susun atur ruang kabin Ranger baharu juga nampak mewah dan moden. Tuil gear kini lebih kemas dan dial penukar sistem pacuan mudah digunakan.
Trak pikap tersebut menyediakan ruang penyimpanan dan port pengecasan yang banyak untuk kegunaan semua. Poket pda pintu direka supaya boleh menempatkan barang yang lebih besar.

Satu lagi ciri baharu yang ada pada Ranger ialah pemijak kaki pada bahagian sisi kargo. Rekaan pintar itu sememangnya memudahkan pengguna untuk mengangkut atau mengambil barang. Jadi mereka tidak lagi perlu memijak tayar seperti sebelum ini.
Pelanggan boleh mengubah suai Ranger mereka menerusi hampir 600 aksesori original dari kilang, bergantung kepada pasaran. Aksesori berkenaan dibangunkan hasil kerjasama dengan jenama terkenal, ARB 4×4 Accessories dan bakal dilancarkan di pasaran-pasaran terpilih nanti.
Ranger baharu akan dibina di kilang Ford di Thailand dan Afrika Selatan bermula tahun depan. Bila akan masuk Malaysia? Setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat daripada pihak Sime-Darby Auto Connexion.
- BACA: SDAC PERKENAL EKSPRESI JENAMA BAHARU UNTUK FORD RANGER
- BACA: INSIDEN JENGKAUT REMPUH FORD RANGER, 3 INDIVIDU DITAHAN POLIS
- BACA: FORD PERKENAL PAKEJ SPLASH UNTUK RANGER. WARNA TERANG, KABIN LEBIH SPORTY
- BACA: 43,000 FORD RANGER DAN 22,000 HUMVEE. APA JADI PADA ASET KETENTERAAN AS DI AFGHANISTAN?
GALERI