ACURA KINI TIDAK LAGI BERTAPAK DI CHINA
Syarikat automotif premium Acura yang dimiliki oleh Honda tidak lagi menjual atau menghasilkan kenderaan baharu di Tanah Besar China.
Maklumat tersebut diumumkan sendiri oleh rakan kerjasama tempatan, Guangzhou Automobile Group (GAC) yang mengesahkan penutupan operasi Acura di negara itu.
Untuk para pemilik Acura sedia ada, pihak GAC akan terus menawarkan perkhidmatan selepas jualan dan servis alat ganti menerusi jaringan pengedarnya.
Penamatan operasi Acura walau bagaimanapun tidak menjejaskan operasi Honda di China, di mana mereka akan terus menghasilkan dan menjual kenderaan di bawah perjanjian bersama GAC.
Acura mula dilancarkan di China pada tahun 2016, dan syarikat itu berjaya mencapai kemuncak jualan pada tahun 2019 dengan sejumlah 14,701 unit kenderaan telah berjaya dihantar kepada pelanggan.
Pada tahun 2021, angka tersebut menurun kepada hanya 6,554 unit kenderaan sahaja, atau penurunan sebanyak 45 peratus berbanding tahun 2020.
Dua model Acura, iaitu SUV CDX dan RDX nampaknya gagal menawan hati pelanggan di sana di mana kedua-dua model itu berjaya diatasi oleh pesaing dari jenama premium Jerman.