Buletin

ADAKAH INI KEMAJUAN? ENJIN KECIL 1.3 UNTUK NISSAN QASHQAI

Pada satu ketika dahulu, dunia kereta diwarnai dengan enjin bersesaran besar, 3,000 cc, 4,000 cc, 5,000 cc adalah kebiasaan terutama sekali kereta buatan Amerika Syarikat.

Kemudian pengeluar automotif Jepun datang dengan enjin kecil bersesaran 1,000 cc, 1,300 dan 1,600 cc. Jika itu masih belum cukup kecil, kereta kei Jepun digerakkan oleh enjin 660 cc.

Pada era tersebut, pengeluar Barat masih lagi istiqamah dengan enjin saiz besar sehinggalah undang-undang dunia yang mahukan enjin mesra alam dengan peraturan emisi semakin ketat.

Di negara kita, enjin bersaiz besar adalah ‘musuh’ dengan cukai jalan yang tinggi.

Maka perkembangan enjin bersaiz kecil terus mekar sehinggakan Mercedes-Benz dan BMW yang sudah biasa dengan enjin besar turut menggunakan enjin 1600 cc.

Senario tersebut melahirkan kereta dengan kombinasi pelik – badan besar enjin kecil. Bayangkan Volvo XC90 yang besar ‘gedabak’ digerakkan oleh enjin 2,000 cc sahaja. Tidak dinafikan bantuan seperti pengecas turbo dan supercaj turut membantu tetapi hakikatnya sesaran enjin tetap sederhana.

Apa lagi yang dunia mahu?

Nissan terus memberikan jawapan dengan menawarkan enjin 1300 cc untuk Nissan Qashqai. SUV kompak ini (lebih kurang saiz Mitsubishi ASX) adalah crossover terlaris di Eropah dan paling dekat ianya boleh didapati di Singapura.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Nissan tampil dengan enjin kecil, Qashqai sebelum ini dikuasakan oleh enjin 1200 cc turbo 115 PS. Walaupun Juke juga menggunakan enjin 1200 cc turbo tetapi badannya lebih ringan dan kecil berbanding Qasqhai.

Satu lagi perkara menarik tentang enjin baharu ini ialah ia dibangunkan bersama Gabungan Renault-Nissan-Mitsubishi (Alliance). Jika masih belum ‘gempak’, enjin ini juga dibangunkan bersama Daimler dan bakal digunakan pada kenderaan keluaran Mercedes-Benz.

Berikut ialah informasi tentang enjin 1300 cc turbo baharu pada Nissan Qashqai:

  • Mempunyai dua output kuasa iaitu 140 PS dan 160 PS, 240 Nm untuk kuasa rendah, 260 Nm untuk kuasa tinggi dan 270 Nm untuk versi DCT (klac basah)
  • Tiga versi nadikuasa iaitu 140 PS, enam kelajuan manual, 160 PS enam kelajuan manual dan 160 PS tujuh kelajuan DCT
  • Memenuhi standard Euro 6d-Temp
  • Ujian dan simulasi selama 40,000 jam serta 300,000 km pemanduan di jalan raya dalam keadaan mencabar di dunia
  • Pelanggan akan merasai perbezaan pada respon kuasa dan pecutan melalui penambahan kuasa dan tujahan
  • Enjin juga lebih lancar dan linear serta pemanduan lebih senyap
  • Pecutan dari 0 – 100 km mengambil masa 10.6 saat
  • Jarak servis lebih panjang iaitu daripada 19,000 km kepada 28,000 km

Gabungan (Alliance) mensasarkan untuk memasang sehingga sejuta enjin baharu ini pada tahun fiskal depan dengan jangkaan lebih 50 peratus Qashqai yang terjual menggunakan enjin 1300 cc ini.

BACA: INI NISSAN PULSAR – BABY GTR!

BACA: NISSAN NAVARA DARK SKY CONCEPT – MAKMAL ANGKASA BERGERAK!

Google ads
Back to top button