Buletin

FORD EVEREST 2018 – ENJIN DIESEL BI-TURBO, AT 10-KELAJUAN, BERMULA RM288,888 SEUNIT

Ford Motor Company dan rakan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) baru-baru ini melancarkan versi SUV saiz sederhana, Everest yang telah dipertingkatkan.

“Everest baharu terus meningkatkan penanda aras dalam segmen SUV dan melebarkan tarikannya di pasaran,” kata Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, Truong Kim Phong.

Rangkaian kuasa yang canggih

Enjin Bi-turbo diesel bersesaran 2.0L generasi baru Ford dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan untuk menawarkan kuasa mencecah 213PS. Ia menawarkan aspek pemanduan yang lebih fleksibel, senyap dan selesa.

Dengan kuasa tork 500Nm boleh dicapai pada tahap serendah 1,750rpm, enjin Bi-Turbo menjanjikan agihan kuasa tork yang lebih baik.

Transmisi 10 kelajuan dengan nisbah pendek itu mengurangkan jurang di antara kuasa dan pecutan bagi membolehkan usaha mendaki bukit yang curam dan licin lebih mudah.

Everest turut memanfaatkan aspek geometri suspensi yang telah disemak semula, membuatkan pemanduannya lebih mantap, sama ada di atas jalan biasa mahupun di laluan off-road.

Cekap, berkeupayaan dan pintar

Everest facelift kini lebih canggih menerusi sistem bantuan pemandu, tahap kelengkapan serta dinamik yang telah ditambah baik.

Ciri-ciri baru termasuklah pintu belakang (liftgate) kuasa bebas tangan, SYNC® 3, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin. Pintu belakang kuasa bebas tangan, ciri yang berfungsi membuka dan menutup pintu belakang nyata memberi kemudahan kepada sesiapa sahaja.

Jika tangan anda penuh dengan barang, cuma perlu gerakkan kaki di bahagian bawah bampar belakang untuk membukanya secara automatik.

SYNC® 3 dengan Apple CarPlay dan Android Auto kini menjadi ciri standard untuk semua varian Everest. Ia hadir bersama Bluetooth, 10 unit pembesar suara dan skrin sentuh warna bersaiz 8.0 inci.

SYNC® 3 membolehkan penggunaan Waze dan Google Maps, pengecaman suara yang telah ditambah baik juga membantu pemandu untuk kekal berhubung serta selamat.

Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin kini menjadi ciri standard pada semua varian Everrest. Ia membolehkan pelanggan menghidupkan enjin dengan lebih cepat, meningkatkan kemudahan, serta lebih mudah untuk keluar masuk.

Ford Everest baharu turut mengekalkan teknologi bantuan pemandu yang membolehkan pemandu dan penumpang menikmati perjalanan luar biasa dengan yakin, ini termasuklah:

  • Kawalan Meluncur dengan Pengehad Kelajuan Boleh Ubah
  • Kluster Instrumen Multi-pintar – membolehkan pemandu melihat apakah fungsi yang sedang digunakan oleh Everest pada bila-bila masa dengan sekali imbas sahaja
  • Sistem Pengurusan Laluan (Terrain Management System) – memberikan kenderaan keupayaan sewajarnya untuk menempuh apa jua laluan yang mencabar
  • Kawalan Kestabilan Elektronik (Electronic Stability Control)
  • BLIS – Sistem Maklumat Titik Buta (Blind Spot Information System) dengan Cross-Traffic Alert
  • MyKey®

Rekaan yang penuh fungsi, pintar dan selesa

Rekaan Everest yang mantap diperhalusi lagi dengan gril baharu yang melibatkan kemasan tekstur pada gril, di samping kemasan krom sedia ada.

Varian Everest Titanium dilengkapi rim aloi bersaiz 20 inci dengan rekaan jejari terpisah. Kemasan warna lebih gelap menyerlahkan lagi permukaan rim aloi tersebut untuk penampilan yang premium.

Ruang kabin luas yang hadir dengan kemasan berwarna hitam memberikan rasa lebih premium. Permukaan lembut pada titik-titik sentuhan di seluruh kabin menambah baik aspek keselesaan dan kualitinya.

Sementara warna dalaman hitam membolehkan jahitan kontras dan kemasan krom lebih menonjol berbanding sebelum ini.

Bukan itu sahaja, ruang ekstra pada varian Everest Titanium boleh digunakan dengan hanya menekan satu butang. Malah, tempat duduk kuasa lapan talaan dan tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan mudah jelas dapat memberikan ruang yang cukup untuk mengangkut semua peralatan dan keperluan perjalanan anda sepanjang hujung minggu.

Everest baharu tidak berkompromi dari segi keselamatan. Dengan tujuh beg udara, varian Everest Trend dan Titanium menawarkan perlindungan terbaik menerusi beg udara untuk pemandu, penumpang hadapan, beg udara sisi pada tempat duduk, beg udara sisi dan jendela, dan beg udara pada bahagian lutut pemandu.

 

Harga dan warna  

Everest baharu ditawarkan pada harga berikut:

  • Trend –  RM228,888
  • Titanium – RM258,888

Everest didatangkan dalam empat warna menarik iaitu perak, merah, kelabu Meteor dan hitam. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.sdacford.com.my

Google ads
Back to top button