
HONDA, NISSAN BAKAL UMUM KERJASAMA STRATEGIK – PEMBANGUNAN TEKNOLOGI BERSAMA
Kerjasama antara Honda dan Nissan dilaporkan semakin hampir dimeterai apabila kedua-dua pengeluar automotif Jepun itu kini berada di peringkat akhir perbincangan untuk membentuk beberapa projek pembangunan bersama.
Menurut laporan media antarabangsa, perjanjian rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi selepas kedua-dua syarikat sebelum ini membatalkan rancangan penggabungan korporat pada awal 2025.
Difahamkan, fokus utama kerjasama tersebut melibatkan pembangunan unit kawalan elektronik (ECU), sistem operasi dalam kenderaan serta kerjasama pembangunan dan pengeluaran model khusus untuk pasaran Amerika Utara.
ECU merupakan komponen penting dalam kenderaan moden yang mengawal pelbagai fungsi termasuk enjin, sistem brek, transmisi, bateri, telematik dan sistem infotainmen.

Sumber industri menyatakan Honda dan Nissan sedang merancang penggunaan ECU yang dibangunkan bersama untuk model hibrid dan elektrik generasi akan datang.
Mitsubishi yang mempunyai hubungan rapat dengan Nissan turut dikatakan akan terlibat dalam pembiayaan pembangunan teknologi tersebut.
Jika dimuktamadkan dalam masa terdekat, teknologi ECU hasil kerjasama itu dijangka hanya akan digunakan pada model produksi sekitar tahun 2029.
Selain itu, kedua-dua syarikat juga sedang meneliti penggunaan sistem operasi standard dalam kenderaan. Langkah itu dilihat mampu mengurangkan kos pembangunan selain memudahkan penghasilan kenderaan berasaskan perisian dengan teknologi bantuan pemandu serta sistem infotainmen lebih canggih.
Dalam masa sama, Honda dan Nissan turut berbincang mengenai pembangunan bersama model bersaiz besar untuk pasaran Amerika Utara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan beberapa negara Teluk.
Antara model yang berpotensi terlibat termasuk Honda Passport, Pilot dan Odyssey, manakala Nissan pula memiliki Murano serta Pathfinder dalam segmen sama.
Laporan terdahulu turut menyebut Nissan mungkin membekalkan trak pikap kepada Honda dan Mitsubishi melalui kilangnya di Mississippi, Amerika Syarikat yang kini menghasilkan Nissan Frontier.
Sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, ia berpotensi memberi kesan kepada masa depan Honda Ridgeline yang kini menggunakan platform SUV dan sudah berada dalam generasi kedua sejak hampir sedekad lalu.
Kerjasama ini bakal menjadi langkah paling signifikan antara kedua-dua syarikat sejak rundingan penggabungan rasmi dibatalkan pada Mac 2025.
Selepas kegagalan rancangan tersebut, Nissan terus berdepan tekanan kewangan termasuk penstrukturan semula besar-besaran, pertukaran ketua pegawai eksekutif serta penutupan beberapa kilang di seluruh dunia.
Honda pula dilaporkan berdepan cabaran tersendiri apabila mencatat kerugian tahunan pertama selepas membatalkan rancangan pengembangan besar-besaran kenderaan elektrik di Amerika Utara.







