Artikel Pilihan

ADAKAH MINYAK ENJIN ANDA ADA KELULUSAN ILSAC GF-5/ GF-6?

Dua tahun lepas, perbatuan jarak perjalanan kereta penulis sudah melebihi 100,000km dan berusia lebih 5 tahun. Ini bermakna penulis tidak perlu lagi menghantar kereta ke pusat servis panel untuk diservis. Ini lebih bagus sebenarnya kerana penulis tidak suka dengan minyak pelincir OEM yang dibekalkan.

Apa yang penulis perasan ialah, sebaik sahaja memasuki 6000km, enjin terasa lemau, semput dan penggunaan petrol akan tinggi sedikit. Jadi nak tak nak, kereta akan diservis dalam 8000-9000km untuk kepuasan pemanduan. Nasib baik kerana terdapat satu stokis barangan dan alat ganti tulin OEM yang berada dekat dengan rumah dan hanya menjual alat ganti dari jenama yang dipakai oleh penulis sahaja

Pada mulanya penulis bercadang untuk menggunakan minyak 0W-30 sintetik penuh (RM 200) bagi menggantikan minyak yang digunakan oleh penulis 0W-20 (RM 130). Namun pemilik stokis mencadangkan agar penulis membeli minyak 0W-20 tapi dengan kelulusan ILSAC GF-5 serta API-SN. Kebetulan pula keesokan harinya penulis akan ke Langkawi

Berikut ialah pemerhatian penulis selepas menggunakan minyak dengan kelulusan ILSAF GF-5 ini:

1. Enjin lebih responsif pada mana-mana RPM dan RPM boleh naik terus ke 6000RPM tanpa banyak songeh

2. Top speed mudah dicapai, masuk 180km/j baru enjin terasa berat

3. Masuk 9000km sebelum servis seterusnya baru penggunaan petrol naik sedikit

Jadi berdasarkan pemerhatian penulis, minyak ini menjadi minyak pilihan bagi servis seterusnya. Ia masih lagi dipasarkan dengan label jenama kereta dengan tambahan ILSAC GF-5. Jadi carian di laman sesawang mendapati ILSAC adalah singkatan kepada International Lubrication Standardization and Approval Committee bagi minyak enjin petrol dan diesel

Ahli jawatankuasa ILSAC terdiri daripada AAMA (American Automobile Manufacturer Association, Chrysler Ford GM) dan Japan Automobile Manufacturer Association (JAMA) yang akan menentukan parameter ujian minyak, keperluan semasa, ujian, lesen dan pentadbiran minyak pelincir baru

ILSAC akan bersama sama dengan Tripartite System iaitu Assosciation of Petroleum Industries (API), Society of Automotive Engineer (SAE) dan ASTM (American Society Testing & Material) bagi memastikan minyak pelincir yang diluluskan oleh mereka memenuhi spesifikasi tertinggi

ILSAC mula diperkenalkan mulai tahun 1990 dengan gred pertama ILSAC GF-1, dan terkini kebanyakan minyak pelincir yang diluluskan oleh mereka melepasi ILSAC GF-5 ataupun ILSAC GF-6. ILSAC GF-5 diperkenalkan pada 2010 direka khusus bagi melindungi enjin dari enapan karbon pada suhu tinggi bagi enjin turbo, mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan asap dan sesuai untuk enjin petrol ethanol E-85.

Bagi ILSAC GF-6A pula pula diperkenalkan pada tahun 2020 khusus untuk mengurangkan lagi penggunaan petrol, perlindungan enjin yang lebih baik dan memberi perlindungan tambahan kepada enjin agar tahan lebih lama. Bagi ILSAC GF-6B pula ia dikeluarkan khusus untuk kelikatan rendah 0W-16 bagi mengurangkan lagi penggunaan petrol dengan lebih baik

Kedua dua gred GF-6A dan GF-6B memberikankan perlindungan kepada Low Speed Pre-Ignition, iaitu situasi enjin mengalami knocking pada halaju rendah disebabkan masalah minyak enjin yang tidak sesuai. Antara ujian yang perlu dibuat sebelum minyak pelincir diberikan penarafan ILSAC GF-6 ialah:

1. Ujian perlindungan terhadap Low Speed Pre-Ignition

2. Ujian perlindungan terhadap timing chain dan soket

3. Ujian ketahanan pada pengoksidaan dan pembentukan enapan karbon

4. Ujian perlindungan pada aci sesondol

5. Sludge & Varnish Test

6. Ujian penjimatan bahan api bagi protokol berbeza GF-6A dan GF-6B

7. Ujian ketahanan pada pembentukan karat

Jadi apabila minyak pelincir ILSAC GF-6 diperkenalkan pada tahun 2020, ia terus memberikan perlindungan yang jauh lebih baik berbanding dengan GF-5 yang digunakan oleh penulis, dan juga melepasi gred API SN Plus dalam semua 8 aspek yang diuji termasuklah perlindungan pada sistem timing chain

Jadi kalau anda rasa minyak pelincir OEM anda kurang memuaskan, cuba tukar pada minyak pelincir dengan kelulusan ILSAC GF-6 dan API SN. Mesti ada perbezaan.

Google ads
Back to top button