Buletin

AEHRA SUV, JENAMA EV ULTRA PREMIUM BAHARU DARI ITALI!

AEHRA yang merupakan jenama automotif ultra premium baharu dari Itali telah mendedahkan gambar luaran model pertamanya iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

AEHRA beroperasi di Milan, Itali dan diasaskan oleh dua individu iaitu Hazim Nada dan Sandro Andreotti.

AEHRA SUV hadir dalam bentuk unik yang membujur ke belakang dan lari daripada kebiasaan sebuah SUV.

Tidak banyak perincian didedahkan tentang SUV ini kecuali beberapa maklumat seperti jarak roda berukuran tiga meter yang sememangnya panjang.

Binaan badan dibuat menggunakan kaedah unibody yang mencantumkan casis dan badan kereta sebagai satu unit yang biasa dibuat pada kereta super.

Turut digunakan bahan komposit dan teknologi gentian karbon tempa (forged carbon fiber).

Bahagian depan dan belakang tampil dengan juntaian (overhang) pendek dan kombinasi jarak roda panjang memungkinkan ruang dalaman yang luas.

Lampu depan dan jaluran LED pula dibuat halus manakala bampar tampil agresif. Lagi ciri menarik ialah tukup (hood) yang mempunyai liang dan sayap kanan dan kiri pada tiang A.

Bahagian tepi yang nampak sopan dan beralun sebenarnya menyimpan bukaan pintu depan dan belakang yang berkepak ke atas.

AEHRA memaklumkan bukaan tersebut memudahkan masuk dan keluar kereta secara optimum untuk sebuah kabin yang mampu memuatkan empat pemain bola keranjang NBA dengan selesa.

Bahagian belakang juga menampilkan tema lampu halus dengan rekaan bampar lebih sederhana berbanding bampar depan.

Gaya badan membujur AEHRA SUV bukan sengaja dibuat dan mempunyai sebab kukuh di sebaliknya.

Ketua Pereka AEHRA, Filippo Perini bersama kakitangannya menggunakan kaedah Perkomputeran Dinamik Bendalir (CFD) bagi mendapatkan badan yang mengunjur.

Hasilnya dijana pada kecekapan aerodinamik dan boleh dibayangkan bagaimana udara melepasi melepasi bumbung kereta dengan baik.

Kaedah yang sama digunakan pada bahagian depan dan belakang untuk mengurangkan seretan, penyejukan dan pengurusan haba bateri.

Selain itu, komponen depan dan belakang kereta boleh digerakkan yang memberikan pemanduan sporti dan meningkatkan keselamatan.

Ciri tersebut juga membantu dalam mengoptimumkan pekali seretan, pengurusan haba bateri dan meningkatkan jarak pemanduan.

AEHRA merancang untuk memperkenalkan sebuah sedan pada Februari 2023 dan penghantaran kedua-dua model dijadual bermula pada 2025.

BACA: VW CATAT 20 RIBU TEMPAHAN MINIVAN EV ID. BUZZ

BACA: WULING AIR EV BOLEH TAHAN LAKU JUGA DI INDONESIA

BACA: BENTLEY FLYING SPUR HYBRID PHEV TIBA DI MALAYSIA. 544PS/750NM, BERMULA 945K

Google ads
Back to top button