Pandu Uji

MERCEDES BENZ EQA 250, KUASA ELEKTRIK JENAMA PREMIUM

Mungkin tanpa asakan dan terjahan daripada Tesla, dunia masih lagi tersekat dengan enjin pembakaran dalam dan usaha untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida hanyalah retorik semata-mata. Ketika membuat kemunculan pertama dalam Top Gear berbelas tahun yang dulu, Tesla teruk dibahan oleh Jeremy.

Sehinggakan bagi model yang terbaru keluaran Tesla, Jeremy meletakkan sepasukan peguam dalam video bagi memberi nasihat kepadanya agar tidak merapu berlebihan. Tapi pada masa yang sama ia menyedarkan gergasi automotif dan penggubal dasar di Eropah untuk bertindak pantas.

Maka Mercedes dengan cepat meluncurkan 3 model kereta atau lebih tepat lagi SUV berkuasa elektrik iaitu Mercedes Benz EQA, EQB dan juga EQC. Persamaan antara semua model ini ialah ia diasaskan daripada SUV dengan enjin pembakaran dalam iaitu GLA, GLB dan juga GLC

Hanya EQS 450+ Sedan sahaja yang menggunakan platform baru kereta elektrik sepenuhnya. Berbalik pada model ujian hari ini, ia adalah Mercedes Benz EQA 250 dengan warna Rose Gold Metallic. Ini komen yang pertama, warna ini terlalu feminin untuk penulis yang bertubuh tegap dan berkulit gelap. Langsung tak kena.

Dari sudut pandangan depan, rekaan luar EQA boleh dikatakan hampir sama dengan GLA melainkan beberapa perubahan kecil dibuat di bahagian jeriji atas yang bersambung terus dengan lampu depan. Jeriji bawah EQA pula tampil dengan rekaan lebih minima tanpa skid plate aluminium yang agresif.

Mercedes Benz EQA juga menggunakan rekaan lampu DRL yang berbeza pada lampu utama serta diberikan satu LED strip yang akan menyambungkan lampu kiri dan kanan. Sekali imbas kita akan perasan yang EQA ini direka untuk masa depan seperti kenderaan dalam filem Tron

Dari segi platform, EQA dan GLA dibangunkan atas platform MF2 (Modular Front Architecture) khusus untuk kegunaan enjin pembakaran dalam. Buang semua perkakasan enjin dan gantikan dengan komponen elektrik seperti bateri, motor elektrik dan juga inverter.

Tapi unik bagi Mercedes Benz EQA ialah semua komponen utama dipasang di bahagian depan cesi termasuklah motor elektrik yang berkuasa 190 kuasa kuda dan 370Nm tork. Keadaan ini menjadikan EQA adalah pacuan depan, bukannya belakang seperti kebanyakan kereta elektrik yang lain. Pada hemat penulis, ini mungkin disebabkan limitasi yang ada pada cesi MF2 ini.

Dari sudut sisi, panjang keseluruhan EQA lebih sedikit daripada GLA iaitu pada 4463mm dengan jarak antara roda ialah 2729mm. Dengan hanya memuatkan 5 penumpang, barisan kedua menawarkan ruang yang cukup luas bagi penumpang.

Bateri sebesar 66.5kWh disimpan di dalam lantai cesi sehingga ke ruang kargo di bahagian belakang. Dengan satu pengecasan penuh, jarak perjalanan yang boleh dipandu ialah sekitar 429km mengikut standard ujian WLTP dan dalam keadaan ideal. Maksudnya bergantung pada car pemanduan, suhu persekitaran dan keadaan jalan

Jika anda menggunakan plug 3 pin sama seperti penulis guna dengan output kuasa elektrik 1kW, maka anda memerlukan masa sehingga 30 jam untuk mengecas EQA. Secara anggaran 10 jam masa diperlukan jika anda menggunakan wallbox 3.7kW atau 6 jam sahaja jika menggunakan wallbox 11kW.

Semakin tinggi kuasa elektrik yang boleh digunakan untuk mengecaj EQA, semakin pendek masa pengecasan. EQA juga boleh dicaj pada kuasa maksimum 100kW dengan mengambil masa dalam masa 32 minit sahaja. Tak payah runsing sangat pasal masa pengecasan, balik rumah anda caj sambil tidur dan berehat.

Kalau guna untuk perjalanan jarak jauh, sila cari kemudahan DCFC (DC Fast Charging), cuma kosnya agak mahal sedikit. EQA juga menggunakan rim AMG 5 Spoke Twin Alloy yang direka khas untuk memotong angin ketika bergerak. Maaf, rekaan rim ini juga tidak kena pada pandangan penulis.

Rim 19 inci ini dibalut dengan menggunakan tayar Continental Eco Contact 6 235/50 bagi meminimakan geseran golekan tayar (rolling resistance). Suspensi depan menggunakan Topang McPherson manakala bahagian belakang menggunakan sistem MultiLink tapi ditala untuk keselesaan

Sama seperti rekaan bahagian depan, bahagian belakang juga menggunakan bahasa badan yang berbeza daripada model konvensional dengan penegasan lampu LED yang bersambung antara bahagian kiri dan juga kanan. Pintu kargo berkuasa elektrik akan memberikan anda akses ruang 340 liter apabila dibuka

Ruang kargo adalah sedikit terhad dan ecara perbandingan, model GLA menghasilkan ruang sekitar 435 liter. Tapi jika kerusi barisan kedua dilipat, ia akan memberikan ruang sebesar 1320 liter bagi ruang tambahan maksima.

Berbalik kepada bateri lithium ion tadi, ia memang merompak sedikit ruang kargo di bahagian belakang dan juga ruang kaki penumpang. Jika anda duduk di bahagian belakang, lutut anda akan terangkat sedikit kerana ruang kaki digunakan untuk menyimpan bateri sistem.

Aksesori lain yang diberikan di ruang belakang termasuklah corong penyaman udara (GLA tiada ciri ini), pengecas telefon jenis C dan juga perehat tangan dengan tempat meletak botol minuman terbina dalam. Menjenguk ke ruang depan, anda akan melihat rekaan EQA ini adalah sama seperti model Mercedes Benz yang terkini.

Poin utama ialah pada Free Standing Driver Display yang menggunakan 2 skrin sebesar 10 inci yang digabungkan dalam satu unit. Satu skrin bertindak sebagai paparan meter dan satu lagi digunakan untuk mengawal semua paramater tetapan EQA termasuklah penyaman udara

Anda boleh menggunakan jari anda untuk mencari menu yang berkaitan atau menggunakan pad sesentuh yang diletakkan di bahagian konsol tengah di lokasi yang sepatutnya digunakan untuk meletakkan tombol gear

Paparan 10 ini menggunakan perisian Mercedes Benz Use Experience (MBUX), sambungan Apple Car Play dan Android Auto serta 6 pembesar suara daripada jenama Burmester. Bunyi dan kualiti suara yang dihasilkan oleh sistem ini boleh tahan padu seperti mendengar nyayian secara live.

Selain itu, tema rekaan dalam EQA adalah sama seperti model yang lain dengan rekaan corong penyaman udara menggunakan rekaan turbin, lampu kabin dipasang di dalam corong penyaman udara, di konsol tengah, pintu, paparan pemuka dan juga ruang kaki

EQA juga menyediakan 2 fungsi memori untuk tetapan tempat duduk depan dan juga pemandu. Kusyen pula dibalut dengan mewah gabungan kulit dan juga fabrik ala-ala suede dengan jahitan benang berwarna merah yang turut digunakan pada roda stering, kemasan papan pemuka, pintu dan juga pereha tangan.

Ia nampak mewah dan sporti pada masa yang sama. Selain itu penumpang dan pemandu turut diberikan:

1. pengecas telefon tanpa wayar di depan

2. 4 poin pengecas telefon dari jenis C

3. kusyen depan lengkap dengan ciri pemanas

4. mode pemanduan samaada Comfort, Dynamic, Eco atau Individual

Satu perkara yang boleh dipuji ialah Mercedes tidak kedekut untuk memberikan segala ciri keselamatan terkini yang ada pada makmal ujian mereka. Ini termasuklah:

1. Active Brake Assist atau brek kecemasan automatik dengan suapan radar dan kamera

2. Active Distance Assist Distronic yang merangkumi ciri pemanduan adaptif automatik termasuklah berupaya berhenti dan bergerak semula dalam kesesakan jalan raya

3. Active Lane Keeping Assist dan Active Steering Assist yang akan membetulkan stering masuk semula ke laluan asal. Kalau anda terpijak garisan putih di bahagian kiri jalan, EQA akan membrek serta merta.

4. Active Blind Spot Assist

5. Park Assist Parktronic

Sama seperti mana-mana kereta elektrik yang wujud atas muka bumi ini, kelemahan utama kereta elektrik ialah berat yeng berlebihan dan pada model EQA 250 ini beratnya mencecah sehingga 2040kg. Tapi ia tidak menjadi masalah besar kerana pecutan yang dihamburkan serta tork maksima 370Nm masuk pada 0 RPM menjadikan EQA ini tangkas di laluan lurus.

Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 9 saat, agak perlahan jika dibandingkan dengan Volvo XC40 Recharge. Malah kelajuan maksima SUV ini dihadkan pada 160km/jam sahaja, tapi memandu dengan laju akan menghadkan jarak perjalanan EQA. Maka sepanjang ujian, penulis kekal mengikut halaju yang sesuai dan maksima di lebuh raya ialah sekitar 130km/jam sahaja ketika memotong

Perkara pertama yang akan anda hargai apabila memandu kereta elektrik ialah ia sungguh senyap, sekitar 55dB sahaja bila dipandu pada halaju 110km/jam. Terasa tenang dengan hanya bunyi motor elektrik seperti filem Tron sahaja yang kedengaran. Bila anda melebihi 120km/jam, barulah bunyi tayar dan angin akan kedengaran

Berbalik pada berat 2040kg itu tadi, ia akan menjejaskan keselesaan pemanduan apabila anda melalui jalan tidak rata di kawasan kampung dan pedalaman (mungkin kurang terasa bila dekat dengan PRU). Sesekali EQA terasa seperti melompat yang menjejaskan keselesaan anda.

Disebabkan penulis tidak memandu laju, maka khidmat pembesar suara Burmester amat ditagih bagi menghilangkan perasaan bosan memandu di lebuh raya. Berat yang berlebihan juga turut mematikan nafsu penulis untuk cuba memandu laju di selekoh, bertambah gayat bila melihat tayar yang digunakan hanyalah tayar ECO yang sangat terhad kadar cengkamannya

Terdapat 2 penukar gear disediakan di belakang stering dimana anda boleh menggunakan paddle shift ini bagi mengawal kekuatan brek regeneratif. Menakan butang + akan mengurangkan kesan brek manakala menekan butang – akan meningkatkan kesan brek. Kalau pandai guna paddle shift ini, anda jarang sekali perlu menggunakan pedal brek

Tidak dinafikan harga yang dipinta iaitu RM 278,201 adalah setara dengan Volvo XC40 Recharge dan lebih mahal berbanding dengan Hyundai Ioniq 5 Max. Tapi anda akan mendapat sebuah kereta elektrik daripada jenama yang premium yang melambangkan status kejayaan diri anda

Google ads
Back to top button