Buletin

AHLI PERNIAGAAN SINGAPURA MENGAKU TIDAK BERSALAH PALSUKAN DOKUMEN FIRMA MINYAK, HUTANG BANK RM15.4 BILION

Ahli perniagaan Singapura Lim Oon Kuin atau lebih dikenali sebagai OK Lim, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan penipuan dan pemalsuan, selepas firma minyak Hin Leong Trading berhutang kira-kira AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) kepada bank.

Pendakwa raya mendakwa bahawa Lim, pengasas Hin Leong, berusia 81 tahun telah mengarahkan seorang pekerja mencipta rekod elektronik palsu untuk HSBC Holdings.

Atas pertuduhan terbabit, dia bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan.

Melihat lebih terperinci, OK Lim menafikan sejumlah 130 pertuduhan termasuklah menyembunyikan kerugian sekitar AS$800 juta (RM3.5 bilion) dan berhutang lebih 20 bank dengan liabiliti besar.

“Melalui Hin Leong, Lim memperdaya HSBC dengan memeterai dua kontrak penjualan minyak yang dikatakan bersama China Aviation Oil (Singapore) dan Unipec Singapore, selain mengemukakan permohonan pembiayaan invois bagi menyokong transaksi tersebut,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Christopher Ong.

“Permohonan itu disokong oleh dokumentasi palsu yang mendorong HSBC untuk mengeluarkan AS$111.68 juta (RM493 juta) kepada syarikat itu,” tambahnya.

Pada 2021, ahli perniagaan itu menafikan dakwaan dibuat oleh HSBC bahawa dia menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan pembiayaan.

Google ads
Back to top button