BEKERJA SEPERTI ROBOT, PEKERJA TESLA MAHU TUBUH KESATUAN
Sekumpulan pekerja Tesla di New York akan membentuk kesatuan bagi menuntut hak mereka melibatkan soal gaji dan keselamatan. Pekerja dikatakan bimbang tentang tekanan sepanjang bekerja bersama Tesla kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mereka.
Para pekerja yang telah membincangkan secara tidak rasmi mengenai potensi kesatuan selama beberapa bulan dilapor menghantar e-mel kepada Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk dan pengurusan pada minggu ini.
Menurut pekerja Tesla, ketukan kekunci mereka juga dipantau secara aktif oleh Tesla untuk memastikan mereka menjalankan tugas. Ada yang mengatakan mereka tidak berasa selesa untuk berehat di bilik mandi dan berasa seperti robot.
“Kesatuan akan melindungi hak pekerja. Sekarang, kami tidak boleh bersuara kerana apa yang kami ada telah dirampas oleh syarikat,” menurut petikan daripada surat kesatuan pekerja Tesla.
Pekerja Tesla yang menerima gaji AS$19 sejam menggunakan Hari Valentine untuk berkumpul dan berbincang tentang usaha membentuk kesatuan.
Mereka juga menjalin kerjasama dengan Service Employees International Union, Workers United yang merupakan kesatuan penting ketika membantu menyatukan pekerja Starbucks di pelbagai lokasi baru-baru ini.
Sekiranya usaha itu berjaya, kira-kira 1,000 pekerja pembuatan di kilang Tesla di Buffalo akan menyertai kesatuan tersebut. Untuk memastikan percubaan itu berjaya, majoriti pekerja perlu mengikuti rancangan tersebut.
Dalam pada itu, Tesla dilaporkan menghentikan laman sembang di mana pekerja secara terbuka membincangkan isu kesatuan hingga memaksa sekumpulan pekerja menggunakan Discord.
Musk bagaimanapun beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak menentang pekerjanya untuk menubuhkan kesatuan sekerja, sekiranya itu yang mereka perlukan.
Namun, Musk menjelaskan ia tidak sesuai jika hanya melibatkan kepentingan pekerja kerana mereka kini mendapat banyak manfaat daripada pilihan saham.
“Sekiranya mereka memilih untuk bersatu, manfaat pilihan saham akan ditarik balik,” kata Musk.
- BACA: ELON MUSK CIPTA REKOD INDIVU ‘KEHILANGAN HARTA PERIBADI TERBESAR DALAM SEJARAH’
- BACA: PELANGGAN TESLA SANGGUP TUKAR JENAMA LAIN – SEMAKIN MELUAT DENGAN PERANGAI ELON MUSK
- BACA: TAK CUKUP DENGAN TWITTER, ELON MUSK MAHU BELI DISNEY-ABC PULA
- BACA: SIAPA ELON MUSK NI? – LOYER, MAJISTRET ATAU DOKTOR AYAM?