VOLKSWAGEN ID.7 DIPERKENAL. 201HP, 700KM SEKALI CAJ. PENGHANTARAN BERMULA Q2 2023
Volkswagen baru-baru ini memperkenalkan ID.7 versi elektrik di China yang dilengkapi motor tunggal 150kW, jarak gerak 700km dan digandingkan dengan bateri NMC ternary 77kWj.
Dibina atas platform MEB, ia mempunyai dimensi 4956mm (panjang), 1862mm (lebar), 1537mm (tinggi), jarak roda pada 2965mm serta menawarkan dua pilihan saiz roda iaitu 235/55 R18 dan 235/50 R19.
Sebagai perbandingan, ID.7 201mm lebih panjang berbanding sedan Passat.
Di dalam kabin, ID.7 yang mungkin dinamakan sebagai ID.7 Vizzion, menampilkan kluster instrumen digital kecil, paparan augmented reality (AR) dan sistem infotainmen skrin sentuh 15-inci.
Bakal bersaing dengan Tesla Model 3 dan Hyundai Ioniq 6, ID.7 akan dipacu oleh pek bateri 77kWj. Ia mampu menghasilkan 201hp dengan kelajuan maksimum dihadkan 155km/j.
Volkswagen bagaimanapun belum mendedahkan harga ID.7, tetapi jika melihat kepada situasi ‘perang-harga’ antara pengeluar kenderaan elektrik, sudah tentu Volkswagen datang dengan strategi terbaik dalam menentukan harga untuk kekal bersaing.
Untuk info, ID.7 memulakan penghantaran pada separuh kedua 2023 dan melakukan debut di Shanghai Auto Show, 18 April ini.