
AIM EV SPORT 01, HASIL REKAAN FIRMA YANG DITERAJUI PEREKA VETERAN SHIRO NAKAMURA (NISSAN, ISUZU, GM)
Biasanya pengeluar kereta sport elektrik datang dari Barat tapi kali ini dari Jepun. AIM Company Limited dari Nagoya akan memperkenalkan AIM EV Sport 01 di acara Goodwood Festival of Speed di West Sussex, England.
AIM EV Sport 01 direka SN Design Platform, sebuah syarikat reka bentuk yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Shiro Nakamura yang juga orang lama dalam reka bentuk automotif.
Dari segi pengalaman, beliau adalah bekas Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kreatif Nissan dari 1999 hingga 2017 dan Pengarah Reka Bentuk Global, Pusat Reka Bentuk Isuzu dari 1997 hingga 1999.
Beliau juga pernah berkhidmat di GM Design dan lahir pada 1970, Shiro Nakamura masih giat bekerja.

Semasa berkhidmat dengan Nissan, sejumlah model ikonik seperti Cube, Fairlady Z, GT-R, Qashqai, Juke, LEAF dan beberapa model Infiniti dihasilkan di bawah penyeliaan beliau.
Ketika bersama Isuzu, beliau bertanggungjawab dalam reka bentuk VehiCROSS dan Gemini. Para pereka SN Design juga orang hebat dalam industri dan pernah berkhidmat dengan Nissan, Isuzu dan Mazda.
AIM EV Sport 01 pertama kali dipertontonkan pada April dan kini sedang menjalani program pengujian dan penilaian sebelum ke peringkat seterusnya dan berkemungkinan dikeluarkan dalam jumlah terhad.
AIM Company Limited ditubuhkan pada 1998 dan sebuah syarikat kejuruteraan yang memfokuskan pada reka bentuk dan teknologi.

Enjin 5.5 liter V10 yang dihasilkan AIM digunakan Team Oreca dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans 2010 dan berjaya menduduki tempat keempat dan tertinggi bagi enjin petrol.
AIM EV Sport 01 bukan sahaja kenderaan pertama AIM, tetapi juga yang pertama menggunakan motor elektrik berprestasi tinggi APM200 keluaran syarikat.
Satu lagi yang menarik ialah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Yukinori Suzuki sendiri akan memandu AIM EV Sport 01 di Goodwood.
Dari segi reka bentuk, AIM EV Sport 01 dibuat bersahaja dan menurut Shiro Nakamura, rekaan model ini dipengaruhi kereta sport Eropah dan Jepun era 60-an. Dengan itu, tiada garis atau bentuk agresif.

Selepas dipertontonkan pada April lalu, respon awal yang diterima mendorong syarikat membangunkan sebuah model konsep dan untuk beberapa unit produksi terhad.
Selain itu, AIM akan terus melabur dalam sistem rangkaian kuasa EV untuk pelanggan OEM dan berkemungkinan untuk kenderaannya sendiri selepas EV Sport 01.
Ciri-ciri teknikal AIM EV Sport 01:
- Model sport coupé dua tempat duduk
- Dimensi: 3.9m (panjang), 1.9m (lebar), 1.2m (tinggi), 2.4m (jarak roda)
- Berat: 1,425kg
- Dua motor APM 200, pacuan roda belakang
- Sistem torque vectoring
- Kuasa: 360kW (490PS), 740Nm
- Penyongsang: 720V (input), 380kW (output)
- Bateri: Litium dengan lapisan (laminated), kapasiti 81kWj dalam empat pek
- Casis: Kerangka aluminium pelbagai rongga
- Badan: Gentian karbon dengan struktur berlapis, tub dalam dari gentian karbon
- Suspensi: Double-wishbone depan dan belakang
- Rim: 235/35 ZR20 (depan), 275/30 ZR20 (belakang)
BACA: NYOBOLT EV TAWAR JARAK GERAK 249KM, TEMPOH PENGECASAN HANYA ENAM MINIT
BACA: SEGALANYA TENTANG BYD SEAGULL, EV TERMURAH DENGAN HARGA RM 51K
BACA: KIA EV6 GT, KERETA ELEKTRIK MENANG WORLD PERFORMANCE CAR 2023!





