
KIA EV6 GT, KERETA ELEKTRIK MENANG WORLD PERFORMANCE CAR 2023!
Kereta elektrik menang anugerah kereta berprestasi dunia! Iya, itulah faktanya apabila Kia EV6 GT merangkul Anugerah Kereta Berprestasi Dunia 2023 seperti yang diumumkan pada Pameran Kenderaan Antarabangsa New York (NYIAS) 2023.
Pengiktirafan itu sempena World Car Awards 2023 yang dinilai oleh 100 jurnalis automotif antarabangsa dan mewakili 32 buah negara.
EV6 GT terpilih selepas disenarai pendek dari tiga finalis iaitu Nissan Z dan Toyota GR Corolla. Tiga model itu ditapis dari lapan senarai awal.
Untuk layak sebagai Kereta Berprestasi Dunia, setiap model mestilah dikeluarkan sekurang-kurangnya 1,000 unit setahun dan berorientasikan prestasi secara keseluruhan.
Selain itu, sesebuah model perlu berada di dalam jualan di sekurang-kurangnya dua pasaran besar seperti China, Eropah, India, Jepun, Korea, Amerika Latin, Amerika Syarikat dan dua benua berbeza.
Tempoh jualan pula dari 1 Januari 2022 hingga 30 Mac 2023.
Seperkara yang perlu diketahui, EV6 GT adalah model produksi Kia dengan pecutan paling pantas dan berkuasa pernah dihasilkan mengatasi Stinger.
Pakej elektrik EV6 GT menghasilkan 430 kW (576 hp) dan tork 739Nm dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.5 saat dan pecutan maksimum 260 km/j.
Selain tangkas, reka bentuk EV6 GT juga tampil menarik dan mempunyai tarikan tersendiri di atas jalan.
Pengguna tempatan sudah boleh merasai kereta ini dengan model EV6 GT-Line Long Range diperkenalkan pada Jun 2022.
Model itu mempunyai output 320 hp dan tork maksimum 605Nm dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.2 saat.
Bateri dengan kapasiti 77.4 kWj boleh membawa penumpang sehingga 506 km. Harganya pula sekitar RM300,000.
BACA: KIA CIPTA REKOD DALAM TEMPOH 32 TAHUN DI UK, 100 RIBU JUALAN PADA 2022!
BACA: TIADA LAGI KIA STINGER DI UK, GANTI DENGAN EV6 GT YANG LAGI BERKUASA!
BACA: KIA RIO 2023 DI AS, HARGA MULA AS$16.4K (RM76.4K)













