Artikel Pilihan

TOYOTA BIDAS FANATIK EV – BANYAK LAGI CARA KURANGKAN EMISI KARBON

Walaupun menjadi pendahulu dalam industri automotif, Toyota jelas sekali tidak bersetuju dengan pengeluar kenderaan lain untuk menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dalam pengeluaran mereka.

Pengerusi Toyota, Akio Toyoda sekali lagi menegaskan yang EV bukan satu-satunya penyelesaian dalam mengurangkan emisi karbon sekali gus menyelesaikan masalah pemanasan global.

Dalam satu temubual dengan Automotive News Europe sewaktu perlumbaan Le Mans 24 Jam baru-baru ini, Toyoda menyatakan Toyota mempunyai beberapa rancangan untuk masa hadapan dan turut menyatakan terdapat beberapa alternatif kepada EV untuk diteroka.

Toyoda menyatakan yang EV memang salah stu teknologi penting untuk menyelesaikan masalah pemanasan global tapi bukan satu-satunya cara.

Ketika pengeluar lain giat mengeluarkan pelbagai model EV seperti Volkswagen, Toyota hanya menawarkan bZ4X di pasaran. Tapi kena ingat, Toyota mempunyai barisan model hibrid yang dianggap berada ditengah-tengah antara kenderaan EV dan kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Toyoda turut menjelaskan yang tidak semua pemilik kereta mempunyai akses kepada infrastruktur pengecasan semula. Malah ada syarikat yang cuma menjual model EV tapi tidak menyediakan stesen pengecas. Inilah masalah yang akan timbul jika rancangan menggantikan enjin ICE dengan EV dijalankan secara terburu-buru.

Selain dari EV, Toyota turut menceburi pasaran kenderaan sel bahan api elektrik (FCEV), contohnya Toyota Mirai yang menggunakan kuasa hidrogen. Mereka turut mempelopori dunia perlumbaan menggunakan kenderaan berkuasa hidrogen membuktikan yang FCEV memang mampu menjadi bahan api alternatif.

Cara terbaik untuk mengurangkan emisi karbon menurut Toyoda ialah dengan menggunakan semua teknologi yang ada tanpa terhad kepada EV semata-mata. Bahan api sintetik juga satu alternatif walaupun sekarang kosnya adalah agak tinggi.

Walaupun dikatakan lambat memasuki dunia EV, Toyota sudah pun memulakan projek teknologi bateri generasi baharu yang menjanjikan jarak perjalanan 1,500 kilometer dengan cas semula secara ekspres dalam masa 10 minit (memang tak dapat 100 peratus tapi cukup untuk menambah jarak perjalanan kepada 900 kilometer.

Bateri teknologi baharu ini dikatakan sedia untuk dilancarkan menjelang 2026.

Google ads
Back to top button