Buletin

NETA V CATAT PENARAFAN SIFAR BINTANG ASEAN NCAP

Model kenderaan elektrik (EV) NETA V mencipta sejarah yang tidak diingini apabila menjadi model pertama menerima penarafan ‘0-Bintang’ dalam penilaian terkini oleh Program Penilaian Kereta Baharu Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) berdasarkan protokol 2021-2025.

Penilaian ini, yang dilakukan di Pusat Pelanggaran Sementara MIROS (PC3), Malaysia, memberi keputusan amat mengecewakan dengan skor keseluruhan sebanyak 28.55 mata daripada 100.

Perincian Keputusan Penilaian

Di bawah protokol ASEAN NCAP 2021–2025, penilaian dilakukan dalam empat kategori utama:

  • Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP): 7.89 mata daripada 40.00
  • Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP): 13.51 mata daripada 20.00
  • Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT): 7.14 mata daripada 20.00
  • Keselamatan Motosikal (MS): 0.00 mata daripada 20.00

Model ini gagal memberikan perlindungan memadai kepada pemandu dan penumpang dewasa dalam ujian pelanggaran hadapan, dengan perlindungan bahagian kepala, leher, dada, dan kaki kanan dinilai lemah.

Walaupun mencatat 6.31 mata dalam ujian pelanggaran sisi, perlindungan bahagian dada hanya mencapai tahap marginal.

Ketiadaan Teknologi Perlindungan Kepala (HPT) dan ciri keselamatan moden seperti Brek Kecemasan Kendiri (AEB) dan Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) menambah lagi kekurangan pada NETA V.

Kelemahan dalam Keselamatan Penumpang Kanak-Kanak

Walaupun dilengkapi dengan sistem ISOFIX dan top tether, model ini gagal memenuhi keperluan mesra pengguna untuk sistem CRS (Child Restraint System).

Lebih separuh daripada senarai CRS yang disyorkan oleh ASEAN NCAP tidak sesuai dengan NETA V.

Tiada Ciri Keselamatan Aktif dan Teknologi MS

Dalam kategori Keselamatan Motosikal (MS), model ini tidak menawarkan sebarang teknologi yang dinilai, termasuk Teknologi Titik Buta (BST) dan Perlindungan Pejalan Kaki (PP).

Peringatan kepada Pengeluar EV Lain

Kegagalan NETA V ini menjadi peringatan kepada jenama EV lain agar tidak mengabaikan keselamatan asas pengguna jalan raya.

Langkah segera perlu diambil oleh pengeluar untuk meningkatkan tahap keselamatan model sedia ada bagi memenuhi standard industri serta mengembalikan keyakinan pengguna. – Pandulaju

Google ads
Back to top button