Artikel Pilihan

3 RAHSIA DI SEBALIK KEHEBATAN SHINKANSEN (KERETAPI PELURU JEPUN)

Shinkansen ataupun keretapi peluru Jepun mempunyai reputasi terbaik di seluruh dunia kerana ketepatan masa, keselesaan dan sangat selamat. Inilah rahsia di sebalik kehebatan mereka. Ia bukan sekadar keretapi tetapi juga melambangkan kemajuan teknologi Jepun yang sentiasa bergerak laju. Baru-baru ini kerajaan Jepun telah menawarkan teknologi Shinkansen untuk perkhidmatan keretapi laju baru yang bakal menghubungkan KL dan Singapura. Ramai yang pernah mendengar nama Shinkansen tetapi kenapa ia sangat terkenal di seluruh dunia?

Tokaido Shinkansen contohnya cuma mengambil masa 2 jam 25 minit untuk perjalanan dari Tokyo ke Shin-Osaka dengan kelajuan tertinggi 270 km/j. Keretapi ini telah wujud lebih dari 50 tahun iaitu sejak 1964 dan semenjak diperkenalkan ia telah membawa lebih 5 billion penumpang ke destinasi mereka.

Tentu sekali tarikan pertama keretapi ini ialah tentang kelajuannya, tetapi terdapat pelbagai lagi alasan lain sebenarnya seperti ketepatan masa, keselesaan dan keselamatan.

  1. Ketepatan masa: keretapi boleh dikatakan tidak pernah lewat. Purata kelewatan dalam masa setahun hanyalah 30 saat. Tak sampai pun seminit.
  2. Keselesaan: keretapi ini bergerak dengan lancar dan sangat bersih.
  3. Keselamatan: dalam masa 50 tahun operasi, tidak ada satu pun kemalangan yang melibatkan kematian.

Tentulah ini semua hasil penggunaan teknologi tinggi tetapi pemandu dan staf sokongan lain juga turut memainkan peranan dalam memastikan kualiti shinkansen sentiasa meningkat.

Rahsia 1: Konduktor dengan kemahiran tinggi (Pemandu keretapi)

Dalam setahun, 120,000 perjalanan keretapi direkodkan di atas landasan Tokaido Shinkansen dengan kata lain sebuah keretapi akan lalu setiap tiga minit. Kerana perbezaan selang masa antara keretapi adalah sangat kecil, sebarang kelewatan akan menjejaskan keretapi berikutnya tapi kehebatan Shinkansen ialah purata kelewatannya dalam setahun hanyalah 30 saat.

Pematuhan masa adalah sangat penting dan satu dari sebabnya ialah kecekapan konduktor yang berfungsi melancarkan perjalanan keretapi ini. Jika anda rasa kerja konduktor adalah mudah bagi keretapi moden seperti ini memang anda tersilap besar.

Konduktor Shinkansen sentiasa mengira kelajuan yang diperlukan dalam kepala mereka bagi membolehkan keretapi sampai ke stesen berikutnya tepat pada masa. Sebaik sampai di mana-mana stesen, konduktor akan mengumumkan berapa cepat ataupun lewat sesebuah keretapi dalam saat dan mengesahkannya menggunakan jam poket yang dibekalkan oleh syarikat.

Semua meter penunjuk kereta api adalah digital tetapi jam mereka kekal analog. Meter digital berkesan untuk memberikan bacaan kelajuan sebaliknya jam analog membolehkan konduktor mengetahui masa yang diperlukan untuk sampai ke stesen berikutnya dengan sekali imbas.

Contohnya dengan jam poket, konduktor boleh membuat pengiraan yang mudah. Jika mereka perlu sampai ke stesen seterusnya dalam jarak 100 kilometer dan masa cuma ada 1 jam, keretapi perlu dipandu 100 km/j. Tapi jika masa cuma ada 30 minit, kereta api perlu dipandu 200 km/j.

BACA: KERETAPI BERKELAJUAN TINGGI, KL-SINGAPURA DALAM 90 MINIT

Bukan sekadar masa, mereka juga perlu menyesuaikan kelajuan agar keselesaan penumpang lebih terjamin. Kawasan mendaki dan berbukit terutamanya memerlukan kelajuan yang lebih perlahan agar tidak membuatkan penumpang terumbang-ambing.

Semasa bergerak, Shinkansen juga akan ditimpa kerosakan sedikit sebanyak tapi tidaklah sampai keretapi terpaksa diberhentikan. Konduktor juga tidak boleh mengubah jadual perjalanan jadi mereka perlu berusaha menanganinya semasa bergerak.

Mereka juga diberikan latihan dalam simulator untuk memastikan mereka sentiasa bersedia dalam apa juga situasi. Simulator akan meniru situasi sebenar dan membantu pemandu menangani apa jua situasi. Latihan simulasi seperti ini akan memastikan pemandu kekal tenang dalam apa juga situasi.

Rahsia 2: Kehebatan kru pembersihan

Sebenar bukan hanya kemampuan pemandu ataupun konduktor menepati masa sahaja yang menjadi punca kehebatan Shinkansen.

Sebaik keretapi menghampiri stesen terakhir dan berpatah balik untuk destinasi seterusnya, masa senggang penumpang naik turun hanyalah sepuluh minit. Tapi dalam masa sepuluh minit itulah pihak kru pembersihan akan membersihkan bahagian dalam keretapi sehingga tiada secebis sampah pun di dalam gerabak.

Bayangkan dalam masa sepuluh minit mereka akan membersihkan habuk, mengelap cermin tingkap dan meja selain menukar sarung tempat duduk. Lengkap dengan beg sampah dan pembersih hampagas, mereka akan membersihkan bahagian dalam keretapi sepenuhnya sebelum memberi tunduk hormat kepada penumpang yang naik dan semua ini dilakukan hanya dalam masa kurang 10 saat.

Rahsia 3: Pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh

Contoh terbaik betapa selamatnya keretapi peluru Jepun ini ialah ia tidak pernah terlibat dalam kemalangan maut selama 50 tahun operasi. Ini kerana shinkansen mempunyai pemeriksaan keselamatan menyeluruh yang berkala untuk memastikan segala sistem berfungsi dengan lancar.

Shinkansen mempunyai sistem pemeriksaan 4-tahap yang dilakukan mengikut giliran. Pada peringkat pertama keretapi akan diperiksa setiap dua minggu oleh pemeriksa dengan penglihatan dan sentuhan beliau. Mereka juga memeriksa sistem pendawaian yang menyambungkan kuasa elektrik kepada keretapi melalu antena sentuhan yang dinamakan pentograf jika ada sebarang kehausan. Sistem brek juga diperiksa setiap dua minggu.

Pemeriksaan tahap 2 dilakukan sebulan sekali secara menyeluruh. Pemeriksaan akan dilakukan 2 kali sehingga mereka berpuas hati yang semuanya dalam keadaan sempurna. Seramai 4 orang jurutera akan memeriksa semua elemen walaupun sebatang bolt. Malah pintu akan diperiksa secara teliti dan secara keseluruhan terdapat pemeriksaan 27 titik hanya untuk pintu. Ia cukup penting kerana pintu yang rosak akan menjejaskan penumpang naik turun sekaligus melambatkan perjalanan.

Enam bulan sekali pula, semua bahagian motor dan gandar akan diperiksa untuk sebarang kelemahan struktur ataupun kelemahan.

Tahap 4 pula ialah pemeriksaan secara total di mana keseluruhan keretapi akan ditanggalkan dan diperiksa dalam masa hampir setengah bulan. Ia kemudian akan dipasang kembali dan dicat kembali agar lebih menarik.

Secara keseluruhan, sebuah keretapi dengan 16 gerabak diperiksa lebih 500 kali dalam masa tiga tahun. Kalau proses seperti ini diwajibkan kepada bas ekpres di Malaysia memang kaya puspakom.

Begitu juga dengan landasan, ia juga akan diperiksa dengan keretapi khusus berwarna kuning dan di gelar “Doctor Yellow”. Ia mampu bergerak selaju 270 km/j dan memeriksa semua aspek landasan seperti permukaan landasan, pendawaian punca kuasa elektrik dan papan tanda keselamatan.

Keadaan landasan diperiksa dengan menggunakan laser yang mampu mengesan ukuran bukaan sekecil 1 milimeter. Pemeriksaan dilakukan setiap lewat malam dengan bantuan pekerja dan jurutera seramai 3000 orang.

Macam mana? Hebat tak macam mana sistem kereta api peluru berfungsi. Kalau betul la teknologi ini akan dipindahkan ke Malaysia melalui keretapi laju yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura memang bertuahlah rakyat Malaysia kerana akan mempunyai Shinkansen kita sendiri. Harap-harap tak ada la tangan-tangan gatal yang suka baling batu pada kereta api.

 

Google ads
Back to top button