
AMG ONE TIDAK BOLEH DIHIDUPKAN KALAU LUPA BUAT BENDA MUDAH NI…
Meletakkan enjin F1 pada kereta biasa ataupun hypercar bukanlah perkara yang mudah, kerana Mercedes-AMG memerlukan masa sehingga 5 tahun untuk memastikan projek hypercar AMG-One berjaya dihasilkan pada tahun 2022 selepas dilancarkan pada tahun 2017
Itu pun selepas melalui pelbagai cabaran kejuruteraan yang sangat rumit dan sukar. Salah seorang pemilik jentera ini ialah Nico Rorsberg, merupakan bekas juara F1 pada tahun 2016 bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas.
Nico memesan jentera ini pada tahun 2018 dan perlu menunggu selama 6 tahun untuk memiliki AMG-One ini. Enjin 1600cc V6 turbo ini bukan sahaja rumit, malah perlu dibina semula setiap kali mencapai jarak perjalanan 50,000km
Bukan itu sahaja, pemilik perlu mematuhi semua SOP cara menghidupkan dan mematikan enjin bagi memanjangkan jangkahayat enjin F1 ini. Sekiranya anda tersilap seperti yang dilakukan oleh Nico, yang mematikan enjin ini sebelum mencapai suhu optimum maka bala yang besar menanti anda
Dalam satu insiden, Nico mematikan enjin ini lebih awal iaitu sebelum ia mencapai suhu optimum. Sekiranya enjin ini dimatikan 6 kali dengan kaedah yang sama, Mercedes akan menyahaktifkan enjin ini dan pemilik tidak lagi boleh menghidupkan enjin dan memandu AMG-One
Sekiranya ingin menggunakan semula AMG-One, pemilik perlu menghubungi syarikat Mercedes-AMG, meminta mereka menghantar jurutera dan menghidupkan semula kereta dengan menggunakan komputer riba
AMG-One memerlukan masa antara 5 ke 8 minit untuk enjin 1600cc V6 turbo ini mencapai suhu optimum untuk beroperasi. Jika anda memandu AMG-One dalam mode EV, masa ini akan dikurangkan kepada 2 ke 5 minit.
AMG-One akan sentiasa hidup dalam mode EV setiap kali dihidupkan dan enjin F1 yang digunakan tidak akan diaktifkan melainkan suhu penukar pemangkin dalam ekzos mencapai 500 darjah Celcius. Proses pemansan ini memerlukan masa sehingga 60 ke 90 saat
Sebaik sahaja enjin 1600cc V6 ini dihidupkan, ia akan menghasilkan bunyi sekitar 120dB, memaksa Mercedes-AMG memberikan fon kepala dengan teknolgi pembatalan bunyi kepada pembeli. Namun bunyi ini telahpun direndahkan sedikit berbanding bunyi asal enjin ketika AMG-One di dalam proses R&D.
Sama seperti Mazda Miata, tiada bunyi enjin palsu yang dihasilkan menerusi pembesar suara, sebaliknya ia menggunakan bunyi mekanikal yang sebenar
Dalam video yang dihasilkan oleh Nico Rosberg, Chief Technical Officer Mercedes-AMG iaitu Jochen Hermann menyatakan salah satu cabaran terbesar dalam menghasilkan enjin F1 yang sesuai untuk AMG-One ialah merendahkan “idle speed” (RPM melahu) daripada 5000 RPM kepada 1250 RPM
Proses pembangunan untuk merendahkan RPM ini sangat panjang dan memerlukan Mercedes-AMG membangunkan perisian ejin yang sesuai untuk digunakan
Hermann juga mengakui bahawa AMG-One adalah hypercar yang paling rumit yang dihasilkan dalam sejarah Mercedes, dan dia percaya usaha ini tidak akan diulangi oleh mana-mana pengeluar lain di masa hadapan disebabkan regulasi pencemaran udara yang menjadi semakin ketat
Hanya 275 unit sahaja AMG-One yang akan dihasilkan, hanya dibeli oleh orang betul-betul mampu mengendalikan jentera ini seperti Nico Rosberg dan juga David Coulthard. AMG-One juga merupakan jentera pengeluaran kilang biasa (production car) yang mencatatkan masa terpantas di litar Nurburgring pada hari ini

