
NISSAN GT-R BAKAL BUAT COMEBACK, MODEL BARU SEDANG DIBANGUNKAN
Selepas lebih satu dekad menjadi simbol prestasi Jepun, nama Nissan GT-R akhirnya direhatkan daripada barisan produksi pada tahun 2024. Namun berita terkini daripada pihak pengurusan tertinggi Nissan memberikan bayangan jelas bahawa legenda itu belum berakhir.
Malah, model baru GT-R sedang dibangunkan untuk kembali dalam bentuk yang lebih relevan dengan era automotif moden. Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, mengesahkan bahawa generasi baharu GT-R kini sedang dibangunkan.
Kenyataan ini bukan sekadar spekulasi atau model konsep biasa, tetapi satu komitmen jelas bahawa Nissan masih melihat GT-R sebagai tulang belakang kepada identiti prestasi mereka. Dalam kata lain, GT-R bukan sekadar model tetapi ia adalah simbol keupayaan kejuruteraan Nissan yang tidak boleh digantikan.
Tambah menarik ialah Espinosa turut menegaskan bahawa GT-R baharu ini akan mengekalkan kredibiliti dan DNA asalnya. Ini bermaksud walaupun teknologi akan berubah, falsafah di sebalik GT-R iaitu prestasi brutal yang boleh digunakan di jalan raya akan terus dikekalkan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, GT-R telah membina reputasi sebagai supercar killer, mampu menyaingi supercar Eropah dengan harga yang jauh lebih rendah. Cabaran Nissan kali ini adalah untuk memastikan reputasi tersebut kekal relevan dalam dunia yang semakin beralih kepada elektrifikasi.
Dalam konteks ini, adalah tidak mengejutkan jika GT-R generasi baharu dijangka menggunakan sistem hibrid. Industri automotif global kini sedang bergerak pantas ke arah elektrifikasi, dan segmen prestasi tinggi juga tidak terkecuali.
Pengeluar lain seperti Ferrari dan Lamborghini sendiri telah mula mengintegrasikan teknologi elektrik ke dalam model prestasi mereka. Jadi langkah Nissan untuk membawa GT-R ke arah hibrid bukanlah satu pengorbanan, tetapi satu evolusi bagi membuka ruang kepada prestasi yang lebih tinggi melalui bantuan motor elektrik, sambil mengekalkan elemen enjin pembakaran dalaman.
Petunjuk awal mengenai arah tuju ini sebenarnya sudah dapat dilihat melalui konsep seperti Nissan Hyper Force Concept semasa Tokyo Motorshow 2023. Konsep tersebut menampilkan idea sebuah GT-R masa depan yang sepenuhnya elektrik, dengan fokus kepada prestasi ekstrem dan teknologi canggih.
Walaupun versi produksi mungkin tidak sepenuhnya elektrik, terdapat bukti jelas bahawa Nissan sedang meneroka pelbagai kemungkinan untuk memastikan GT-R terus berada di barisan hadapan inovasi. Nissan turut memberi bayangan bahawa mereka ingin mengembangkan semula barisan kereta sports mereka.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Nissan lebih banyak menumpukan kepada SUV dan kenderaan elektrik arus perdana. Namun, perubahan strategi ini menunjukkan keinginan untuk kembali kepada akar umbi mereka iaitu menghasilkan kereta yang memberi keseronokan pemanduan.
Antara spekulasi yang semakin kuat ialah kemungkinan kebangkitan semula model ikonik seperti Nissan Silvia. Jika benar, ini akan melengkapkan semula portfolio kereta prestasi Nissan, daripada model mampu milik hinggalah ke tahap flagship seperti GT-R.
Pendekatan ini bukan sahaja mampu menarik semula peminat lama, tetapi juga generasi baharu yang mencari pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan dalam dunia yang semakin dipenuhi SUV dan EV biasa.
Dalam gambaran yang lebih besar, langkah ini mencerminkan usaha Nissan untuk membina semula imej jenama mereka. Selepas melalui beberapa tahun yang mencabar, termasuk penstrukturan semula dan perubahan strategi global, Nissan kini dilihat mahu mengembalikan elemen emosi dalam produk mereka.
Nissan GT-R, dengan sejarah dan reputasinya, menjadi simbol paling kuat untuk misi tersebut. Walaupun GT-R generasi akan datang mungkin tidak lagi sama seperti dahulu, semangat “Godzilla” masih hidup dan ia sedang berevolusi untuk menghadapi masa depan.



