Artikel Pilihan

ANDA NAK BELI MOTOSIKAL? INI 9 PILIHAN YANG ADA.

Baru ini penulis sempat lepak beberapa jam dengan penyampai Mekanika paling tersohor iaitu Abang Beras, yang baru sahaja membeli sebuah motosikal baru. Beliau sempat mengajarkan penulis jenis-jenis motosikal yang ada dijual di pasaran Malaysia sekarang. Antaranya ialah:

1. Moped atau kapcai – perkataan “moped” ini sebenarnya dipopularkan oleh Harald Nielsen pada tahun 1952 yang berasal daripada perkataan Sweeden iaitu motor dan pedal. Motor+pedal maka jadilah moped. Ini kerana pada versi awal dulu, moped merupakan basikal yang dipasang dengan pedal

Moped/Kapcai ini merupakan motosikal yang paling popular di negara kita dari enjin bersaiz 100cc sehinggalah 185cc. Ia biasanya menggunakan enjin 1 silinder 4 lejang dan digandingkan dengan transmisi semi automatik daripada 4 sehinggalah 6 kelajuan dengan kuasa enjin dihantar ke roda belakang menggunakan rantai. Moped juga disebut sebagai underbone bike

2. Skuter – ditawarkan dari enjin sekecil 110cc sehinggalah paling besar 750cc setakat ini. Berbeza dengan moped, skuter menawarkan transmisi automatik CVT sahaja menjadikan ia pilihan yang baik bagi kegunaan di kawasan bandar. Buat masa ini skuter ada 2 pilihan utama iaitu skuter biasa dan juga Skuter Adventure bagi kegunaan offroad seperti Honda X-ADV.

3. Sportbike -merupakan motosikal yang fokus kepada prestasi tinggi, pecutan yang pantas, keupayaan mengambil selekoh deras dan membrek. Sportbike biasa direka dengan berat yang paling minimum dan keselesaan bukanlah fokus utama bagi sportbike

Sportbike akan sentiasa menaiktaraf sistem suspensi, brek, aerodinamik dan sistem keselamatan seperti ABS manakala kuasa enjin akan dipertingkatkan. Disebabkan sportbike diilhamkan untuk kegunaan perlumbaan ia biasa dilengkapkan dengan handlebar yang rendah dan kedudukan footpeg yang tinggi

Ia ditawarkan dari enjin sekecil 250cc (paling mampu milik) sehinggalah 1200cc (mampu tengok). Antara jenama yang selalu menjadi pilihan ialah Suzuki, Honda, Yamaha, Kawasaki, Ducati, Aprilia, BMW dan KTM.

4. Naked bike- atau disebut juga sebagai standard boke adalah motosikal pelbagai guna. Ia menawarkan posisi tunggangan yang lebih menegak berbanding sportbike yang condong ke depan dan cruiser yang condong ke belakang. Handlebar diletak tinggi menyebabkan bahu berada tegak di bahagian pinggul dalam posisi neutral.

Disebabkan rekaan sebegini, naked bike sesuai untuk kegunaan penunggang yang baru berjinak-jinak dengan motosikal, ditawarkan dengan harga murah, kuasa enjin yang sederhana, tiada fairing dan pelindung angin depan. Disebabkan kekurangan aksesori ini, ia disebut sebagai Naked Bike. Antara jenama yang menawarkan Naked Bike termasuklah Triumph, Ducati, Honda, dan Kawasaki.

Bagi naked bike yang mengutamakan kuasa enjin, ia dikenali dengan nama Muscle Bike

5. Dual Sport- kadangkala disebut juga sebagai dual purpose atau ON/OFFROAD bike yang dibina dengan kerangka motosikal dirt bike. Ia kemudian ditambah dengan lampu, cermin sisi, lampu isyarat membelok dan pelbagai alatan homologasi bagi membenarkannya ditunggang di atas jalan secara sah

Disebabkan ia berasaskan dirt bike, maka ia lebih tinggi daripada motosikal jenis lain, pusat graviti yang tinggi dan membenarkan sistem penyerap hentak long travel digunakan. Dengan ini Dual Sport boleh digunakan sebagai touring bike dan juga ditunggang atas permukaan jalan tidak berturap tapi Dual Sport sebenarnya lebih menjurus kepada touring bike. Keadaan ini disebabkan faktor tayar, berat dan saiz Dual Sport yang lebih sesuai untuk touring

6. Cruiser – paling popular ialah dari jenama Harley Davidson yang popular dengan enjin V-Twin yang direka khas bagi menghasilkan tork enjin pada RPM yang rendah bagi memudahkan tunggangan. Posisi tunggangan juga direka dengan kaki berada jauh ke depan dan handle bar diletakkan tinggi agar bahagian belakang menyandar sedikit ke belakang

Bagi halaju rendah dan sederhana, cruiser adalah sangat selesa, tapi bagi tunggangan jarak jauh di lebuh raya ia akan menyebabkan penunggang berasa lesu akibat angin yang menolak di bahagian dada. Cruiser juga tidak boleh ditunggang secara agresif di bahagian selekoh disebabkan jarak kelegaan bumi yang rendah.

7. Touring bike- direka khas bagi perjalanan jarak jauh dengan enjin bersaiz besar, fairing, tangki petrol besar, posisi tunggangan yang menegak dan cermin depan khusus untuk melindungi penunggang dari elemen cuaca. Ia juga akan dipasang dengan luggage box kalis air, handgrip yang dipanaskan, sistem stereo dan tempat duduk yang empuk

Tapi touring ini boleh dikelaskan kepada 3 varian utama iaitu Full Dress Tourer seperti BMW K1200, adventure tourer yang direka berasaskan motosikal dual sport seperti BMW R1200GS dan akhir sekali Sport Tourer seperti BMW S1000 XR yang lebih ringan, posisi tunggangan yang lebih ke arah sport bike, enjin, suspensi, dan brek yang membolehkannya ditunggang laju di selekoh

8. Retro – atau juga dikenali dengan nama modern Cafe Racer merujuk kepada rekaan motosikal yang dihasilkan dengan rekaan retro tapi enjin telah dimodenkan dengan sistem suntikan bahan api EFI, brek ABS dan rekaan mekanikal moden yang lebih tahan lasak. Antara jenama yang boleh dibeli ialah Moto Guzzi, Triumph, Royal Enfiel, Ducati Sport 1000, BMW R nineT

9. Offroad – jangan ingat 4×4 sahaja yang boleh lalu offroad, kerana bagi motosikal kategori ini juga dikenali dengan nama dirt bike. Motosikal jenis ini direka bagi ditunggang atas jalan yang tidak rata dan tidak berturap seperti pasir, jalan berbatu, anak sungai dan juga kawasan bersalji.

Jika dibandingkan dengan motosikal jalanan lain, scrambler dipasang dengan penyerap hentak lebih panjang, cesi lebih ringan, jarak kelegaan bumi yang tinggi dengan enjin serta transmisi direka bagi menghantar tork yang tinggi di jalan offroad

Mungkin ada lagi beberapa jenis motosikal lain yang kami lupa masukkan, kalau ada nanti letak di bahagian komen.

Google ads
Back to top button